MARDI Merintis Penyelidikan Superfood, Madu Lebah Kelulut

Pengenalan

Madu kelulut merupakan komoditi yang diberi perhatian oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), YB Dato’ Sri Ahmad Shabery bin Cheek. Menurut YB Menteri, madu kelulut akan dijenamakan sebagai superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan. YB Menteri juga meminta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melakukan kajian penyelidikan dan pembangunan supaya madu lebah kelulut mempunyai testimoni dan dibuktikan secara saintifik.

IMG-20160901-WA0001

Definisi Superfood

Buat masa ini tidak ada definisi rasmi tentang makanan superfood. Kamus Oxford mendefinisikan superfood sebagai makanan yang kaya dengan nutrien yang sangat bermanfaat untuk kesihatan dan kesejahteraan manusia. Sehingga tahun 2007, pemasaran produk superfood dilarang di Kesatuan Eropah kecuali disokong oleh penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai.

Superfood boleh merujuk kepada sumber segar atau makanan yang telah diperoses. Walaupun telah diketahui bahawa sumber segar superfood seperti chia seeds, blueberry dsb. permintaan terhadap jus sumber segar didapati masih rendah di kalangan pengguna berbanding produk yang diproses. Contohnya Tahitian Noni yang mula menjual jus noni pada tahun 1996 mendakwa telah menjual berbilion-bilion dolar dalam 10 tahun pertama operasi mereka. Produk berasaskan buah delima meningkat hampir 400 peratus berbanding pada 2007 berbanding enam tahun sebelumnya. Begitu juga, XanGo, berasaskan manggis telah meningkat daripada US$ 40 juta pada tahun 2002 kepada USD$ 200 juta pada tahun 2005.

 

Kandungan Pemakanan

Secara umumnya bahan utama dalam madu adalah karbohidrat, protein dan asid amino, vitamin, mineral dan antioksidan serta bahan-bahan lain seperti asid organik dan hidroksimetilfurfural. Madu kelulut pula biasanya mempunyai kandungan fruktosa, glukosa, maltosa dan sukrosa yang lebih rendah berbanding madu biasa. Kandungan hydroxvmethylfurfural (HMF) dalam madu kelulut pula rendah (lebih kurang 1.0 mg/kg). Asid fenolik, sejenis bahan antioksidan mudah serap juga hadir dalam madu kelulut dan kandungannya lebih tinggi berbanding madu tempatan atau madu import.

      Jadual 1.  Kandungan asid fenolik dalam madu kelulut

Table Fenolik

 

gambarajah asid fenolik dalam madu kelulut
Gambarajah 1: Kandungan asid fenolik dalam madu kelulut; Asid benzoik (a), asid fenilpropanoik (b), asid 4-hidroksibenzoik (c), asid 4-hidroksifenil asetik (d), asid vanilic (e), asid protokatechuik (f) dan asid p-koumarik

Di antara asid fenolik yang dijumpai dalam madu kelulut adalah asid benzoik, asid fenilpropanoik, asid 4-hidroksibenzoik, asid 4-hidroksifenil asetik, asid vanilic, asid protokatechuik dan asid p-koumarik. Bahan ini mempunyai pelbagai kegunaan di antaranya adalah asid p-koumarik contohnya, mempunyai aktiviti antoksidan yang tertinggi diikuti dengan asid protokaechuik dan seterusnya asid vanilik. Asid p-koumarik dipercayai boleh mengurangkan risiko kanser perut dengan mengurangkan pembentukan bahan nitrosamine (karsinogen). Asid fenilpropionik – sejenis bahan utama madu kelulut mungkin boleh mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2), sejenis enzim terbentuk semasa perkembangan kanser usus besar. Bahan ini juga efektif dalam menurunkan tahap kolesterol dalam plasma dan hati dan juga trigliserida dalam darah.

IMG-20160901-WA0000

Aktiviti Penyelidikan Superfood

Berdasarkan maklumat di atas, madu kelulut sememangnya mempunyai pelbagai khasiat antioksidan yang tinggi berbanding madu-madu tempatan yang lain mahupun madu import. Dalam hal ini MARDI akan membangunkan produk superfood madu kelulut yang diproses melalui pelbagai peringkat R&D. Dalam senario semasa, produk superfood di pasaran mempunyai nilai dan harga yang tinggi berbanding sumber superfood segar seperti buah raspberry, ceri, teh hijau dan sebagainya.

Untuk memartabatkan madu kelulut sebagai superfood, ianya perlu melibatkan beberapa aktiviti penyelidikan antaranya adalah;

  • pemilihan madu yang tinggi khasiat antioksidan (mangikut kawasan penternakan)
  • pembangunan teknologi pemprosesan
  • pembangunan produk madu kelulut yang novel melalui penggunaan sumber-sumber lain seperti propolis dan bee bread atau dengan mencampurkannya dengan herba
  • ujian keselamatan dan keberkesanan produk superfood madu kelulut. Diantaranya termasuk ujian terhadap tahap haemoglobin dalam darah dan ujian penurunan kadar gula dan kolesterol dalam darah.
  • penyelidikan penyerapan bahan-bahan antioksidan dan kajian perencatan sel kanser

IMG-20160901-WA0002

Kesimpulan

Kandungan zat pemakanan dan mineral yang terdapat dalam madu lebah kelulut serta kelebihannya sangat banyak, mewajarkan ianya diangkat sebagai superfood. Ianya digunakan secara meluas oleh manusia sebagai makanan kesihatan, sumber tenaga dan penyembuh penyakit. Kelebihan madu lebah kelulut telah terbukti dan secara amnya madu telah diiktiraf oleh Maha Pencipta sebagai makanan penyembuh penyakit sebagaimana tercatat dalam Al-Quran, surah an-Nahl; ayat 69. Berdasarkan kelebihan dan kandungan pemakanan yang ada dan pengiktirafan Allah swt, madu lebah kelulut memang layak dinobatkan sebagai Superfood Malaysia.


Untuk maklumat lanjut mengenai superfood madu lebah kelulut, hubungi saintis MARDI :

Dr. Suri Bin Roowi
Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan (FS1)
Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan
Ibu Pejabat MARDI, Serdang.
Selangor, Malaysia.

Tel: +603-8953 6401
E-mail: suri@mardi.gov.my

Leave a comment