Kerajaan Pacu Pembangunan Teknologi Tuaian Lanjutan Utk Tingkatkan Hasil Pertanian

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Kerajaan akan menjana lebih banyak inisiatif dan menyediakan insentif bagi pembangunan teknologi tuaian lanjutan dalam usaha meningkatkan pengeluaran dalam sektor pertanian.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peruntukan khas dan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D), akan disediakan bagi menyokong inisiatif ini. “Adalah diharapkan dengan inisiatif ini dan geran R&D, teknologi dan pengetahuan baru akan dibangunkan bagi meningkatkan pengeluaran sektor pertanian seterusnya menyumbang kepada bekalan makanan untuk negara dan dunia,” katanya ssemasa melancarkan simposium lima hari tuaian lanjutan antarabangsa (IPS) 2012 di sini, Isnin.

Simposium empat tahun sekali bertajuk “Postharvest for Wealth and Health”, dianjurkan bersama Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan International Society for Horticulture Science (ISHS), merupakan kali pertama dihoskan oleh sebuah negara di Asia. Lebih 500 peserta dari 23 negara menyertai simposium itu.

Muhyiddin berkata melalui infrastruktur yang lebih baik, teknik pengurusan pengeluaran tanaman dan teknologi tuaian lanjutan, Malaysia menetapkan sasaran untuk meningkatkan pengeluaran komoditi pertanian sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2020. “Inovasi merupakan kunci bagi program transformasi pertanian bagi menjadikan pertanian lebih berdaya saing. Malaysia perlu meneruskan usaha mendapatkan platform teknologi baru dan pengetahuan yang boleh mempercepat secara berkesan program ini,” katanya.

Beliau juga berkata kemajuan pada masa ini dalam mengendalikan teknologi tuaian lanjutan, sumbangan tanaman hortikultur kepada jumlah eksport telah meningkat.
“Malaysia sentiasa mendapat manfaat dalam menaik taraf dan memperbaiki kaedah dan mekanisme dalam mengendali tuaian lanjutan secara berterusan. “Sebagai contoh pada 2011, jumlah eksport tanaman hortikultur Malaysia, terdiri daripada buah-buahan segar, sayuran dan hiasan bernilai US$418.6 juta (RM1.3 bilion), yang menunjukkan peningkatan ketara 69.8 peratus daripada 2006, yang bernilai US$246.6 juta (RM764.5 juta),” katanya.

Muhyiddin berkata peningkatan dalam mengendalikan teknologi tuaian lanjutan terutama mengenai lanjutan hayat penyimpanan telah membolehkan dan sudah tentu menggalakkan jumlah yang lebih besar buah-buahan, sayuran dan hiasan untuk dieksport kepada lebih banyak negara-negara yang jauh dan juga pasaran bukan tradisional.

Beliau berkata buah-buahan eksotik seperti belimbing telah dieksport ke Eropah, betik ke China, nanas ke Timur Tengah dan durian ke Australia dengan harapan satu hari nanti, lebih banyak buah-buahan eksotik Malaysia dapat dinikmati di mana-mana negara di dunia dengan kualiti dan kesegaran yang sama.

 

— BERNAMA

Advertisement

Kertas Kerja Mengenai Insurans Pertanian Dalam Proses Penambahbaikan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Kerajaan kini dalam perancangan untuk memperkenalkan skim insurans pertanian untuk petani bagi tujuan melindungi mereka daripada menanggung kerugian besar sekiranya berlaku kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir.

Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata beliau telah pun mengemukakan kertas cadangan tersebut di mesyuarat Kabinet pada minggu lepas.

“Bagaimanapun, ia dikembalikan kerana Kabinet mahu kementerian mengkaji lebih mendalam lagi mengenainya. Kita diberi jangka masa dua minggu untuk membentangkan semula cadangan itu kepada Kabinet,” katanya kepada pemberita di Simposium Lepas Tuai Antarabangsa ke-7.

Simposium dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pada Isnin.

Noh berkata untuk peringkat awal, skim itu mungkin akan diperkenalkan kepada penanam padi kerana untuk empat tahun kebelakangan ini kerajaan telah memberikan wang ehsan sebanyak RM103 juta kepada golongan tersebut yang telah menanggung kerugian akibat kemusnahan tanaman mereka.

 

— BERNAMA

Pelabur Malaysia Dipelawa Bantu Bina Semula Sri Lanka

KUALA LUMPUR  (Bernama) — Pelabur Malaysia boleh membantu Sri Lanka membina semula negara itu yang telah terjejas oleh perang saudara selama tiga dekad, kata Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, K. Godage. Beliau berkata terdapat banyak sektor yang menarik di mana syarikat-syarikat Malaysia boleh melabur. “Kami memerlukan kepakaran anda untuk membantu kami mengenal pasti sektor berpotensi yang kami mungkin telah ketinggalan,” kata Godage.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarang agensi berita ini Datuk Yong Soo Heong; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Datuk Zulkefli Salleh dan Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa, Ahmad Zukiman Zain, di sini hari Khamis. Beliau berkata pelabur Malaysia banyak membantu dalam pembinaan semula Sri Lanka, yang ekonomi terjejas oleh perang yang berakhir pada 2009.

