MARDI Perkenalkan Mekanisme Tingkatkan Pasaran Kek Lapis

KUCHING, Isnin — Pengeluaran kek lapis Sarawak tidak lagi mengguna kaedah manual apabila sistem mekanisasi dibangunkan Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan mesin pertama dengan fungsi menggantikan tenaga kerja manusia di samping mempertingkatkan pengeluaran.

Pengarah MARDI Sarawak, Mohammad Noor Adros Yahya berkata, ia memberi manfaat kepada kira kira 400 pengusaha kek lapis negeri ini.

“Ia antara lainnya turut menyumbang nafas baru kepada industri itu untuk menembusi pasaran global kerana pengusahanya tidak lagi terikat kepada kuantiti terhad kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan kursus pengendalian dan pembungkusan kek lapis Sarawak di MARDI di sini hari ini.
Menurutnya, dibangun dengan hasrat mengurang kebergantungan industri itu terhadap tenaga kerja manusia, ia mesin dijangka dapat menghasilkan prototaip
pertamanya pada pertengahan tahun 2012.

Menurut beliau, idea untuk membangunkannya timbul setelah menyedari ia bergantung penuh kepada kaedah manual, yang dilihat menyukarkan pengusaha kek lapis mengambil tempahan dalam kuantiti banyak.

“Setiap kali musim perayaan, permintaan kek itu melonjak tetapi disebabkan tenaga kerja tidak mencukupi dan terbatas oleh faktor masa, maka pembuatan secara manual tidak mampu menampung permintaan sedia ada.”

Katanya, sejajar keperluan ia ditambah baik, maka satu sistem telah dibangun dan diharap meningkatkan lagi kualiti kek lapis sedia ada pergi ke luar pasaran, tidak hanya di Semenanjung Malaysia malah antarabangsa.

Mohammad Noor berkata, dalam tempoh yang sama, MARDI juga akan menjalankan kajian untuk membangun kek lapis sihat menggunakan bahan
alternatif semulajadi sebagai ganti komponen lemak, gula, telur dan pewarna tiruan.

“Membanding sifat kimia, fizikal, ciri-ciri deria dan juga penerimaan pengguna terhadap kek lapis sihat dengan kek lapis yang ada di pasaran kini, ia akan dilakukan pada tahun 2012 juga dan diketuai oleh Dr Chua Hun Pin,” kata beliau lagi.

Mohammad Noor menambah, kajian adalah respons kepada kehendak awam yang mahu kek lapis ini berperisa asli dan bebas daripada penggunaan lemak
gula melampau.

“Pengguna kini sudah semakin sedar dengan kepentingan menjaga kesihatan dan mereka ingin membeli produk makanan yang sihat dan menyedari perkara itu, kita harus membuat kajian formulasi yang menggunakan bahan-bahan alternatif,” ujarnya.

Dalam kursus yang dihadiri 27 orang peserta itu, MARDI telah mendedahkan mereka dengan teknologi pembungkusan yang dapat diguna bagi memanjangkan tempoh hayat produk kek yang dahulunya mampu bertahan dua minggu, meningkat naik kepada enam bulan.

Mohammad Noor berkata, teknologi yang menggunakan bahan penyerap oksigen dalam plastik berlaminat itu pernah diuji ke atas kek lapis yang
dikeluarkan usahawan di sini, dan didapati bertahan selama enam bulan jika disimpan pada suhu ambien.

“Kaedah ini juga pernah digunakan dalam pengangkutan produk kek lapis Sarawak ke Singapura untuk dipamer dan dijual di Fiesta Buah Buahan Segar Malaysia pada 2008. Ia menjamin kualiti kek berkenaan masih berada dalam keadaan baik meskipun hampir seminggu atau lebih dalam kontena pengangkutan,” tegasnya.

(Sumber dipetik dari Utusan Sarawak)

Advertisement

Kemenangan Emas Dalam BIS 2011 London

MARDI berjaya mengekalkan kemenangan emas dalam British Invention Show (BIS) 2011 London (16-19 Oktober 2011) sebagaimana yang dicapai pada tahun-tahun yang lalu.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Dr. Tan Geok Hun (Pusat Bioteknologi) dan Dr. Mohd. Shukri Mat Ali (Pusat Sumber Strategik) atas kejayaan yang gemilang ini.  Butiran lanjut kemenangan inovasi MARDI di BIS 2011, London adalah seperti berikut:

Inventor Tajuk Pingat
Dr. Tan Geok Hun
Noraini, M. Aminah, A. Hasim, I.
Phage-based biopesticide for plant diseases GOLD MedalSpecial Award: International Consumer Double Gold Award
Dr. Mohd Shukri Mat Ali
Siti Noor Aishikin, AH. Razali, M. NurDaliana, Y. Rosali, H. Fatimah, H. Hamizan, A.J.
Oil-based biopesticide from Pelargonium radula to control diamondback moth, Plutellaxylostella GOLD Medal

