Galeri Inovasi Padi, Pacu Industri Agropelancongan Negara

oznor
Haslina (kiri) pada Majlis Perasmian Galeri Inovasi Padi Taman Agroteknologi MARDI Tanjong Karang di sini hari ini. Gambar: Sinar Harian

TANJONG KARANG, 18 Februari 2020 – MARDI pada hari ini terus mengorak langkah ke hadapan dalam memacu industri agro pelancongan negara dengan mewujudkan sebuah Galeri Inovasi Padi di Taman Agro Teknologi MARDI Tanjong Karang, Selangor yang telah disempurnakan oleh YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Galeri Inovasi Padi ini merupakan salah satu strategi institut dalam menyebarluaskan pengetahuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada masyarakat disamping meninggalkan kenangan manis yang tidak akan dilupakan oleh pengunjung. Ia juga sebagai platform terbaik dalam meningkatkan lagi penjanaan pendapatan industri agro pelancongan khususnya dalam sektor padi dan beras di Tanjong Karang.

Taman Agro Teknologi MARDI Tanjong Karang bermula sebagai Pusat Penyelidikan Jabatan Pertanian Persekutuan. Pada tahun 1971, ia telah diserahkan kepada MARDI sempena dengan penubuhan MARDI yang bertujuan membangunkan teknologi untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan industri asas tani tempatan. Petak Sawah MARDI Tanjong Karang (MTK) diutamakan untuk penyelidikan padi dari aspek penilaian varieti, kajian pembajaan, petak pengeluaran benih berdaftar.

“Hari ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada MARDI kerana mewujudkan Galeri Inovasi Padi, Taman Agroteknologi MARDI Tanjung Karang yang bukan sahaja akan menyampaikan pengetahuan kepada masyarakat, juga akan turut meninggalkan kenangan manis yang tidak akan dilupakan oleh pengunjung. Galeri ini menampilkan peralatan tradisional yang digunakan oleh pesawah pada zaman dahulu sehingga teknologi moden masa kini. Malah, aktiviti yang disediakan untuk para pengunjung akan menjadikan Galeri Inovasi Padi ini wajib untuk dilawati sekeluarga. Jika anak-anak generasi kini tidak tahu dari mana datangnya beras, saya sarankan datanglah ke sini. Pastinya mereka akan lebih menghargai setiap suap nasi yang dimakan.” Ujar YB Tuan Sim Tze Tzin.

Galeri Inovasi Padi ini dibuka setiap hari (kecuali hari Jumaat) dari jam 8.30 pagi sehingga 4.30 petang dengan bayaran masuk bermula dari RM2.00. Antara aktiviti yang ditawarkan kepada pengunjung termasuklah lawatan galeri, demo proses beras, menanam padi, menangkap ikan, memancing, bersampan, berbasikal dan minum air kelapa muda.

Turut diadakan pada majlis berkenaan; penyerahan bantuan Rezeki Tani kepada petani dan pesawah di Tanjung Karang sebagai menghargai komitmen dan penghargaan mereka dalam menyumbang keringat memajukan industri pertanian negara.

Majlis disempurnakan oleh YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Turut hadir, YBhg. Dato’ Zainal Abidin Bin Abu Seman, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; YBhg. Dato’ Haslina Binti Abdul Hamid, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Bin Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI; YBrs. Tuan Mohd Faizal Bin Abdul Raji, Pegawai Daerah Kuala Selangor; dan YBrs. Fadzlirahimi Bin Ismail, Pengarah MARDI Negeri Selangor.


Program Perhubungan Awam, MARDI.

Leave a comment