Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

Archive for May, 2011

Seminar Dwi Mingguan Bil 8/2011

Seminar Dwi Mingguan tahun 2011 siri kelapan akan diadakan pada 3 Jun 2011 (8.30 pagi) bertempat di Bilik Taklimat Bangunan Direktorat Blok A, Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Berikut adalah tajuk pembentangan dan nama pembentang:

Tajuk pembentangan 1 :
SEED CAPTAIN PROGRAM – MODUL 1: SEED VIGOUR
Pembentang 1: Pn. Zaitialia Mohlisun (Unit Biji benih)

Tajuk pembentangan 2:
POTENSI FORMULASI VIRUS NUKLEOPOLIHEDROSIS (NPV) SEBAGAI BIOPESTISID
Pembentang 2: Pn. Siti Noor Aishikin Abdul Hamid  (Pusat Penyelidikan Sumber Strategik)

Semua di jemput hadir.

Gallery

Mesin mengasing sabut kelapa

Pokok kelapa dikatakan sebagai pokok seribu guna kerana setiap bahagiannya ada kegunaan tertentu. Batang misalnya boleh dibuat titi, daun untuk ketupat dan lidi penyapu, isi kelapa dan umbut untuk bahan dalam makanan dan terkini santan kelapa boleh menghasilkan minyak kelapa dara.

Biasanya sabut kelapa yang diproses digunakan dalam sektor pertanian terutama kerana ciri-cirinya yang menyerap air selain fiber digunakan dalam industri perabot.

Terdapat dua produk utama yang didapati daripada sabut kelapa adalah cocopeat (habuk sabut) dan coir (fiber panjang).

Biasanya cocopeat digunakan sebagai media tanaman terutama pada sistem fertigasi manakala coir merupakan bahan yang biasa terdapat di dalam tilam, di bawah lapisan karpet, hamparan dan papan penebat.

Kaedah pengeluaran cocopeat dan coir secara tradisional amat merumitkan dan memakan masa yang lama.

Biasanya sabut kelapa akan direndam di dalam kolam selama sebulan kemudian sabut yang diawet tadi diangkat dan ditoskan sebelum dipukul bagi memecahkan dan melembutkannya.

Cocopeat dan coir kemudian diasingkan menggunakan penapis.

Justeru Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membangunkan mesin mengasing sabut kelapa bagi memudahkan usahawan kecil dan sederhana memproses sendiri sabut kelapa mereka.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr. Md. Akhir Hamid berkata, mesin mengasing sabut kelapa yang bangunkan amat mudah digunakan dan mesra alam sekitar.

Mesin berkenaan boleh memproses dan mengasingkan cocopeat dan coir amat diperlukan bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh pengusaha ladang kelapa.

“Mesin mengasing sabut kelapa berupaya memecahkan dan melembutkan sabut dan pada masa yang sana memisahkan fiber coir daripada cocopeat dalam satu operasi,” katanya semasa ditemui di pejabatnya, baru-baru ini.

Semasa proses berkenaan, jelas Dr. Md. Akhir mesin berkenaan berupaya mengasingkan cocopeat dan coir iaitu dua produk daripada sabut kelapa.

Mesin berkenaan telah direka dengan kapasiti memproses 500 kilogram sabut dalam masa sejam.

“Hanya seorang pekerja diperlukan untuk menjalankan operasi berkenaan termasuk membungkus cocopeat dan coir,” katanya.

Bagi memudahkan operasi, mesin berkenaan dilengkapi dengan drum berpusing dengan diameter 100 sentimeter (sm), pisau untuk memukul serta roda dan beroperasi menggunakan enjin diesel 10 kuasa kuda.

Mesin berkenaan boleh dibawa ke ladang dengan sebuah traktor mini disambungkan kepada mesin pemisah bagi membolehkannya dibawa ke mana-mana saja di dalam ladang.

Mesin mengasing sabut kelapa boleh beroperasi terus di mana saja kerana tidak menggunakan tenaga elektrik.

Fiber coir dan cocopeat boleh diasingkan secara terus semasa proses pengasingan dan kedua-duanya dikumpulkan dalam kotak yang disediakan supaya dapat mengurangkan masa bekerja.

Mesin berkenaan telah direka sedemikian rupa bagi membezakannya dengan mesin yang biasa digunakan di dalam kilang.

Dr. Md. Akhir berkata, mesin mengasing sabut kelapa amat berguna bagi pengusaha tanaman kelapa dan usahawan media pertanian dan bagi individu yang menghasilkan cocopeat bagi kegunaan nurseri sendiri atau menjualnya kepada pihak lain.