Mesin kuih ros hasilkan 1,000 keping sejam

Sebut sahaja kuih ros pasti ramai di antara kita yang dapat membayangkan bagaimana bentuknya serta kerangupannya sehingga mernbuatkan individu itu akan mengulangi makan. Bentuk seperti bunga membuatkannya dikenali sebagai kuih ros, malah ada di antara kita menyebutnya sebagai kuih loyang atau kuih goyang. Seperti diketahui umum, pemprosesannya perlu dilakukan dengan menggunakan tenaga manusia berikutan ia perlu digoreng dalam minyak panas selepas acuannya dicelup dengan bancuhan tepung pillhan.

Mudah! Itulah pengalaman yang dapat dirasai usahawan dengan ciptaan mesin kuih ros dan dipasarkan sejak 2006 di mana pengeluaran dapat ditingkatkan seiring kuantiti dikehendaki. Menyedari permintaan terhadap kuih ros semakin meningkat, maka Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif mencipta mesin kuih ros sebagai mekanisme bagi memudahkan usahawan.

Rekaan dan ciptaan mesin kuih ros mengambil masa setahun di mana ia mula dikembangkan sekitar 2005. Ketika itu, mereka perlu menyiapkan prototaip yang berfungsi dan diguna serta diketengahkan kepada golongan usahawan. Bagaimanapun, untuk menonjolkan produk tersebut supaya ia boleh dikomersialkan dengan menggunakan mesin, terpaksa mengambil masa dan melambatkan lagi promosi, tambahan pula perlu memberi penerangan kepada usahawan. Pegawai Penyelidik MARDI, Samsudin Ahmad berkata, hasil ciptaan itu sebanyak empat hingga lima unit mesin boleh dijual kepada usahawan dalam masa setahun dan ia dilihat sangat membantu dari segi peningkatan kualiti kapasiti pengeluaran serta mengurangkan kos produksi.

“Dari segi pengeluaran, tenaga pekerja dapat dikurangkan bagi setiap pemprosesan kuih ros. Dahulu, pengusaha terpaksa menggunakan tiga hingga empat orang untuk menghasilkan jumlah yang banyak, tetapi kini hanya satu atau dua orang diperlukan. Pemprosesan menggunakan mesin kuih ros itu mampu menghasilkan sebanyak 1,000 keping setiap jam berbanding jika menggunakan tenaga manusia, purata 100 keping sahaja dapat diproses bagi setiap pekerja,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di MARDI.

INDUSTRI SNEK MEMBANGUN
Menurut Samsudin, mesin kuih ros itu diciptakan berdasarkan kepada permintaan daripada industri snek itu sendiri, yang dilihat semakin membangun dengan pesat. Katanya, kuih tradisional itu tidak hanya diminati ketika musim perayaan semata-mata, tetapi juga pada bila-bila masa dan ia juga sesuai dijadikan kudapan kepada orang ramai. Samsudin berkata, tahap perkembangan kuih itu agak terhad sekiranya tetap tergolong dalam kelompok tradisional berbanding sekiranya ia konvensional tetapi permintaan tinggi dan ia berpotensi untuk dikembangkan.

“Permintaan produk dilihat semakin meningkat dari semasa ke semasa apabila
orang ramai menginginkannya dan ia menjadi salah satu faktor mengapa usahawan terpaksa menggunakan mesin kuih ros itu. Sebagai langkah membantu usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), MARDI mengambil inisiatif mencipta mesin kuih ros selain daripada yang lain,” katanya. Menurut Samsudin, antara mesin lain yang turut dibangunkan adalah rempeyek,
cakar ayam, sate, lemang, bahulu, rotan dan pelbagai lagi, malah ada di antaranya turut melibatkan agensi luar.

EKSPORT LUAR NEGARA
Dengan menampilkan mesin kuih ros itu kepada usahawan, MARDI berharap supaya pasaran snek buatan tempatan dapat dikembangkan ke luar negara dan tidak hanya tertumpu dalam Malaysia. Samsudin berkata, hakikatnya produk
yang ditampilkan kebanyakan usahawan mampu menembusi pasaran luar negara sekiranya ia dibungkus dengan cara baik supaya ketahanan snek itu bertahan sehingga tiga hingga enam bulan.

