18 Jun 2020 – MARDI telah berjaya memeterai satu lagi Memorandum Persefahaman (MoU) secara maya dengan pihak antarabangsa iaitu dengan Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor (Ketua Pengarah MARDI) dan Bapak Dr. Agussani (Rektor UMSU). MARDI turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah MARDI (Penyelidikan), Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Pengarah Pusat Pengurusan Sumber Manusia dan Pengarah Pusat Urus Tadbir & Perundangan.
UMSU merupakan sebuah universiti swasta yang terletak di Sumatera Utara dan mempunyai tiga kampus iaitu Kampus Utama (Rektorat dan Program Pra-siswazah), Kampus Perubatan (Fakulti Perubatan) dan Kampus Pasca Siswazah. Ia merupakan salah satu universiti terbaik di Medan, Sumatera Utara dari segi pencapaian akademik dan bilangan pelajar. Menawarkan program pengajian di peringkat Ijazah dan Master, misi universiti ini adalah menjadi sebuah universiti yang membentuk peradaban manusia melalui pembangunan sains, teknologi dan sumber manusia berteraskan Islam.
Memorandum ini merupakan hasrat UMSU, susulan lawatan mereka ke MARDI pada 21 Ogos 2019. Di bawah kerjasama ini, MARDI dan UMSU akan memfokus kepada kerjasama R&D (komoditi – jagung, padi, sorghum, ubi-ubian, sayur-sayuran, buah-buahan, bunga-bungaan, medicinal plants dan kopi), program latihan industri pelajar, penganjuran bersama konsferens/seminar/bengkel, program latihan keusahawanan dan kolokium.
Program Jaringan Antarabangsa, MARDI.