“Mesin berkenaan boleh beroperasi terus dari ladang dan memberikan persekitaran yang lebih sihat,” katanya.

Mesin mengasing sabut dijangka dapat membantu petani kelapa meningkatkan pendapatan menerusi

Jualan fiber dan cocopeat terus kepada pelanggan seperti kepada pengeluar kerusi kereta dan nurseri.

Proses pemisahan sabut boleh dilakukan tanpa kilang dan mengelakkan pengumpulan sisa di sesuatu tempat dan dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar

Tidak terdapat kos tambahan bagi pengangkutan tambahan

Pengguna yang berpotensi menggunakan teknologi berkenaan seperti petani atau penanam kelapa dalam skala kecil, pengeluar fiber coir dan cocopeat komersial dan usahawan dan kecil dan sederhana.

(Sumber dari Utusan Online)

Gallery

Potensi madu kelulut

SEGALA yang diciptakan Allah sudah pasti tiada yang sia-sia. Antara ciptaanNya yang amat istimewa adalah lebah. Sesungguhnya lebah diletakkan pada kedudukan amat penting berbanding serangga lain.

Tidak hairan jika satu surah di dalam al-Quran dinamakan An-Nahl bererti lebah berdasarkan firman Allah dalam ayat 68 dan 69 ertinya: “Dan Tuhanmu mengilhamkan kepada lebah: Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu dan di tempat yang dibuat manusia.”

“Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.”

Madu berasal daripada sari bunga dan menjadi ubat bagi pelbagai penyakit manusia.

Khasiat madu sebagaimana disampaikan al-Quran telah dibuktikan secara ilmiah oleh pakar perubatan.

Sehingga kini kajian hanya menjurus kepada lebah madu dalam Genus Apis seperti Apis melifera dan Apis dorsata yang menyengat.

Manakala lebah tidak menyengat atau kelulut dalam genus Trigona memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan ditinggalkan.

Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.

Kajian dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan negara mempunyai kepelbagaian kelulut paling banyak berbanding negara Asia lain.

Pegawai Penyelidik, Pusat Penyelidikan Strategik, Mohd Fahimee Jaafar berkata, di Semenanjung Malaysia saja terdapat 29 spesies kelulut manakala jumlah spesies di Sabah dan Sarawak tidak dapat ditentukan.

“Di MARDI saja terdapat 15 spesies dan boleh dibahagikan kepada tiga iaitu besar, sederhana dan kecil,” katanya.

Kajian Mohd. Fahimee banyak dibantu oleh Pembantu Penyelidik, Hamdan Sipon yang telah menjalankan kajian kelulut selama lebih 10 tahun.

Fahimee berkata, usaha pemuliharaan spesies kelulut di lapangan giat dijalankan di MARDI bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Kelulut biasanya terdapat di hutan dan bersarang pada batang kayu yang telah ditebang.

“Beberapa sarang direka di ladang di Serdang bertujuan memanipulasi koloni bagi pendebungaan beberapa spesies buah-buahan serta buah-buahan dengan bunga kecil dan penghasilan madu.

“Kepelbagaian kelulut boleh dilihat menerusi bentuk sarang,” katanya.

Koloni kelulut di MARDI diletakkan di ladang durian, belimbing dan longan sebagai agen pendebungaan yang berjaya.

“Misalnya ladang durian yang mempunyai koloni kelulut menunjukkan peningkatan hasil dan sentiasa berbuah tidak mengira musim,” katanya.

Lebih istimewa, lebah kelulut mudah mendebungakan bunga bersaiz kecil yang tidak boleh dilakukan lebah madu.

Bagi tujuan komersial, koloni kelulut diletakkan dalam kotak yang boleh memuatkan 1,000 hingga 2,000 ekor.

“Dalam masa sebulan hasil kelulut sudah boleh dituai dalam bentuk madu, debunga dan propolis dan pengambilan madu lebih mudah kerana kelulut tiada sengat,” katanya.

Kelebihan kelulut adalah madunya boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil.

Setakat ini madu kelulut belum lagi dikomersialkan kerana masih ramai tidak mengetahui kelebihan kelulut.

“Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi.

“Madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah,” katanya.

Madu kelulut lebih mahal dibandingkan dengan madu lebah biasa kerana kurang di pasaran.

Produk propolis berwarna kehitaman dikumpulkan oleh kelulut pekerja iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti debunga dan bunga.

Bahan propolis digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan virus, kulat dan serangga perosak.

Propolis boleh berfungsi sebagai antikulat, antifungus, antibakteria dan antiradang yang biasanya digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik, krim dan tablet.