“Percubaan mengeksport snek kita ke pasaran luar bergantung kepada
pembungkusan berikutan selain daripada mengekalkan ketahanan makanan
itu, ia juga melambangkan imej produk kita. Bagaimanapun, teknologi yang
tercipta dapat membantu meningkatkan kualiti produk dari segi daya tahan serta menjaga kualiti pengeluaran supaya kurang berminyak,” katanya.

Dia berkata, kuih bunga ros itu perlu dilakukan pada tahap yang optimum, di
mana suhu perlu disesuaikan sehingga produk dikeluarkan konsisten dari segi
bentuk warna dan tekstur. Keseragaman itu membolehkan produk diketengahkan di samping melambangkan imej tertentu.

PENYELENGGARAAN
Samsudin menyatakan bahawa pengubahsuaian dan penambahbaikan boleh dilakukan pada mesin bagi keperluan usahawan, tetapi ia perlu mempunyai keselarasan dan terdapat formulasi biasa yang perlu digunakan.

“Mesin kuih ros sedia ada dan yang digunakan usahawan itu mempunyai panel
terlantik dan teknologi dikeluarkan hanya kepada mereka, malah ia mempunyai
jaminan selama setahun. Pengusaha perlu memastikan kerja penyelenggaraan dan pembaikan boleh dilakukan panel terlantik sebaliknya kerosakan yang mungkin berlaku tidak hanya bergantung kepada penggunaan semata-mata,” katanya.

Samsudin berkata sebahagian daripada komponen mesin itu periu
mendapat perhatian dan penyelenggaraan sempurna, malah ada yang perlu diganti. Dia berkata, salah satu komponen adalah hos kerana ia mudah berada dalam keadaan panas dan berminyak, di mana jangka hayat maksimum adalah setahun setengah, dan penyelenggaraan perlu dilakukan setiap enam bulan.

TENAGA MANUSIA
Samsudin berkata, mesin kuih ros itu terbahagi kepada dua versi, iaitu automatik dan separa automatik, supaya ia bersesuaian untuk digunakan usahawan IKS, tetapi penyelarasannya diambil kira untuk menentukan produk.
Katanya, bagi mesin automatik pengguna hanya perlu menetapkan pergerakan yang diinginkan dan ia akan melaksanakan ‘tugas’ mengikut arahan. Sebaliknya, mesin separa automatik tetap memerlukan tenaga manusia bagi menggerakkannya sehingga peringkat terakhir.

“Daripada proses awal sehingga akhir, operator perlu mengawasi pergerakannya
kerana setiap proses ditentukan olehnya, di mana ia melibatkan pergerakan atas,
bawah, depan, belakang, kiri dan kanan,” katanya.

Menurutnya, mesin kuih ros itu ibarat bertindak mengikut arahan kerana setiap
apa yang ditekan, itulah proses yang dilakukan, dan kos yang diperlukan hanya
RM16,000 sahaja. Dia berkata, berbeza dengan mesin automatik, peruntukan diperlukan lebih banyak sehingga mencecah RM32,000 dan lengkap dengan alat menggoreng sehingga produk dikeluarkan.

“Proses mengautomasikan pemprosesan produk yang menjadikan mesin automatik dijual dengan harga yang mahal. Mesin ini lebih digalakkan dalam
bentuk perusahaan kilang dan memerlukan persekitaran seperti suhu bilik
tetapi ia tidak sesuai diletakkan dalam rumah kerana memerlukan bekalan elektrik yang tinggi,” katanya.

CABARAN DIHADAPI
Meskipun penggunaan mesin kuih ros itu mampu menghasilkan 16 keping kuih
setiap 50 saat sekali goreng, tetapi jika menggunakan cara manual, urutannya
sama, hanya ia perlu dijaga sendiri.

Samsudin berkata, ketika ciptaan dilakukan, cabaran yang dihadapi adalah
penggunaan tepung dalam proses kuih itu, kerana tidak semua jenis tepung boleh digunakan, dan kajian terpaksa dilakukan untuk menghubungkaitkan dengan sains makanan sehingga mendapat jalan tengah.

“Kita melihat mesin ini lebih sesuai digunakan oleh usahawan yang telah
menjalankan perniagaan snek tetapi menghadapi masalah produktiviti rendah
sedangkan permintaan meningkat dan golongan ini perlu menggunakan
mekanisme disediakan. Sekiranya mereka menambah tenaga kerja tidak mendatangkan masalah, tetapi tahap keuntungan dan konsistensi akan
terjejas,” katanya.

Dia berkata, penambahbaikan juga boleh dilakukan terhadap mesin itu di
mana produk dihasilkan juga dapat dipelbagaikan dengan penambahan bijirin
dan sebagainya, ketika pemprosesan dilakukan.

