ITEX 2012, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC)

MARDI berjaya mencatat keputusan yang membanggakan dalam pertandingan ITEX 2012 yang telah berlangsung pada 17-19 Mei 2012 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Daripada 17 inovasi MARDI yang dipertandingkan, sebanyak empat inovasi memenangi pingat emas dan sebelas inovasi memenangi pingat perak dan buat julung kalinya, MARDI berjaya meraih 11 Anugerah Produk Inovatif. Anugerah ini adalah khusus dipertandingkan bagi inovasi yang telah memfailkan Harta Intelek (IP) serta berpotensi untuk dikomersialkan.

Butiran terperinci pencapaian MARDI dalam pertandingan ITEX 2012 : Klik di sini untuk memuat turun

Advertisement

Majlis Menandatangani MoU Bersama Universiti Perdana

16 Mei 2012, Putrajaya –  Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Perdana. Majlis menandatangani MoU tersebut disaksikan oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Canselor Universiti Perdana. Melalui MoU ini, MARDI dan Universiti Perdana akan berkolaborasi dalam penyelidian pertanian yang berkaitan dengan kesihatan.

Malaysia Sasar Eksport 2.7 Juta Batang Tebu Ke Dubai

TANJONG KARANG: Malaysia menyasarkan untuk mengeksport 2.7 juta batang tebu sebulan ke Dubai pada 2013 bagi memenuhi permintaan bandar raya di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu yang mula berminat mengimport hasil pertanian sejak tahun lepas. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk’ Seri Noh Omar berkata Dubai mula berminat terhadap tebu tempatan selepas kementerian berkenaan melawat negara itu serta mempromosi jus tanaman berkenaan. Beliau berkata nilai pasaran eksport tebu ke Dubai ialah RM2 bagi sebatang tebu Gred A, dengan hasil tebu diperoleh dari tiga negeri pengeluar utama tanaman itu iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Kita turut menggunakan teknologi ciptaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang turut bertanggungjawab menyediakan pembungkusan untuk mengeksport tebu ke Dubai,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kursus Pengukuhan Industri Tebu dan Ramah Mesra Petani, di sini. Noh berkata pada masa ini, Malaysia hanya mengeksport 38,000 batang tebu ke Dubai. Beliau berkata tanaman itu turut dieksport ke Singapura, selain mendapat permintaan dari beberapa negara lain termasuk Hong Kong dan Brunei.

Katanya tanaman tebu yang mempunyai tempoh matang selama lapan bulan selepas ditanam, memberikan pulangan yang berbaloi kepada petani dengan pendapatan purata antara RMl,000 dan RM2,000 sebulan. “Tanaman ini mendapat sambutan yang menggalakkan, dengan keluasan tanaman di Tanjong Karang bertambah daripada 19.42 hektar tanah kepada 121.4 hektar dalam tempoh setahun. “Bilangan peserta turut bertambah, daripada 43 orang kepada 100 orang dalam tempoh yang sama,” kata Noh yang juga Anggota Parlimen Tanjong Karang. Noh berkata kementerian itu yakin melalui peluasan tanaman itu dalam kalangan petani serta program bantuan yang dijalankan oleh MARDI bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Malaysia mampu memenuhi permintaan negara pengimport.

Beliau berkata kementerian itu turut menggalakkan petani mengusahakan tanaman tebu memandangkan tanaman itu mudah diselenggara serta tidak memerlukan tanah yang luas. “Jika ada tanah yang sesuai, petani boleh gunakannya untuk tanaman ini dan membantu kementerian menyediakan bekalan eksport,” katanya. — Bernama