Khazanah alam dengan 1,001 khasiat perubatan

Cendawan ada pelbagai jenis. Ada yang boleh dimakan dan ada pula yang beracun. Terdapat cendawan yang boleh ditanam secara komersial dan sesetengahnya pula hanya hidup secara liar dalam hutan.

Tetapi yang pasti tentunya tiada ramai yang mengenali cendawan susu rimau. Tetapi di kalangan nenek moyang kita dan Orang Asli mereka cukup arif tentang cendawan ini. Sebabnya kerana ia memiliki khasiat yang tidak ternilai yang tersimpan rapi sebagai khazanah alam yang perlu ‘dicungkil’ untuk manfaat semua.

Kenapa cendawan yang dengan nama saintifiknya Lignosus rhinocerus di gelar cendawan susu rimau? Kononnya, ia hanya boleh ditemui di hutan yang mempunyai populasi harimau.

Berdasarkan kisah dongeng, cendawan susu rimau dipercayai tumbuh di atas titisan susu harimau yang jatuh ke tanah semasa menyusukan anaknya. Dari situ ia mendapat nama.

Ubinya (sclerotium) yang berwarna putih terbentuk dan terbenam di dalam tanah berbulan, bertahun malah berabad lamanya.

Apabila tiba masanya, dari ubi tersebut ia akan bercambah. Mengikut kepercayaan hanya mereka yang bertuah akan menemui cendawan itu.

Cendawan susu rimau mempunyai khasiat yang menakjubkan terutama ubinya.

Selama berabad, ia digunakan sebagai herba untuk mengubati pelbagai masalah kesihatan.

Sebenarnya cendawan susu rimau telah digunakan sejak abad ke-18 bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.

Ketika itu setiap keluarga pasti menyimpan seketul kecil objek seperti batu sebagai ubat serba guna.

Apabila terdapat ahli keluarga dijangkiti sama ada batuk, selesema, demam, bengkak atau lemah badan, si ibu pasti mengeluarkannya dan parut atas permukaan tembikar untuk mendapatkan serbuk dan ditambah dengan air.

“Malah semasa kecil, ibu saya sering memberikan minum air campuran ‘susu rimau’ ketika demam atau sakit.

“Ketika itu saya benar-benar percaya ibu memberikan saya susu harimau.

“Sehingga saya mendengar ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Perdana Menteri) semasa persidangan BioMalaysia 2002 menyatakan susu rimau menyembuhkan batuk kroniknya,” kata Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Sumber Strategik, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Tan Chon Seng ketika ditemui di pejabatnya di Serdang baru-baru ini.

Beliau sedar susu rimau yang biasa diminum suatu masa dulu adalah sejenis cendawan. Bermula dari situ timbul minat beliau untuk terus mengkajinya.

Menurutnya, cendawan susu rimau digunakan oleh pengamal perubatan Melayu untuk mengubati penyakit barah darah, barah rahim, ulser usus, penyakit buah pinggang dan bengkak-bengkak pada badan.

Pengamal tradisional Cina pula menggunakannya untuk demam, lelah dan menguatkan kesihatan badan.

Semua puak Orang Asli menggunakan cendawan susu rimau untuk mengubati lebih 15 penyakit termasuk demam, batuk, lelah, barah, keracunan makanan dan luka.

Melihat kepada khasiat cendawan tersebut yang banyak, timbul persoalan mengapa ia tidak dikomersialkan?

Menurutnya, masalah utama ialah ia amat sukar ditemui dan wujud sebagai cendawan tunggal di tengah-tengah hutan.

“Orang Asli percaya tempat yang tumbuh cendawan susu rimau mempunyai harimau dan hanya dijumpai jika ada rezeki atau tuah.

“Disebabkan bekalan yang terhad, harganya melambung tinggi dan sukar untuk dikaji dan dikomersialkan,” katanya.

Bagi mempopularkan khasiat cendawan susu rimau, ia perlu dibiakkan dengan apa cara sekalipun.

Menurut beliau China, yang merupakan pengguna cendawan herba terbesar dunia memilih cendawan susu rimau sebagai salah satu daripada 10 cendawan yang berpotensi untuk dikomersialkan.