(Sumber dipetik dari Sinar Harian)

Taman Dapur

Sebenarnya bukanlah susah hendak mewujudkan taman dapur atau taman boleh dimakan (edible garden). Maklumat mengenai taman dapur pun mudah dicari dan berlambak lambak dalam internet, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya.

Bersesuaian dengan panggilannya, taman ini mengandungi tumbuhan yang boleh dimakan seperti sayur-sayuran, ulam-ulaman dan pokok herba. Kebiasaannya, pokok yang ditanam adalah tumbuhan berjangka pendek, iaitu hidup dalam tempoh satu hingga enam bulan.

Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai taman dapur,  ikutilah temu bual berikut dengan Timbalan Pengarah Program Agronomi dan Sistem Pengeluaran, Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI Serdang, Dr. Zabedah Mahmood.

Apakah yang dimaksudkan dengan taman dapur?
Taman dapur merupakan pendekatan reka bentuk taman yang menggabungkan penggunaan pelbagai jenis tanaman edible seperti sayur-sayuran, rempah ratus, ulam-ulaman, herba dan buah-buahan, dengan tanaman hiasan atau bunga-bungaan.

Taman dapur edible dapat menyumbang kepada keperluan dapur, terutamanya untuk tujuan masakan dan makanan kepada keluarga serta dapat menjimatkan kos perbelanjaan. Di persekitaran rumah, taman dapur boleh dibina sama ada secara berasingan di satu sudut atau digabungkan dengan pelbagai jenis tanaman berbunga.

Bagaimanakah cara mewujudkan taman dapur?
Taman dapur yang menarik dan berfungsi mestilah direka bentuk dengan menggabungkan 70 peratus sayur-sayuran, ulam-ulaman, buah-buahan dan rempah ratus, yang mempunyai jangka hayat lama serta mudah diurus, seperti serai, daun kari, limau purut, cekur manis dan ulam-ulaman seperti tenggek burung dan gajus, dengan 30 peratus sayur sayuran yang dituai hanya sekali seperti sawi bayam dan salad.

Gubah kedudukan tumbuh-tumbuhan supaya serasi dengan ruang dan persekitaran halaman rumah. Jika ruang agak terhad, tanaman buah-buahan perlu dihadkan kepada pokok renek seperti betik, jambu batu atau pisang. Pisang merupakan tanaman popular kerana selain buah, daun pisang boleh diguna untuk membungkus pelbagai juadah seperti nasi lemak, ikan bakar dan pelbagai kuih muih.

Apakah baja sesuai digunakan untuk memastikan pokok sayur-sayuran yang ditanam subur? Adakah sisa dapur seperti kulit bawang, kulit kentang, perut ikan dan sebagainya, sesuai dijadikan baja?
Kedua-dua baja organik dan kimia sesuai digunakan untuk taman dapur. Bagaimanapun anda boleh membuat baja organik sendiri menggunakan sisa buangan dapur, sisa tanaman dan daun kering. Anda juga boleh menghasilkan ‘vermicompost’ atau kompos cacing daripada sisa buangan dapur. Cacing khas untuk menghasilkan kompos ini boleh dipelihara dalam bekas. Sisa buangan hijau seperti tangkai daun, kulit kentang, sisa serbuk teh, kulit buah-buahan atau lebihan buah-buahan, sesuai untuk makanan cacing bagi menghasilkan kompos cacing. Elakkan buangan berlemak kerana ia tidak sesuai untuk cacing. Selain dari kompos cacing, sisa dapur sepert kulit bawang dan perut ikan boleh digunakan untuk membuat kompos.

Bagaimanakah cara hendak menghapuskan serangga perosak di taman dapur seperti teritip, semut, siput babi dan banyak lagi?
Teritip boleh dikawal menggunakan minyak putih buatan sendiri. Kaedahnya seperti berikut:

  • Tuangkan satu cawan minyak masak dan beberapa titik sabun basuh dalam botol plastic 1 L
  • Tambahkan 2 cawan air dan goncang sampai sebati
  • Tuangkan 250 mL ke dalam bekas 9 L dan kacau
  • Semburkan pada atas dan bawah daun yang terkena serangan

Masalah semut pula boleh dikawal dengan cara menaburkan sedikit baking soda di sekeliling pokok; menabur campuran tepung gandum dan bedak bayi di sekeliling tanaman atau menyembur campuran satu bahagian air dan satu bahagian cuka pada pokok yang diserang.

Siput babi juga boleh dikawal tanpa menggunakan racun. Kaedah paling mudah ialah mengutip dan memasukkan siput babi ke dalam baldi yang mengandungi air garam atau air sabun. Pastikan anda kutip sebanyak mungkin siput dewasa sebelum siput itu bertelur. Elakkan menabur garam pada tanaman anda kerana ia boleh menjejas kesuburan tanah.

