Geran Bantuan Kerajaan ‘Talian Hayat’ Agropreneur Muda Cipta Kejayaan

bernama_1

GEORGE TOWN (Bernama) – Keputusan K. Ramana, 30, untuk meninggalkan gaji lumayan dan karier sebagai juruterbang pesawat komersial dengan menceburi bidang pertanian empat tahun lalu, ternyata tidak sia-sia. Manakan tidak, siswazah lulusan sebuah institusi pengajian penerbangan di Thailand itu bukan sahaja berjaya membuktikan pertanian mampu menjana pendapatan lumayan malah dapat mencipta industri baharu dalam pengeluaran makanan ternakan haiwan. Melalui bimbingan dan bantuan geran Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, syarikat penanaman jagung bijirin miliknya iaitu Famox Plantation (M) Sdn Bhd di Merbok Kedah, berupaya menjana pendapatan bulanan mencecah jutaan ringgit.

bernama_2

Ramana, adalah contoh usahawan berjaya di bawah Program Agropreneur Muda Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yang diwujudkan sejak 2016 seiring pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-11 untuk golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun. Beliau yang juga pengasas dan pengarah urusan Famox Plantation menerajui bidang penanaman jagung bijirin di Malaysia setelah yakin dengan potensi lumayan sektor pertanian dapat menjana ekonomi negara. “Sektor pertanian bukan pilihan golongan muda untuk meneruskan kerjaya…tetapi bagi saya persepsi ini perlu diubah kerana pertanian mempunyai masa depan yang sangat lumayan. Bantuan serta geran daripada kerajaan banyak membantu mengurangkan kos pengeluaran tanaman jagung bijirin syarikat saya,” katanya ketika ditemui Bernama sempena Program Jelajah Agropreneur Muda (JAM) zon utrara yang berlangsung pada 13 hingga 15 Mac lepas. Ladang jagung bijirin beliau yang berkeluasan 58 hektar di Merbok, Kedah, turut menanam ubi kayu (cassava) dan menternak lembu sebagai langkah untuk mengoptimumkan penjanaan hasil tanaman dan penternakan sepanjang tahun syarikatnya. Atas semangat dan komitmen tinggi dalam sektor pertanian dan perladangan, anak muda dari Bedong, Kedah ini menerima pelbagai anugerah antaranya Ikon Agropreneur Muda 2018/2019 (Perladangan).

PROGRAM AGROPRENEUR MUDA

bernama_3

Timbalan Ketua Setiausaha Dasar Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Datuk Haslina Abdul Hamid berkata sejak 2016, terdapat lebih 5,000 usahawan telah menerima geran Agropreneur Muda yang bernilai sehingga RM20,000 dalam bentuk peralatan seperti mesin, benih, baka, khidmat nasihat dan sebagainya. Inisiatif geran Agropreneur Muda yang disuntik kerajaan kepada usahawan belia tempatan ini bukan sahaja membolehkan mereka berjaya mengaut keuntungan berlipat ganda malah mereka dapat menceburi pasaran antarabangsa. “Daripada keuntungan sekadar ‘biasa-biasa’, ada dalam kalangan agropreneur muda yang menerima bantuan geran kerajaan berjaya memperoleh keuntungan yang berlipat kali ganda,” katanya. Lebih memberangsangkan, kata Haslina, penglibatan belia dalam Program Agropreneur Muda, berjaya mengubah persepsi belia terhadap sektor pertanian sebagai industri yang berdaya maju. Program Agropreneur Muda bertujuan untuk membantu dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang keusahawanan agro berasaskan aktiviti dalam rantaian nilai sektor pertanian seperti tanaman, ternakan, perikanan, industri asas tani, pemasaran, khidmat sokongan dan agro pelancongan. Katanya, dalam usaha mencapai sasaran seramai 1,200 belia menceburi program agropreneur pada tahun ini, kementerian menganjurkan buat tahun kedua Jelajah Agropeneur Muda (JAM) bermula di zon utara. “JAM pada tahun ini dimulakan di Zon Utara pada 13 hingga 15 Mac lepas, dengan tumpuan kepada sembilan usahawan muda di negeri utara tanah air iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. “Kami memberi semangat kepada agropreneur muda untuk terus memacu industri dan memantau pelaksanaan projek-projek mereka,” katanya sambil menambah JAM juga bertujuan meneliti keperluan usahawan dari segi khidmat nasihat, teknikal dan sebagainya. Namun, katanya disebabkan negara kini sedang menghadapi ancaman penularan wabak COVID-19, JAM yang sepatutnya seterusnya ke zon timur, terpaksa ditangguhkan ekoran keadaan semasa wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

BANTUAN KEMENTERIAN KEPADA USAHAWAN

Sempena siri JAM zon utara baru-baru ini, kementerian turut memberi bimbingan kepada para usahawan menerusi penganjuran Kursus Penyediaan Rancangan Perniagaan anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selama dua hari.