“Bagaimanapun cendawan ini hanya tumbuh liar di hutan Asia Tenggara. Mereka yang berjaya membiakkannya akan memperoleh pulangan yang lumayan,” katanya.

Namun daripada kajian beliau selama lapan tahun telah membuahkan kejayaan apabila cendawan susu rimau berjaya dihasilkan melalui tisu didik.

“Cabarannya paling getir adalah mencari bahan ramuan untuk membiakkan cendawan susu rimau.

“Kejayaan saya dalam penyelidikan susu rimau adalah sebagai penghargaan dan kenangan terhadap mendiang ibu saya yang telah mencetuskan inspirasi menjalankan penyelidikan,” katanya.

(Sumber dipetik dari Utusan Online)

Advertisement

Galak tanaman sepadu bagi tambah hasil petani

KUALA LUMPUR 19 Dis. – Kementerian Pertanian dan Asas Tani sentiasa menggalakkan petani untuk melaksanakan program tanaman bersepadu (integrated farming) bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong berkata, ketika ini, kementerian memberi tumpuan kepada projek penanaman kelapa yang turut ditanam dengan tanaman lain seperti koko, kopi, pisang, tembikai, nenas dan jagung.

“Statistik menunjukkan pendapatan penanam kelapa ialah RM5,900 sehektar setahun sahaja ketika ini.

“Namun apabila ada tanaman tambahan, pendapatan mereka meningkat hingga ke RM9,000 setahun mengikut tanaman bercampur yang ditanam,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Azian Osman yang meminta penjelasan perancangan kementerian bagi melaksanakan program tanaman bersepadu.

Menurut Tee Yong, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menggariskan beberapa contoh modul tanaman bercampur yang boleh membantu petani menambahkan pendapatan mereka.

Menjawab soalan tambahan Azian yang bertanyakan jumlah petani atau ladang yang terlibat dalam tanaman bersepadu serta sudah berjaya, katanya, ketika ini terdapat 57 projek dengan keluasan keseluruhan 332 hektar telah diusahakan secara bersepadu antara kelapa bersama tebu, pisang dan nenas.

“Namun apa yang paling penting ialah bimbingan bagi memastikan tanaman kelapa tumbuh dan sentiasa mengeluarkan buah sementara pengeluaran tebu dan pisang pula tidak terjejas,” ujarnya.

Tambah beliau, kerajaan juga telah mengenal pasti 57 syarikat bagi mengusahakan tanaman kelapa sawit dan haiwan ternakan dengan peruntukan sebanyak RM31.4 juta pada tahun ini.

(Sumber dipetik dari Utusan Online)

Teknologi padi hibrid

Padi HibridApa itu Oryza Sativa? Mungkin ada yang menyangka ia adalah istilah untuk sebuah proses sains. Apa yang pasti, istilah itu adalah nama saintifik bagi padi, iaitu tanaman yang begitu sinonim kepada masyarakat kerana ia menjadi makanan ruji iaitu beras, di negara ini.

Padi adalah salah satu daripada tanaman bijirin penting dan meliputi hampir 10 peratus daripada jumlah kawasan penanaman di Malaysia. Kebanyakan kawasan penanaman komoditi ini boleh dilihat sekitar kawasan Utara Semenanjung, khususnya Kedah.

Lazimnya, padi dituai sekali setahun untuk mendapatkan hasilnya. Ketika ini,
terdapat juga variasi padi yang membolehkan ia ditanam sebanyak dua kali setahun. Bagaimanapun, kedua-dua jenis padi tersebut masih mempunyai keiemahan, seperti serangan makhluk perosak dan penyakit kurang produktif dalam menjana hasil dan mengeluarkan hasil yang kurang berkualiti.

Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan
Pertanian Malaysia (MARDI) dengan usaha RB Biotech Sdn Bhd, menghasilkan padi hibrid siraj bertujuan menangani segala berkaitan penanaman padi.

Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata, padi hibrid adalah
benih padi yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada beberapa jenis benih terbaik berlainan bagi menghasilkan produk lebih berkualiti.

Menurutnya, padi hibrid menggunakan kaedah penanaman agak unik untuk mendapatkan benih, iaitu bermula dengan menanam barisan benih mandul jantan (CMS Line) sebanyak lapan baris.