Godage, 76, berkata beliau berminat untuk menarik lebih banyak pelabur Malaysia kerana “syarikat-syarikat Malaysia penting kepada kami, dan begitu juga dengan produk-produk dan perkhidmatan mereka.” Beliau berkata projek-projek di mana syarikat-syarikat Malaysia boleh melabur adalah dalam perumahan, jalan raya, hotel, kasino dan infrastruktur.

Sektor-sektor lain termasuk perkhidmatan, pelancongan, komunikasi berasaskan pengetahuan dan telekomunikasi pada dasar bina-milik-kendali dan bina-milik-pindah, katanya. Godage berkata Sri Lanka menawarkan “pakej yang baik,” dan mahu meningkatkan hubungan dengan Malaysia dalam sektor ekonomi serta pembangunan manusia. “Kami perlu banyak mempelajari dari Malaysia dan kami ingin mempunyai interaksi lebih erat. Kami juga sedang berusaha untuk membangunkan semula Suruhanjaya Bersama Sri Lanka-Malaysia melalui hubungan yang lebih erat dengan agensi-agensi Malaysia seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya.

Godage yang menggemari buah rambutan dan manggis, berkata penyelidikan Mardi telah memberi sumbangan besar kepada usaha-usaha pembangunan di Sri Lanka. “Satu kumpulan dari Malaysia telah memulakan idea menanam limau nipis secara besar-besaran untuk eksport, dengan menggunakan limau nipis berkualiti tinggi daripada badan-badan penyelidikan di Malaysia,” katanya. Mengenai dasar-dasar Sri Lanka untuk menarik pelabur dan meningkatkan perdagangan, Pesuruhjaya Tinggi itu berkata, negaranya berhasrat menjadi destinasi perdagangan yang mesra pelaburan dan akan mewujudkan semula pusat setempat untuk memudahkan keperluan pelabur.

Mengenai pendidikan, Godage berkata kerajaan Sri Lanka kini mengusahakan program pertukaran pelajar dan akan menyediakan biasiswa kepada pelajar antarabangsa yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Sri Lanka. “Kami ingin menjadi sebuah negara moden, negara yang mempunyai kelebihan maklumat, seperti Malaysia. Kami akan membangunkan rakyat kami melalui sistem pendidikan berdasarkan nilai-nilai yang akan membantu mereka berkait antara satu sama lain,” katanya.

— BERNAMA

MARDI Akan Perkenal Varieti Baru Tanaman Pada MAHA 2012

BACHOK, 12 Jun 2012 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) akan memperkenalkan varieti baru bagi beberapa jenis tanaman yang mampu memberi hasil tinggi dan berkualiti pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012 di Serdang, Selangor, November ini.

Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Abdul Shukor Abdul Rahman berkata pada tahun ini, Mardi mendapat peruntukan sebanyak RM10 juta daripada kerajaan dan RM10 juta lagi daripada sumber lain, bagi menjalankan projek penyelidikan dan pembangunan, termasuk mencari varieti baru bagi beberapa jenis tanaman seperti padi dan tanaman kontan.

“Kita (Mardi) akan memperkenalkan varieti baru dari semasa ke semasa yang lebih tahan terhadap serangan penyakit dan memberi hasil yang banyak serta berkualiti tinggi, oleh itu datanglah ke MAHA 2012,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Memasyarakatkan Stesen Mardi Telong di sini, pada Selasa.

Pada majlis tersebut, Dr Abdul Shukor melancarkan buku bertajuk Stesen Mardi Telong – Pencapaian 30 tahun (1982-2012), yang mengisahkan kejayaan yang dicapai stesen Mardi tersebut sejak ditubuhkan sehingga sekarang, termasuk memperkenalkan varieti baru tanaman, teknologi pengeluaran tanaman, pengurusan tanah, mekanisme ladang, pengurusan air dan pengurusan selepas tuaian.

Mengenai Stesen Mardi Telong, beliau berkata stesen tersebut berjaya memperkenalkan beberapa jenis tanaman alternatif kepada tembakau untuk diusahakan petani secara ladang dengan pendapatan lumayan.

 

— BERNAMA

Terbitan Baru MARDI : Agromedia Bil. 36

AGROMEDIA Bil. 36 (72 halaman)
ISSN 1511-094X
RM7.00
Majalah AGROMEDIA merupakan majalah dwibahasa yang diterbitkan tiga kali setahun dan pertama kali dikeluarkan pada Disember 1997. Setiap keluaran mengandungi rencana khas dan umum dengan beberapa kolum tetap seperti teknologi pertanian, aktiviti pertanian, hobi, panduan usahawan, herba dan ulam-ulaman, tanaman hiasan dan petua. Fokus majalah AGROMEDIA kali ini adalah Pertanian Teknologi Tinggi.

Dapatkan segera di:

Kedai Buku MARDI
Pusat Perkhidmatan Teknikal
Ibu Pejabat MARDI,
Persiaran MARDI-UPM,
43400 Serdang, Selangor

Tel: 03-8943 7128
Faks: 03-8943 1654
Emel: booksale@mardi.gov.my

Pembelian secara online, layari http://ebookshop.mardi.gov.my