LANGKAWI, 3 Mac 2020 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malasyaia (MARDI) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada hari ini dengan jayanya telah mengadakan Seminar Kebangsaan Agro Pelancongan (AGROTOUR) 2020 yang telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Zainal Azman Bin Abu Seman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Seminar kali ketiga yang dianjurkan di bawah inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) ini merupakan salah satu strategi dalam merancakkan lagi industri agro pelancongan negara. Industri ini merupakan salah satu komponen dalam Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011-2020 yang amat diberi penekanan oleh pihak kementerian.
Nilai industri ini meningkat sebanyak 10.3% daripada RM56.4 bilion pada tahun 2005 kepada RM201.4 bilion pada tahun 2017. Industri ini juga menyumbang sebanyak 3.4 juta pekerjaan atau 23.2% daripada jumlah pekerjaan pada tahun 2017 berbanding 1.5 juta pekerjaan pada tahun 2005. Industri pelancongan dijangka terus berkembang dengan meningkatnya kedatangan pelancong sebanyak 24 juta pada tahun 2009, dan mensasarkan 36 juta dalam tahun 2020.
Sejajar dengan kempen ‘Melawat Malaysia 2020’ yang merupakan sebahagian daripada misi nasional, MOA melalui MARDI tidak berkecuali dalam membantu mempromosikan industri agro pelancongan negara. MARDI telah menjadikan lima (5) buah Stesen sebagai Taman Agroteknologi iaitu MARDI Langkawi, MARDI Cameron Highlands, MARDI Cherating dan MARDI Kuala Kangsar. Terkini, Galeri Inovasi Padi di Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang telah dilancarkan pada 18 Februari lepas bagi mempamerkan teknologi berkaitan padi.
Kesemua Taman-Taman Agroteknologi MARDI secara umumnya menggunakan konsep T.I.C.E.R, iaitu Technology, Innovation, Conservation, Education and Recreation yang merangkumi elemen agro pelancongan, menyediakan kemudahan rekreasi, menjadi wadah pembangunan dan penggunaan teknologi, memberi pengetahuan dan menyediakan tempat pembelajaran dalam mengekalkan konsep alam sekitar hijau. Setiap Taman Agro Teknologi MARDI ini mempunyai keunikan dan kelainan yang tersendiri. Untuk masa hadapan, MARDI akan mewujudkan empat (4) lagi Stesen MARDI sebagai Taman Agroteknologi iaitu di MARDI Kluang, Johor yang berkonsepkan ternakan; MARDI Kuala Linggi, Melaka berkonsepkan herba dan minyak pati; MARDI Bagan Datuk, Perak berkonsepkan teknologi kelapa; dan MARDI Jeram Pasu, Kelantan berkonsepkan buah-buah nadir dan ternakan.
“Banyak produk-produk telah diwujudkan untuk menarik minat pelancong dan pengunjung untuk datang ke pusat-pusat agropelancongan di negara kita. Antara produk berasaskan agropelancongan yang popular adalah lawatan ke dusun buah-buahan dan ladang ternakan, penyelidikan, inapdesa (homestay) dan sebagainya. Pelancong berminat ke tempat-tempat begini kerana mereka berpeluang melakukan aktiviti seperti memetik sendiri buah-buahan atau sekiranya melawat ladang ternakan, mereka akan didedahkan kepada cara untuk menternak, memerah susu atau proses penyembelihan haiwan ternakan yang betul. Jika ke sawah padi, mereka juga boleh melakukan aktiviti menanam padi, menggagau ikan atau membanting padi, merasai sendiri pengalaman sebagai seorang pesawah. Aktiviti seperti ini bukan sahaja menarik minat pengunjung atau pelancong daripada luar negara, malah turut menarik minat pengunjung yang menetap di bandar, khususnya kanak-kanak dan golongan muda.” Ujar Zainal Azman.
Turut diadakan pada majlis berkenaan; Pelancaran Buku Mewah (Coffee Table) ‘Taman Teknologi Agro Pelancongan MARDI’.
Majlis disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Zainal Azman Bin Abu Seman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Turut hadir, YBhg. Dato’ Haslina Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI; Barisan Ahli Lembaga Pengelola dan Majlis Sains MARDI; Ketua-ketua Jabatan dan Agensi; serta Barisan Pengurusan Kanan MARDI.
Program Perhubungan Awam, MARDI.