“Kemudian kita perlu menanam dua baris benih tidak mandul jantan. Ia akan diikat dengan tali dan digoyangkan lalu terkena kepada benih mandul jantan,
seterusnya menghasilkan benih hibrid, dan ia dikenali sebagai generasi pertama
(F1),” katanya pada Sinar Harian.

Beliau berkata, penggunaan kaedah hibrid mampu meningkatkan hasil padi
sehingga 20 peratus berbanding padi biasa, atau lebih dikenali dengan istilah inbrid.

“Daripada aspek benih, ia menjimatkan kawasan penanaman padi kerana kaedah
hibrid hanya memerlukan 30 hingga 45 kilogram biji benih sehektar sawah padi,
berbanding inbrid iaitu 120 kilogram hingga 150 kilogram biji benih sehektar. Selain itu, hasil padi hibrid juga tinggi, iaitu sehingga tujuh tan bagi sehektar
berbanding antara empat dan lima tan bagi padi biasa,” katanya.

HASIL PADI MENINGKAT
Zainal Abidin berkata, padi hibrid mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan hasil padi metebihi 10 tan sehektar manakala padi inbrid boleh menghasilkan kutipan 11 tan sehektar. Oleh itu, cuba anda bayangkan sekiranya jumlah 11 tan itu meningkat sehingga 20 peratus?

Padi hibrid mampu mcnjimatkan penggunaan baja kerana ia tidak memerlukan pembajaan tambahan berbanding padi inbrid yang memerlukan pembajaan seperti baja buah tambahan dan baja urea tambahan.

Menurutnya, petani hanya perlu mengikut gerak kerja yang diberikan pihak
berkaitan untuk menanam padi hibrid dengan menggunakan pembajaan padi
minimum bagi mengelakkan tanaman membesar daripada apa yang ditetapkan.

“Tiada perbezaan ketara antara padi hibrid dan padi inbrid. Cuma padi kacukan
ini mempunyai ketinggian melebihi padi tradisional ini. Bilangan bilah juga agak
banyak kerana ia disemai menggunakan jentera, ekoran penggunaan biji benih yang sedikit. Tempoh matang padi hibrid adalah kurang daripada 90 hari dan ia akan mengeluarkan hasil dalam tempoh sama, tetapi pada kebiasaannya benih padi inbrid akan ditabur dua minggu lebih awal daripada padi hibrid,” katanya.

Beliau berkata, terdapat sedikit masalah untuk melaksanakan penanaman padi
hibrid, iaitu kos untuk menghasilkan benih padi hibrid agak tinggi iaitu RM15 untuk sekilo berbanding RM1.40 (benih inbrid).

Walaupun ia mahal, padi hibrid adalah alternatif kepada petani sekiranya ada
pihak yang mampu mengeluarkan benih tersebut kerana, ia mengeluarkan hasil
yang tinggi.

Zainal Abidin berkata, penggunaan benih hibrid sebelum ini sudah pun wujud
di Malaysia, yang mana kebanyakan pengusaha yang menanamnya, mengimport benih dari China. Benih padi Hibrid Siraj ini adalah benih padi hibrid pertama Malaysia yang dihasilkan menerusi kerjasama yang dijalankan antara MARDI dan syarikat penyelidikan padi hibrid, iaitu RB Biotech.

“Saya akui mungkin induk bagi benih hibrid ini daripada luar negara tetapi
hasil akhir bagi benih kacukan, kami jalankan secara usaha dengan syarikat ini yang berpangkalan di Tambun Tulang, Perlis,” katanya.

INISIATIF PETANI
Zainal Abidin berkata, hasil daripada kaedah penanaman padi hibrid tetap
bergantung kepada usaha dan kesungguhan petani itu sendiri kerana
pihaknya bekerjasama dengan golongan tersebut.

Jika mereka rajin menjaga tanaman itu dan mengikut arahan yang ditetapkan
daripada aspek nasihat, teknologi, pembajaan dan gerak kerja, maka mereka
akan mendapat hasil yang tinggi.