Adakah sebarang cara untuk mewujudkan racun serangga yang mesra alam supaya sayur-sayuran boleh dimakan tanpa ragu?
Racun mesra alam boleh dibeli di pasar raya atau dibuat sendiri. Kebanyakan racun seperti BT adalah spesifik pada serangga tertentu seperti ulat gulung daun dan perosak bunga (flower moth).

Untuk ulat pemakan daun, semburan bawang dan cili padi didapati berkesan. Kaedahnya agak mudah seperti berikut: Bahan-bahan seperti cili padi (15 biji), bawang besar (4 labu), bawang putih (2 labu) dikisar dengan 2 Liter air sabun.
Tapis dan masukkan air 500 mL dan boleh terus disembur pada tanaman.

Bahan untuk kompos
Tidak semua bahan buangan boleh dijadikan bahan untuk kompos. Bahan yang biasa digunakan adalah sisa buah-buahan dan sayuran, kulit telur, rumput atau pokok liar menjalar yang dicabut, daun-daun pokok , serdak kopi yang telah ditapis, uncang teh, jerami dan yang berkaitan.

Antara bahan buangan yang perlu dielakkan:

  • Rumput atau rumpai yang terkena racun rumpai
  • Tumbuhan beracun seperti Poison Ivy
  • Najis binatang peliharaan atau ternakan kerana ia mengandungi pathogen yang sukar diuraikan
  • Tulang kerana ia tidak boleh diuraikan
  • Semua jenis daging termasuk ikan dan ayam
  • Susu, keju dan hasil tenusu yang lain

(Sumber dipetik dari Anjung Seri)

Malaysia International Commodities Conference and Showcase (MICCOS) 2011

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menganjurkan Malaysia International Commodities Conference and Showcase (MICCOS) 2011 pada 28 hingga 30 Oktober 2011, bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS).

Acara yang diadakan setiap dua tahun sekali ini akan dirasmikan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Hj. Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri pada jam 9.00 pagi, Sabtu, 29 Oktober 2011.

MICCOS 2011 dengan temanya “Menjana Kekayaan Melalui Inovasi” akan mempamerkan pelbagai produk sektor perladangan dan komoditi negara meliputi minyak sawit, kayu-kayan, getah, koko, lada, tembakau dan kenaf.  Sektor ini menyediakan pelbagai peluang perniagaan yang boleh dimanfaatkan oleh semua.

Pelbagai aktiviti menarik akan dianjurkan sempena MICCOS 2011, termasuk:

  • Pameran produk berasaskan komoditi dengan tumpuan kepada penghasilan produk bernilai tambah tinggi melalui penyelidikan dan inovasi dari peringkat huluan hingga hiliran;
  • Seminar-seminar mengenai pembangunan sektor komoditi dengan tumpuan kepada aspek pemasaran, alam sekitar, keusahawanan dan pemindahan teknologi yang melibatkan peneraju industri komoditi tempatan serta antarabangsa; dan
  • Program pembangunan kerjaya (termasuk temuduga terbuka), aktiviti pemadanan perniagaan dan jualan produk-produk komoditi oleh usahawan Enterpris Kecil dan Sederhana (EKS).

Mula tanam cili angkasa

PUTRAJAYA: Cili angkasa yang diberi nama MC 11 daripada biji benih, dibawa pulang dari Stesen Angkasa Antarabangsa ISS. Ia dipercayai lebih berkualiti serta tahan daripada serangan penyakit dan bakal dihasilkan pada akhir tahun ini.

Sebanyak 100 gram atau 20 000 biji benih dari ISS itu adalah daripada baka cili tempatan, yang menerima pendedahan persekitaran mikrograviti dan radiasi angkasa selama tiga bulan melalui program Space Seed.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata program penghantaran biji benih ke angkasa itu membabitkan kerjasama dengan Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA).

Menurutnya, biji benih yang dibawa balik ke bumi pada 1 Jun lalu itu, kini menjalani ujian pemerhatian percambahan di tapak semaian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Serdang. Ujian ini menunjukkan perkembangan baik di mana kesan pendedahan radiasi angkasa dipercayai menjadikan biji benih itu lebih tahan penyakit, katanya pada majlis pelancaran sambutan ulang tahun Program Angkasawan Negara Ke 4 (Supan 4) di sini semalam.

Hadir sama adalah Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madinah Mohamad; Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr Mustafa Din Subari; Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, dan Pengarah Kibo Utilization Office For Asia JAXA, Shigeki Kamigaichi.