Kelulut mudah diuruskan kerana tidak seperti lebah madu yang sering hilang, tidak tinggal di sarang serta mudah diserang penyakit.

Justeru, kajian mendalam mengenai produk kelulut perlu dijalankan bagi membolehkannya dikomersialkan pada masa hadapan.

(Sumber dari Utusan Online)

Gallery

Mini MAHA Negeri Pahang 2011

Program Mini MAHA Negeri Pahang 2011 telah selamat berlangsung pada 27-29 Mei 2011 di Taman Pertanian Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan. Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Pahang pada 28 Mei 2011.

Ketua Setiausaha, YBhg. Dato’ Hashim bin Abdullah telah mewakili Menteri Pertanian ke acara perasmian bersama ketua-ketua Jabatan MOA Inc. Persekutuan dan Negeri. YH Dato’ Dr. Hj. Masri Bin Muhamad telah hadir mewakili Datuk Ketua Pengarah MARDI.

MARDI telah mengadakan pameran dan demonstrasi mesin proses makanan (kueh karas, ros, rempeyek) dan mesin mengupas durian, destoner serta mesin proses cocopeat.

Gallery

MARDI Komersilkan Polimer Komposit Daripada Kenaf

Hasil kajian selama enam tahun, Mardi berjaya membangunkan teknologi untuk menghasilkan polimer komposit daripada tanaman kenaf untuk menggantikan penggunaan kayu panel dalam industri pembinaan.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman berkata produk dikenali KPC (Kenaf Polymer Composite) itu lebih tahan lama dan mesra alam kerana ia menggunakan setiap bahagian daripada kenaf serta tidak menggunakan produk kayu sekaligus memelihara alam semula jadi.

“Produk ini juga telah melalui pelbagai ujian ketahanan, malah ia juga telah dihantar untuk ujian di sebuah pusat penilai yang diiktiraf oleh Kesatuan Eropah, TUV Rheinland di Singapura, untuk dinilai di mana ia didapati tidak mempunyai sebarang masalah,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Mardi dan KPC Manufacturing Sdn Bhd di Mardi di sini hari ini.

Abdul Shukor berkata dengan penghasilan produk itu, tanaman kenaf akan lebih mendapat sambutan daripada petani untuk menanam tanaman itu sekaligus meningkatkan pendapatan mereka.

Beliau berkata teknologi itu juga tidak memerlukan pengusaha untuk memproses kenaf bagi mendapatkan serat, justeru meminimumkan kos dan sumber manusia kerana ia membolehkan kenaf terus dipotong dan diproses menjadi cip di ladang sebelum dihantar ke kilang untuk diproses.

“Keunikan teknologi ini adalah kemampuan kenaf untuk diproses secara langsung menjadi produk KPC tanpa perlunya produk perantara. Mesin ini juga boleh disesuaikan untuk penghasilan KPC dalam bentuk pelet bagi industri ekstrusi dan suntikan molding,” katanya.

Abdul Shukor berkata produk itu mempunyai pasaran yang luas di mana untuk pasaran tempatan sahaja, dianggarkan potensi bernilai RM3 bilion dapat diwujudkan untuk produk itu.

Beliau berkata pasaran global bagi komposit berasaskan kayu dianggarkan sekitar US$280 bilion dengan Malaysia dijangka mengeluarkan antara tujuh dan 11 peratus daripada permintaan itu.

Abdul Shukor berkata KPC Manufacturing dipilih sebagai rakan kongsi dalam usaha pengkomersilan produk ini kerana ia memenuhi spesifikasi ketat yang ditetapkan oleh Mardi, serta mempunyai kakitangan yang berpengetahuan luas dalam bidang kejuruteraan pembuatan dan pasaran.

“Saya percaya dengan profil syarikat yang baik, ia mampu untuk memasarkan produk ini dengan lebih jauh,” katanya.

(Sumber dari BERNAMA)

Gallery

MARDI biak biri-biri Dorper secara separa intensif

MARDI berjaya mengeluar serta memajukan teknologi baru iaitu membiak biri-biri dari jenis Dorper di bawah sistem separa intensif. Teknologi ini bertujuan meningkatkan pengeluaran daging ruminan dan seterusnya membantu para penternak meningkatkan taraf sara hidup mereka.

Biri-biri Dorper dipilh sebagai baka daging kerana ia mempunyai daya ketahanan tinggi terhadap iklim tropika di negara ini dan terhadap penyakit, selain serangan parasit tempatan. Tambahan lagi, ia mudah diternak kerana boleh memakan pelbagai jenis rumput dan tumbuhan di samping tiada masalah pembiakan.