Kawasan penanaman padi di Tanjung Karang dipilih sebagai lokasi untuk
tanaman padi tersebut, yang ditanam dalam 26 lot petak sawah dan diselang dengan tanaman padi inbrid MR219, untuk membuat perbandingan antara kedua-dua jenis padi ini.

Projek perintis padi Hibrid Siraj ini mula dilaksanakan sejak tahun lalu dan sehingga kini, ia mampu menghasilkan sebanyak 10.3 tan bagi kawasan seluas satu hektar, manakala kutipan terendah pula adalah empat tan.

“Pada peringkat permulaan, projek perintis padi hibrid ini mula dilaksanakan di
Tanjung Karang dan Kelantan tahun lalu. Bagaimanapun, pulangan hasil yang lebih memberangsangkan membuatkan hanya Tanjung Karang dipilih sebagai lokasi projek bagi tahun ini. Kami akan terus menilai potensi benih ini di Tanjung Karang, dan sekiranya berpotensi, ia akan memberi pilihan kepada
petani selain padi inbrid,” katanya.

Zainal berkata, beliau mengakui bahawa teknologi itu masih baru dan mungkin agak asing di kalangan petani. Oleh sebab itu, MARDI mula menjalankan projek perintis di kawasan ini bagi membuktikan keberkesanan padi hibrid dalam menjana hasil tinggi.

Bagaimanapun, terdapat sedikit persoalan dalam pelaksanaan tanaman padi hibrid, iaitu keupayaan pengeluar untuk menghasilkan benih tersebut.

“Sehingga kini, bekalan benih padi hibrid agak terhad kerana ia hanya dihasilkan oleh RB Biotech, ditambah kaedah penghasilan benih padi ini amat berbeza berbanding padi inbrid,” katanya.

KEKANGAN BENIH PADI HIBRID
Usaha dalam menghasilkan benih padi hibrid ini adalah terpulang kepada keupayaan 13 syarikat tempatan yang ketika ini, hanya menghasilkan benih padi
inbrid.

Menurut Zainal Abidin, penghasilan benih padi agak rumit kerana ia perlu
melalui tetapan pengeluaran benih padi yang dikeluarkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA).

“Faktor ini membuatkan kebanyakan pengeluar benih padi inbrid ini agak
keberatan untuk menghasilkan benih ini, lalu membuatkannya pengeluaran benih padi ini agak terhad buat masa ini,” katanya.

Tambah beliau, padi hibrid siraj sebenarnya telah diisytiharkan pada 2006
melalui kajian yang diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi
pertanian daripada luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Penyelidikan benih padi ini bukan hanya bertujuan untuk mendapatkan hasil
yang tinggi kerana kami turut menitikberatkan ciri-ciri utama, seperti ketahanan dalam melawan penyakit dan serangan makhluk perosak. Pengenalan variasi benih padi adalah bertujuan untuk menangani pelbagai masalah, seperti variati sederhana tahan dan variati tahan lasak. Selain itu, penghasilan variati juga
adalah perlu kerana lazimnya satu variasi hanya bertahan sekitar 10 tahun sahaja, ekoran evolusi penyakit serta serangan makhluk perosak,” katanya.

Sebagai langkah jangka panjang, MARDI sedang merancang untuk mengeluarkan dan mengisytiharkan benih padi hibrid sendiri dalam tempoh tiga tahun akan datang, bagi memberi pilihan kepada petani dalam meningkatkan pengeluaran padi masing-masing.

“Apa yang pasti, pengeluaran benih ini diharap akan memberi kemudahan kepada petani untuk mendapatkannya dalam kadar harga lebih berpatutan, sekaligus meluaskan tanaman padi dengan menggunakan benih padi hibrid,” katanya.

(Sumber dipetik dari Sinar Harian)

Petani disaran guna GenKimo ke atas tanaman, haiwan ternakan

HULU LANGAT, 8 Disember – Semua peladang, petani dan penternak disaran menggunakan produk GenKimo bagi menggantikan penggunaan antibiotik ke atas tanaman dan juga haiwan ternakan mereka.

Menteri Pertaman dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, produk keluaran Dazzling Destiny Sdn Bhd itu, berasaskan bahan organik dan ia bersifat mesra alam, selain mutunya dijamin lebih baik berbanding antibiotik.