(Sumber dari Harian Metro)

White Champaca – Memorial Lawatan Timbalan Ketua Setiausaha

Sempena mesyuarat Bahagian Pemantauan Projek Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di City Bayview Langkawi baru-baru ini, YBhg. Dato’ Dr. Baharom bin Jani, Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) MOA bersama ahli-ahli mesyuarat, telah melakukan lawatan kerja ke Taman Agro Teknologi MARDI Langkasi (TATML) pada 12 Oktober lalu. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke TATML selepas lawatan pertama mengiringi Ketua Setiausaha dua tahun lalu.

Lawatan selama 4 jam yang juga turut dihadiri oleh Jawatankuasa MASMARDI dan Pengarah MARDI Negeri Kedah telah disusunatur oleh pengurusan TATML dengan penyampaian taklimat aktiviti taman, sesi lawatan ke persekitaran ladang, penanaman pokok oleh YBhg. TKSU dan berakhir dengan jamuan ringan di dewan terbuka TATML. Sebagai memorial kepada lawatan TKSU ini, sebatang pokok chempaka (Michelia alba) dipilih untuk ditanam oleh YBhg. TKSU.

Secara keseluruhannya, beliau amat berpuashati dengan perjalanan aktiviti TATML di samping memberi beberapa pandangan sebagai penambahbaikan  demi masa hadapan TATML. Antara saranan beliau adalah supaya TATML menggalakkan  pihak swasta diberi peluang menyertai iklan berbayar sebagai sebahagian pendapatan TATML.

Program MSM Bengkel Usahawan Muadzam Di Luar Dugaan

Satu bengkel anjuran MARDI melalui Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi (PT) dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia, iaitu Bengkel Peluang Keusahawanan Dalam Bidang Pertanian dan Industri Asas Tani bagi Masyarakat Muadzam telah diadakan pada 20 Oktober di stesen MARDI Muadzam Shah.

Bengkel yang pada asalnya untuk anggaran 100 usahawan telah dihadiri oleh hampir 200 peserta, yang membuatkan dewan seminar sesak. Malah peserta dari sekitar bandar Rompin, Tun Razak, dan Pekan turut hadir.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Senator Dato’ Maznah Bt Mazlan yang merasmikan bengkel, amat terharu dan memberi pujian yang tinggi terhadap MARDI, khasnya kepada Ketua Pengarah MARDI Y.Bhg. Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman kerana MARDI sentiasa prihatin terhadap warga Muadzam Shah. Beliau juga mahukan bengkel siri kedua dan lanjutan diadakan kelak.

Dari maklumbalas yang diterima, ternyata para peserta amat berpuashati dan banyak menerima ilmu dari syarahan yang diberi oleh MARDI dan pihak TEKUN.

Daya Maju Industri Hortikultur Diperkasakan

Melaka, 18 Oktober – Persidangan Kebangsaan Hortikultur 2011 telah dirasmikan oleh Y.B Datuk Chua Tee Yong, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Seramai 220 orang penyelidik daripada pelbagai institusi dan syarikat swasta telah hadir bagi meningkatkan pengetahuan dalam bidang keusahawanan dalam aktiviti upstream.

Selain itu, Persidangan ini akan menjadi medan utama bagi para peserta untuk membentuk jalinan kerjasama dan perhubungan dalam pelbagai projek penyelidikan hortikultur pada masa akan datang. Dengan kehadiran lima jemputan pakar hortikultur dari luar negara, persidangan ini akan mampu membentuk satu prosa untuk memperkasakan daya maju industri hortikultur.

Kejayaan penganjuran ini adalah daripada kerjasama Jabatan Pertanian, FAMA, FELDA dan juga TFNet. Dengan bertemakan ”Malaysian Horticulture : Enhancing Production, Expanding Market”, amat bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memaju ekonomi negara melalui sektor pertanian.

Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah buku terbitan MARDI bertajuk ‘Penyakit Utama Sayur-sayuran di Malaysia’ telah dilancarkan. Buku tersebut penuh dengan informasi mengenai pelbagai penyakit utama sayu-sayuran yang ditulis oleh tenaga pakar MARDI. Ianya dijangka dapat memberi manfaat dan boleh dijadikan rujukan tepat untuk membantu para petani di negara ini. Ianya ditulis oleh Dr. Mhamad Roff dan En. Jamaludin Salim dari MARDI dan juga En. Wu Boau Chyuan dari Bayer Cropscience.

Turut hadir adalah Y.B Datuk Perumal a/l Raju, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pembangunan Desa & Pertanian Melaka; Yang Hormat Dato’ Dr. Masri b. Mohamad, Timbalan Ketua Pengarah (Pemindahan dan Pengkomersilan Teknologi); Mr Herbert Dittmor, Pengarah Urusan Bayer Cropscience Sdn Bhd.; dan Yang Mulia Tengku Malik b. Tengku Maamun, Pengerusi Jawatankuasa Induk Persidangan.