Pengeluaran secara separa intensif ini mampu membantu para penternak mengetahui cara pengurusan yang sistematik, baik dan sesuai, sekaligus meningkatkan pengeluaran baka yang bermutu serta berkualiti. Melalui teknologi baru ini, para penternak akan dapat meningkatkan pengeluaran daging ruminan kecil tempatan demi untuk mencapai sara diri negara sebanyak 35 peratus menjelang 2015 dan memenuhi permintaan kambing di pasaran.

Gallery

Kursus & Latihan Teknikal Jun 2011

Program Kursus & Latihan Teknikal akan mengadakan kursus seperti berikut untuk bulan Jun 2011.

Bil Tajuk Kursus Tarikh Tempat Yuran (RM)
1 Pengeluaran Bahan Tanaman Buah- Buahan 7-9 Jun Serdang 1,000
2 Landskap dan Simenfero 13-18 Jun Serdang 1,450
3 HACCP and Its Implementation 20-24 Jun Serdang 1,950
4 Pemprosesan Sos dan Cili Boh 7-9 Jun Johor Bahru 800
5 Pemprosesan Hasilan Surimi (bebola ikan, kek ikan, yong tau fu, sos yong tau fu) 7-9 Jun Kuala Terengganu/Kota Kinabalu 1,000/1,100
6 Pemprosesan Snek Ikan (keropok lekor, keropok kering, keropok segera) 13-16 Jun Kota Kinabalu/Serdang 1,200/950

Sebarang pertanyaan lanjut mohon hubungi sambungan 06-8943 7238/7221.

Gallery

Keputusan ITEX 2011

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menempa nama  sekali lagi dalam siri pertandingan ITEX yang telah dianjurkan pada tahun ini. MARDI telah mencapai prestasi pencapaian 190% terbaik pada tahun 2011 dan berjaya meraih 5 Anugerah Khas Juri. Butiran pencapaian adalah seperti berikut:

Tahun 2011 2010 2009 2008 2007 2006 Jumlah
Penyertaan 11 13 15 12 11 11 73
Emas 5 8 3 2 1 3 22
Perak 5 5 8 4 4 1 27
Gangsa 1 0 3 6 6 4 20
Innovative Product Award 5 10 4 2 1 22
Anugerah Khas 5 1 1 1 8
Jumlah Kemenangan 21 24 19 14 11 10 99
Prestasi Pencapaian (%) 190 185 126 116 100 91  

Sekalung tahniah diucapkan kepada semua inventor dan kolaborator yang mencatat sejarah gemilang ini.  Berikut adalah senarai inovasi yang menerima pingat:

Bil. Tajuk Inovasi Inventor Pusat Pingat Malaysian Innovative Product Award
1 Mobile Coco Peat & Coir Fiber Extractor Dr. Md. Akhir Hamid MA Emas /
2 Pesticide Risk Assessment Tools Lim Ah Hong  SR  Emas  /
3 Pelargonium radula Oil-based Biopesticide : New Way of Controlling Plutella Xylostella Dr. Mohd Shukri Mat Ali SR Emas
4 Phage-based Biopesticide for Plant Diseases Dr. Tan Geok Hun BT Emas /
5 Immuno-Gold Biosensor Strip for The Detection of Tetracycline in Poutry Industry Dr. Faridah Salam BT Emas
6 Effective growth medium for nitrogen fixers Nor Fadilah Abd. Halim SR Perak
7 Healthy Crisps From Vitato Industry Dr. Aida Hamimi Ibrahim TM Perak
8 Towards Odourless Reduction of Mengkudu (Morinda citrifolia) Products Mohd. Nazrul Hisham Daud TM Perak
9 PKC Cocktail – Enhancing Performance of Palm Kernel Cake Based Broiler Diet Noraini Samat LR Perak  /
10 High Amino Acid Palm Oil Mill Effluent (POME) Jameah Hamed LR Perak
11 LARVISST : A novel helminth larvae isolation system Mohd Saufi Bastami LR Gangsa


Anugerah Khas Juri

  1. Brussels Innova Award : Price from CPE Exhibition Brussels Eureka Competition “The World Exhibition on Inventions, Research and New Technologies” -Dr. Faridah Salam (BT)
  2. World Intellectual Property Organization (WIPO)- Best Women Invention – Dr. Tan Geok Hun (BT)
  3. Best Green Invention 2011: Research Institutes & Organizations -Dr. Faridah Salam (BT)
  4. Best Invention Malaysia Innovative Product Award – Mohd  Saufi Bastami (Dibentangkan oleh Dr. Shanmummugavelu Sithambaram) (LR)
  5. Best Booth Award (Category below 54m/sqft.) -MARDI -Gangsa

Lawatan Kerja Pegawai-pegawai Kanan Republik Sudan

Satu lawatan kerja ke MARDI telah dibuat oleh pegawai-pegawai kanan Republik Sudan pada Isnin, 16 Mei 2011.