Katanya, produk bebas bahan kimia sintetik itu bagus untuk meningkatkan kualiti rasa tanaman dan daging ternakan, kerana menggunakan kaedah teknologi hijau, sekali gus baik untuk mengurangkan toksin dalam badan manusia.

Malah, tambah beliau, penternak tidak perlu lagi risau mengenai bau busuk yang terhasil daripada najis haiwan ternakan, kerana produk GenKimo turut mampu mengatasi masalah tersebut.

“Lazimnya, usahawan ternakan mendirikan reban atau kandang jauh dari kawasan perumahan, memandangkan bau najis yang busuk serta masalah lalat.
Kini, kalau mereka mahu mendirikan reban atau kandang di sebelah rumah pun tiada masalah,” kata beliau, yang menaungi projek usahasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertaman Malaysia (MARDI) itu.

Beliau berkata demikian sejurus merasmikan produk berkenaan serta merasmikan pembukaan kilang syarikat tersebut di Semenyih dekat sini hari ini.
Tambah beliau, MARDI akan turun padang untuk satu perjumpaan bersama ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk mencadangkan penggunaan produk tersebut.

“Bagaimanapun, kerajaan tidak melarang mereka untuk terus
menggunakan antibiotik,” ujarnya.

(Sumber dipetik dari Utusan Malaysia)

Rancang projek optimum tanah pertanian

Jumlah tanah yang semakin berkurangan di negara ini menjadi cabaran hebat kepada  sektor pertanian apabila bilangan penduduk Malaysia bertambah,
menyebabkan permintaan terhadap sumber makanan dan tumbuh-tumbuhan
meningkat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, ia
berikutan pembangunan yang semakin bercambah, membabitkan banyak tanah
pertanian sehingga memaksa beberapa tanah hutan yang baru dibuka dan diterokai.

Namun pihaknya dengan bantuan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) mula merancang beberapa projek sebagai langkah penyelesaian terhadap kekurangan tanah dihadapi negara ketika ini.

“Berikutan itu, kami perlu mempelbagaikan aktiviti pertanian sebagai satu
integrasi. Kini, perancangan kami untuk memastikan dalam satu tanah pertanian
yang dimiliki, sekurang-kurangnya tiga tanaman dibuat. Maksudnya, dalam satu
tanah yang sama, mungkin boleh dapatkan hasil lebih, contohnya kelapa, jagung
atau herba,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi
MARDI 2011 di Dewan MAEPS di sini semalam.

(Sumber dipetik dari Harian Metro)

Simpanan baka asas padi mencukupi bagi penanaman semula

Pesawah tidak perlu bimbang sekiranya kawasan penanaman padi mereka terjejas akibat banjir kerana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mempunyai bekalan baka asas tanaman itu yang mencukupi bagi tujuan penanaman semula.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman berkata, tindakan itu sebagai persediaan bagi kawasan penanaman padi yang terjejas akibat banjir, kerana memerlukan baka asas baru untuk dibiakkan menjadi benih sah sebelum digunakan untuk membuat semaian semula selepas hasil padi sedia ada rosak ditenggelami air.

Menurutnya, bekalan baka asas dalam simpanan MARDI mencukupi sehingga dua musim ke hadapan yang boleh digunakan ketika menghadapi sebarang perubahan iklim tidak menentu, seterusnya bagi mengatasi masalah kekurangan makanan pada masa akan datang.

“Dalam setahun, kami keluarkan 250 tan bekalan baka asas dalam simpanan kami, yang digunakan jabatan pertanian untuk dibiakkan menjadi benih sah,” katanya ketika ditemui seiepas perasmian Hari Inovasi MARDI 2011 di Dewan MAEPS di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya mementingkan simpanan bekalan padi yang mencukupi memandangkan hasil tanaman itu adalah jaminan keselamatan makanan negara berbanding hasil tanaman bagi sumber makanan lain.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Inovasi MARDI tahun ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar hadir melancarkan Geran MyMARDI InnoFund, yang ditubuhkan bagi menggalakkan penjanaan idea yang membawa kepada penemuan, penciptaan teknologi dan kaedah inovatif dalam penyelidikan, pemindahan teknologi dan operasi.