bernama_4

Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali berkata kursus telah memberi pendedahan secara teori kepada bakal usahawan tentang selok-belok perniagaan dan membuat persediaan bagi mengharungi cabaran dalam perniagaan. “Penglibatan belia dalam sektor pertanian, penternakan dan industri asas tani dapat mmgurangkan pengangguran. Generasi akan datang diharap lebih berilmu dan bertenaga dalam bidang ini supaya dapat menjana pendapatan bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada negara,” katanya. Seorang daripada peserta kursus Mohd Amir Farhan Mohd Zarif, 23, yang sedang berjinak-jinak dalam penternakan lembu hibrid berkata beliau mengikuti kursus itu untuk merancang hala tuju perniagaan penternakan lembu hibrid. “Alhamdulillah, banyak yang saya pelajari daripada kursus ini dan ia sangat bermanfaat, Saya masih baru dalam bidang ini namun saya merancang mengembangkan ternakan lembu,” katanya yang kini mempunyai seekor lembu jantan dan tiga ekor lembu betina. Mohd Amir Farhan juga mengakui masih ramai belia tidak mengetahui mengenai bantuan dan geran yang disediakan kementerian sekali gus menyebabkan mereka kurang berminat menyertai sektor pertanian. “Setelah berkecimpung dalam pertanian, saya dapati kementerian melalui agensi-agensi di bawahnya amat membantu dan menggalakan usahawan khususnya belia untuk berjaya dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

AGROPRENEUR EKSPORT PRODUK, UNTUNG BERLIPAT GANDA

Seorang lagi usahawan Agropreneur Muda yang berjaya ialah pengusaha dodol enzim, G. Devandaran, 30, yang kini memperoleh hasil jualan mencecah sehingga RM250,000, sebulan, berbanding sebelum ini iaitu sekitar RM5,000 dan RM6,000. Bantuan dalam bentuk geran, mesin dan khidmat nasihat yang diterima daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah membantu syarikatnya Malayan Food Venture, di Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran dodol enzim sehingga dapat memenuhi pasaran antarabangsa. “Dodol enzim mempunyai jangka hayat lebih lama dan mampu bertahan sehingga setahun berbanding dodol biasa yang dihasilkan secara tradisional,” katanya sambil mengakui teknologi pemprosesan dodol enzim yang dipelajari dari Mardi membolehkan beliau mengeksport dodol keluaran syarikatnya. Devandaran yang menjalankan perniagaan dodol enzim sejak tiga tahun lalu berkata ketika mula mengusahakan dodol, beliau hanya memasarkan dodol ke kedai-kedai runcit berdekatan. Namun, atas pelbagai bantuan kerajaan, Devandaran berupaya memperluaskan pemasaran eksport dodol enzim ke Emiriah Arab Bersatu, Mexico, Singapura, Amerika Syarikat, China dan Indonesia.

bernama_5

Seorang lagi peserta agropreneur muda ialah Md Zuhaimi Samat, 37, yang mengusahakan ternakan lebah kelulut di Bertam, Pulau Pinang. Bermula dengan lima koloni lebah kelulut, Md. Zuhaimi kini memiliki sebanyak 150 koloni di tanah berkeluasan dua hektar yang menjadi rumah kepada tiga spesies lebah iaitu Itama, Thoracica dan Terminata. “Saya menerima geran Agropreneur Muda pada tahun 2016 dalam bentuk 15 buah koloni lebah, mesin gergaji, mesin pengadun dan peti sejuk. Insentif kerajaan ini membantu saya menghasilkan madu kelulut yang lebih berkualiti,” kata beliau yang kini mempunyai tiga lokasi penternakan madu lebah kelulut di Kepala Batas, Guar Perahu dan Kupang, Kedah.

PROGRAM MENTOR-MENTEE

Demi kesinambungan ilmu perniagaan yang diperoleh, usahawan agropreneur komited membimbing dan melatih pelajar-pelajar dari institut pengajian tinggi, kolej-kolej pertanian tempatan dan individu yang berminat. Famox Plantation misalnya, aktif melatih pelajar yang mengambil jurusan pertanian dan penternakan di ladang syarikat itu menerusi program mentor-mentee. “Kita (melatih) mereka tentang konsep pengurusan ladang menggunakan prosedur operasi standard yang terbaik selain memberi bimbingan, khidmat nasihat, serta jaminan pembelian balik hasil pengeluaran yang akan diuruskan syarikat kami,” kata Ramana. Tambahnya, Famox Plantation turut menjalinkan kerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bagi mengusahakan hampir 4,000 hektar penanaman jagung bijirin di seluruh negara sekali gus memberi peluang kepada 100 peserta di bawah koperasi itu. Mengikuti jejak serupa, Md Zuhaimi juga giat memberikan khidmat nasihat secara percuma mengenai kaedah penternakan kelulut kepada pelajar yang dihantar oleh agensi-agensi kerajaan mahupun individu yang datang secara persendirian. “Selain menjadi lokasi agropelancongan, ladang lebah kelulut kami turut menyediakan khidmat nasihat cara menternak kelulut, menangkap lebah, memecahkan koloni, dan sebagainya,” katanya Md Zuhaimi.


Disunting oleh Rafe ‘aton Md. Ali, BERNAMA

Leave a comment