Pengeluaran Padi Wangi Dalam Kawasan Luar Jelapang Padi

oleh Asfaliza Ramli dan Marzukhi Hashim

Pengenalan
Beras wangi bukanlah segmen utama dalam pengeluaran beras negara yang kini memcecah 67% tahap sara diri tetapi permintaan terhadap beras wangi  semakin meningkat dari semasa ke semasa hingga mencecah 200,000 ton setahun. Di antara  beras wangi yang diimport ialah beras wangi lembut (Jasmine type) yang kebanyakannya diimport dari Thailand dan beras wangi peroi (Basmathi type) yang kebanyakan dari Pakistan atau India. Nilai import bagi kedua- dua jenis beras ini mencecah  RM500juta setahun.

Beras wangi  boleh dikelaskan kepada beberapa jenis seperti lembut, melekit, berketul dan peroi.  Kebanyakan pengguna di Malaysia menggemari beras wangi yang diimport dari negara jiran seperti Thailand, Kemboja dan Vietnam.   Fenomena ini mungkin disebabkan oleh  kurangnya beras wangi tempatan di pasaran.   Harga beras wangi  jauh lebih tinggi daripada beras biasa, iaitu sekitar RM4.50 hingga RM6.00 sekilogram berbanding dengan beras biasa iaitu sekitar RM2.70 hingga RM3.20 sekilogram.

Varieti padi wangi MARDI
MARDI telah mengisytiharkan dua varieti padi wangi iatu MRQ 50 dan MRQ 74. Padi wangi MRQ 50 telah diisytiharkan pada 1999.  Ia mempunyai sifat beras yang panjang dan tekstur nasinya menyerupai Basmathi.  Namun begitu, potensi hasilnya hanya sekitar 3.0-3.5 tan/ha dengan pulangan mengilang yang rendah, iaitu dengan perolehan berat kepala sekitar 65-75% sahaja.  Untuk menambahbaikkan kedua-dua ciri ini, MARDI telah menghasilkan MRQ 74.  Varieti ini telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia, di Stesen MARDI Seberang Perai pada 5 Februari 2005 dengan memberi nama “Maswangi”. MRQ74 (Maswangi) mempunyai karakter yang menyerupai  beras wangi Basmathi dan kajian  menunjukkan  ianya tinggi kandungan GABA (Gamma Amino Butyric Acid) yang terbukti boleh mengurangkan stress bagi orang yang memakan. GABA merupakan agen penenang semulajadi kepada otak manusia, justeru itu ia membantu dalam  proses rehat dan kurangkan tekanan.

Selain GABA, Maswangi juga mempunyai nilai Glycemic Index (GI) yang rendah yang sangat sesuai dimakan oleh pengidap penyakit kencing manis.  Nilai ini merujuk kepada proses kadar penukaran karbohidrat kepada glukosa yang lambat dan hasilnya pesakit tidak akan mengalami kenaikan mendadak kandungan glukosa selepas sajian nasi.  Nilai GI bagi beras biasa ialah di sekitar 80 dan beras pulut 100 tetapi Maswangi mempunyai nilai di sekitar 40 sahaja.

Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkung di Kelantan telah diberi lesen oleh MARDI untuk mengeluarkan beras Maswangi secara biasa manakala PPK Langkawi mengeluarkan beras Maswangi secara organik. Kawasan penanaman beras wangi disasarkan ke kawasan luar jelapang padi utama yang selalunya tiada sistem pengairan cekap dan hanya dibantu oleh punca air dari sungai dan empangan kecil.  Kebelakangan ini,  pemacu dari pihak swasta telah menunjukkan minat dengan pengeluaran secara komersil padi wangi tempatan. Langkah ini pastinya membuka peluang kepada petani di luar jelapang meningkatkan pendapatan isirumah.

Padi wangi MRQ 76 merupakan vareiti padi wangi baru yang sedang dalam proses penilaian. Morfologinya berbeza dari MRQ 50 dan Maswangi di mana ianya lebih tinggi berbanding kedua-duanya.  Tempoh matang di sekitar 116 hari menyamai MR 219 (varieti padi biasa) tetapi lebih awal berbanding Maswangi (125 hari).   Kualiti nasi yang wangi dan lembut menyerupai nasi beras jasmine-type dan ciri ini digemari oleh rakyat Malaysia berketurunan Cina.  Varieti ini telah diuji di peringkat penyesuaian setempat dan memberikan purata hasil di sekitar 5.5 tan sehektar