Dr Abd Shukor berkata, pihaknya menyedari keupayaan kakitangan MARDI daripada kumpulan sokongan yang mampu menjana teknologi seperti pegawai penyelidik lain yang terlatih dan berpengetahuan tinggi.

“Menerusi geran ini, kami menyediakan jumlah dana sehingga RM2 juta, dan setiap yang terpilih dalam program ini boleh menerima RM5 000 hingga RM 10 000 seorang, mengikut kepentingan dan keperluan dalam setiap inovasi dicadangkan. Pihak kami akan membuat penilaian ke atas setiap cadangan penyelidikan dihantar sebelum memilih penerima dana ini untuk digunakan bagi meningkatkan aktiviti penyelidikan mereka,” katanya.

(Sumber dipetik dari Harian Metro)

MARDI Perak Pertingkat Promosi Klon Durian

IPOH, 14 Disember – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI) Perak akan mempertingkatkan lagi usaha mempromosikan klon durian yang dihasilkan MARDI ke pasaran lebih luas.

Tiga jenis klon durian MARDI ialah MDUR 78 dan MDUR 79 yang dilancarkan pada 1991 serta MDUR 88 pada 1992.

Pengarah MARDI Negeri Perak Dr Zabri Abd Wahid berkata setakat ini, kekurangan dan ketidakkonsistenan dalam promosi telah mengehadkan potensi penerimaan klon durian oleh masyarakat umum, walaupun ia telah dihasilkan hampir 20 tahun.

Beliau berkata sehingga kini, klon durian ini cuma ditanam secara kecil-kecilan di Pahang, Kedah, Perak dan Terengganu.

“Usaha telah diambil untuk mempromosikan klon durian yang dihasilkan MARDI ini secara lebih meluas kepada pekebun bagi tujuan pengkomersialan,” katanya ketika ditemui di tapak MARDI di Kuala Kangsar hari ini.

Zabri berkata ketiga-tiga baka klon itu mempunyai ciri yang lebih baik daripada induk mereka.

Sebagai contoh, beliau berkata baka MDUR 88 adalah hasil kacukan antara D24 dan D10, yang mempunyai isi lebih tebal dan tempoh matang lebih cepat.

“Klon MDUR 88 lebih cepat berbuah iaitu enam hingga tujuh tahun selepas ditanam. Ia juga mempunyai ketahanan terhadap penyakit kanker batang (phytophthora palmivora) yang lebih tinggi.

“Setakat ini, apabila kami mempromosikan durian-durian klon ini di pesta buah-buahan dan karnival, ia memang mendapat sambutan yang baik, cuma tak ramai lagi yang mengetahuinya walaupun ia telah lama di pasaran,” katanya sambil menambah anak pokok durian klon itu boleh didapati di tapak semaian MARDI pada harga RM8 setiap satu.

Beliau berkata baka durian yang dihasilkan MARDI itu juga mempunyai penarafan dan pensijilan ISO, jadi kualiti pokok dan buahnya adalah terjamin.

Katanya, 12 lagi hibrid durian dihasilkan MARDI baru-baru ini dan institut itu kini dalam proses persediaan akhir untuk melancarkannya di pasaran.

(Sumber dipetik dari Bernama)

Stesen MARDI Bakal Dinaik Taraf Sebagai Pusat Agro Pelancongan

CAMERON HIGHLANDS, 10 Disember – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhasrat menaik taraf Stesen MARDI Cameron Highlands di sini sebagai Pusat Agro-Pelancongan bagi menarik pelancong dalam dan luar negara.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata stesen itu yang terletak dua kilometer dari pekan Tanah Rata mempunyai kawasan seluas 40 hektar yang sesuai dijadikan ladang buah-buahan dan bunga-bungaan.

“Kita akan memohon bantuan daripada Kementerian Pelancongan mendapatkan peruntukan bagi tujuan itu. Kebanyakan pokok yang ada di sini tidak bermusim dan ia sama dengan apa yang ada di Eropah disebabkan keadaan cuaca di sini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan MARDI di Stesen MARDI di sini.

Beliau berkata stesen itu, yang menerima kira-kira 180,000 pengunjung setiap tahun, menjana pendapatan RM1.3 juta.

