MARDI Negeri Kedah telah berjaya mengadakan Forum Teknologi Penanaman Padi Aerob sebagai satu pengisian NBOS 2 di Kem Sultan Abdul Halim, Jitra Kedah pada 17 September 2014. Ceramah tersebut telah diadakan dengan pembentangan utama oleh penjana teknologi padi aerob sendiri iaitu Yang Berbahagia Dr Sariam Othman diikuti oleh Dr Chong Tet Vun yang menyentuh mengenai kajian perosak dan penyakit padi aerob dan Encik Mohd Najib Bin Mohd Yusof yang menyampaikan ceramah mengenai SOP Padi Aerob.
Selain ceramah, sudut pameran yang memaparkan teknologi penanaman padi aerob juga diadakan untuk memberikan lebih maklumat kepada peserta-peserta. Peserta Forum Teknologi Penanaman Padi Aerob seramai 120 orang terdiri daripada warden-warden penjara, orang diselia (ODS) dan wakil-wakil jabatan dari MADA, Tekun, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Perindustrian Nanas dan lain-lain agensi di bawah MOA Inc. yang terlibat menjayakan aktiviti-aktiviti NBOS 2, Kem Sultan Abdul Halim, Jitra. Forum teknologi ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak NATC melalui peruntukan NBOS 2 dan tenaga penceramah diselaraskan sepenuhnya oleh Pihak MARDI Negeri Kedah.
Untuk makluman, NBOS 2 di Kem Sultan Abdul Halim dipengerusikan oleh MADA dan dibantu oleh agensi MOA Inc., menyediakan latihan pertanian seperti penanaman jagung, pisang, nanas, padi aerob dan beraneka sayur-sayuran.
Selepas pembentangan dan sesi dialog semua peserta dibawa melawat tapak penanaman padi aerob yang berumur 21 hari. Tuan Ridzwan iaitu wakil peserta mengucapkan terima kasih kepada MARDI dan melahirkan hasrat untuk menikmati keenakan rasa nasi dari padi aerob apabila dituai nanti – Oleh Shahidan Ahmad