Pengeluaran padi wangi memerlukan satu aliran kerja yang komprehensif bagi memastikan ketulenan benih dan juga beras yang dikilang.  Penanam dan pengilang  perlulah ‘dedicated’ supaya ianya tidak bercampur dengan padi biasa semasa menanam, menuai dan mengilang. Ini bermaksud perlu adanya “dedicated” ladang pengeluaran bijibenih dan “dedicated” kilang memproses beras wangi, lagi-lagi jika untuk tujuan tanaman secara organik. Pihak kerajaan juga telah memainkan peranan dalam memajukan lagi pengeluaran beras wangi negara, di bawah program ‘Economic Transformation Programme (ETP), NKEA telah meluluskan 1 projek iaitu Projek EPP 9: Pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi (Production of Fragrant rice in non-granary areas) dengan penglibatan pelaburan dari sektor swasta dan awam.

EPP9: Pengeluaran padi wangi di luar jelapang padi
Pihak NKEA telah melantik MARDI untuk mengetuai projek ini. Objektifnya ialah untuk meningkatkan pengeluaran dan memasarkan beras wangi tempatan dengan pihak swasta Sime Darby dan Infoculture Sdn Bhd menjadi “anchor companies” untuk  menggunakan kawasan sawah luar jelapang sedia ada atau sawah yang ditinggalkan (abondoned rice fields).

Sime Darby  berperanan untuk menanam, mengilang dan mengisar varieti padi wangi baru iaitu MRQ 76 yang mempunyai ciri nasi yang wangi dan lembut seakan beras wangi Jasmine yang diimport dari Thailand. Sime Darby melaksanakan peranan ini berdasarkan kejayaan “ model farm Sime Darby” di Sg Gedong bersama petani di kawasan Bagan Serai, Perak dan kini telah mengembangkan kejayaan ini ke daerah Sik Kedah. Sebagai permulaan, padi wangi MRQ 76 telah ditanam seluas 15 hektar di Sg Gedong dan 50 hektar di kawasan Sik.

Syarikat Infoculture pula sedang meningkatkan pengeluaran Maswangi secara organik di beberapa kawasan di  Titi Tinggi, Sik dan Lanchang  selepas kejayaan dari 8 hektar di Kg Ewa Langkawi, Kedah.  Penanaman Masangi secara organik dan pemasaran sebagai beras organik akan memenuhi keperluan atau pemintaan segmen pengguna tertentu di pasaran dalam dan luar negara terutama bagi pengguna yang mempunyai kesedaran kesihatan yang tinggi. Setakat ini, semua keluaran Maswangi secara organik telah dipasarkan melalui rangkaian pasar makanan organik terkemuka di Malaysia

Projek ini dijangka dapat mengurangkan pengaliran keluar wang negara di mana pengeluaran tempatan ditingkatkan kepada 73,000 tan dan menghasilkan pendapatan negara kasar (GNI) sebanyak RM 133 juta. Pada masa yang sama akan meningkatkan pendapatan petani di kawasan tersebut kerana pengilang akan membeli padi wangi dengan harga 16-20% lebih tinggi dari harga padi biasa. Sekaligus ianya boleh menghidupkan semula tanah bendang terbiar yang keluasannya mencecah 18, 200 hektar.

Seiring dengan penglibatan pihak swasta, MARDI sebagai institusi penyelidikan yang menjana varieti padi wangi serta teknologi pengeluarannya akan meneruskan R&D dalam penambahbaikan varieti padi wangi sedia ada. Pada masa yang sama MARDI akan meneruskan pembangunan varieti padi wangi baru dan kaedah penanaman padi wangi dalam persekitaran tempatan. Berbagai projek merangkumi pembaikbakaan varieti padi wangi baru, kajian agronomi bagi pengeluaran padi wangi, kajian pengurusan penyakit dan perosak dan juga kajian lepas tuai sedang giat dijalankan. Kesemua kajian ini bakal memberikan satu pakej lengkap pengeluaran padi wangi bagi meningkatkan hasil, mengurangkan kehilangan dan yang lebih utama menjamin kualiti beras dan nasi.

Kesimpulan
Kajian baikbaka padi berkualiti tinggi telah menghasilkan 3 varieti padi wangi dengan ciri yang berbeza setiap satunya. Pengguna boleh memilih mengikut citarasa masing-masing dan resepi tertentu.  Pengeluaran secara sistematik seperti yang dilaksankan oleh syarikat Sime Darby dan Infoculture boleh mengurangkan import beras wangi negara sekaligus menambah baik taraf hidup petani di luar Jelapang padi. Ini tidak mungkin boleh direalisasikan tanpa sokongan dan pelan transformasi ekonomi yang dijana oleh kerajaan.