This slideshow requires JavaScript.

Gallery

GenKimo untuk tanaman dan ternakan

Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengukir nama sekali lagi apabila Pegawai Penyelidik Program Pemakanan Ternakan, Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik, Dr. Ramli Mohd. Noor berjaya menghasilkan GenKimo atau dalam bahasa Jepun bermaksud mikroorganisma setempat yang sihat.

“GenKimo merupakan produk probiotik mengandungi mikroorganisma hidup yang terdiri daripada bakteria kecil satu sel. Ini termasuk lactobacillus, yis dan bakteria fotosintetik,” katanya semasa ditemui di pejabatnya di MARDI Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Mendapat pendidikan lanjutan di negara matahari terbit, Dr. Ramli juga menjalankan pelbagai kajian mengenai makanan ternakan bagi ruminan serta unggas.

Kini produk berkenaan berjaya dikomersialkan setelah memenangi pelbagai anugerah di dalam serta luar negara seperti di Pingat Emas semasa Pameran BioMalaysia 2008 dan Pingat Perak semasa SITF 2009 di Seoul, Korea Selatan.

GenKimo dihasilkan melalui proses penapaian dan pemencilan secara semulajadi yang menggunakan 100 peratus bahan organik tempatan.

Dr. Ramli berkata, teknologi GenKimo berasal daripada Korea menggunakan hanya tumbuhan dan mikrob serta boleh diklasifikasikan sebagai produk halal.
Menggunakan bakteria berfaedah, enzim dan asid organik, GenKimo dapat membantu meningkatkan kesihatan dalam ternakan, kualiti persekitaran, daya tumbesaran pada tumbuhan serta ketahanan terhadap penyakit.

“GenKimo bermula dengan pemprosesan silaj bagi memaksimumkan penapaian nutrien asli yang ada dalam tanaman foraj (daun) atau sisa industri pertanian,” katanya.

Secara asasnya, penapaian silaj berlaku secara biasa di bawah keadaan anerobik (tanpa oksigen) dengan kehadiran bakteria yang ada pada tanaman.
Bagaimanapun dalam bidang bioteknologi bilangan inokulan silaj atau bahan tambahan silaj akan ditambah bagi meningkatkan nutrien dan tenaga.

Bagi pelbagai aplikasi, Ramli menghasilkan tiga jenis GenKimo iaitu GenKimo 1 bagi penternakan dan tanaman, GenKimo-bio bagi makanan ternakan dan GenKimo-composeed.

GenKimo-1 bagi ternakan dalam bentuk cecair pribiotik bagi minuman ternakan.
Hanya setitik diperlukan dalam minuman ternakan bagi mengurangkan bau, merawat bahagian dalaman, meningkatkan pencernaan, mengurangkan penyakit dan meningkatkan suhu semasa musim hujan.

“Kajian di ladang ternakan unggas yang menggunakan GenKimo mendapati kadar kematian adalah rendah berbanding yang tidak menggunakannya,” katanya.

Ramli berkata, GenKimo-bio merupakan makanan aditif (tambahan) ternakan yang mengandungi bahan pribiotik dan enzim.

“Produk yang kos efektif ini, boleh digunakan dengan selamat kerana tidak mengandungi bahan toksik. Ia juga berupaya meningkatkan metabolik asas, tahap kesihatan, menjamin peningkatan berat badan harian serta kecekapan kadar pertukaran makanan,” katanya.

GenKimo-bio juga dapat mengurangkan bau busuk, kos rawatan dan stres pada ternakan.

Produk GenKimo-composeed atau baja dalam bentuk serbuk mengandungi koloni bakteria terpilih pengurai bahan organik dan pengaktif mikrobial tanah.

Dr. Ramli berkata, produk berkenaan mampu menghasilkan baja organik bermutu tinggi serta mengekalkan mikrob efektif yang mampu memperbaiki kerosakan dan mengembalikan kesuburan fizikal, kimia dan biologi tanah.
Bukan itu saja, malah semasa uji rasa ayam dan ikan tilapia yang menggunakan GenKimo mendapat sambutan menggalakkan di kalangan kakitangan MARDI.
Rata-rata mereka memuji kelazatan ayam dan ikan yang menggunakan GemKimo yang disifatkan berbeza dengan yang lain.