Antara tarikan Stesen MARDI itu adalah ladang strawberi, sayuran, bunga, muzium teh, taman Inggeris dan Pusat Informasi Teknologi. Selain itu, turut disediakan kemudahan penginapan ‘English Cottage’ dengan kadar sewa berpatutan.

(Sumber dipetik dari Bernama)

RM80 Juta Dibelanjakan Di Bawah Dana Tekno Tahun Lalu

KAJANG, 8 Disember –  Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membelanjakan kira-kira RM80 juta untuk 18 syarikat dalam pelbagai bidang di bawah projek Dana Tekno tahun lalu, kata Menterinya Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata dana tersebut disediakan kementeriannya untuk semua syarikat dan penyelidik mencipta inovasi baru bagi meningkatkan sektor pertanian negara.

“Salah satunya, syarikat Dazzling Destiny Sdn Bhd yang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang telah membuat kajian untuk mencipta teknologi Genkimo dengan nilai RM1.5 juta.

“Genkimo adalah penemuan baru, teknologi hijau yang mesra alam yang dapat mengatasi masalah bau busuk dan lalat di ladang-ladang ternakan,” katanya kepada media selepas melancarkan teknologi itu dan merasmikan kilang syarikat terbabit, di Semenyih, di sini pada Khamis.

Noh berkata teknologi berasaskan kitar semula itu juga mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila memenangi pingat emas dan perak dalam satu pertandingan di Seoul, Korea.

Teknologi Genkimo menggunakan bahan sampingan pertanian seperti sekam padi, bahagian tumbuhan dan buah-buahan yang tidak sesuai untuk dijual bagi diproses dan dijadikan produk seperti baja, bahan minuman probiotik ternakan dan bahan nyahbau.

“Selama ini, orang yang menternak ayam akan menyebabkan orang lain marah kerana bau yang busuk dan lalat yang banyak. Tetapi dengan Genkimo, masalah tersebut akan dapat diatasi,” kata Noh.

Sementara itu, Noh berkata kementerian merancang untuk mewujudkan kilang makanan haiwan bagi mengurangkan pengimportan bahan tersebut seperti yang ditetapkan di bawah Bidang Utama Eknomi Negara (NKEA).

“Yang banyak sekali kita import ialah makanan haiwan. Apabila dah banyak import, kita tidak boleh kawal harga. Kalau dah harga makanan naik, sudah tentu harga ikan, ayam naik. Sebab itu kita merancang untuk mewujudkan kilang makanan,” katanya.

(Sumber dipetik dari Bernama)

R&D Perlu Dalam Menjayakan Industri Agromakanan

SERDANG, 6 Disember – Usaha mentransformasikan industri agromakanan sebagai sektor moden dan berteknologi tinggi perlu disokong dengan aktiviti kajian dan pembangunan (R&D) dan inovasi yang mantap, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata ini penting bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran pertanian di negara ini.

“Kejayaan dasar agromakanan negara amat bergantung kepada usaha pengkomersilan R&D dan membangunkan produk inovasi dengan meningkatkan lagi kolobarasi R&D dengan pihak industri.

“Bagi memacu R&D yang berorentasikan pasaran, kerjasama pintar antara agensi penyelidikan kerajaan dan institusi pengajian tinggi dengan industri perlu digiatkan lagi bagi memastikan pemindahan dan pengkomersilan R&D yang lebih lancar,” katanya semasa merasmikan Hari Inovasi MARDI 2011 di sini hari ini.

Pada majlis itu Noh turut melancarkan geran MyMARDI InnoFund bernilai RM2 juta bagi menggalakkan warga MARDI menjana idea yang boleh membawa kepada penemuan dan penciptaan teknologi dan kaedah yang inovatif dalam penyelidikan, pemindahan teknologi dan operasi.

Di samping itu, beliau menyarankan supaya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia itu dan agensi berkaitannya mencari sumber kewangan dan dana daripada sektor swasta seperti yang dilakukan oleh agensi pertanian negara luar.

Beliau turut menyampaikan 22 anugerah inovasi khas kepada warga MARDI yang telah menyumbang kepada kecemerlangan institut berkenaan.

(Sumber dipetik dari Bernama)