Vitato Jana Pendapatan Lumayan Petani Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 26 Julai – Vitato, varieti baru ubi keledek, mula mendapat perhatian dan diusahakan para petani di Terengganu apabila tanaman ini didapati menjana pendapatan lumayan, menggantikan tembakau sebagai sumber utama.

Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) mengambil beberapa langkah dan memberi tumpuan kepada tanaman ubi Vitato sebagai komoditi terpilih untuk dimajukan.

Bagi menjamin kualiti dan bekalan benih Vitato mencukupi, LPP memperuntuk sebanyak RM70,000 pada tahun ini kepada PPK Kerandang di Gong Nangka, Besut untuk menanam Vitato di kawasan seluas empat hektar.

Pengarah LPP negeri Shamsuddin Mat Rani berkata langkah itu bagi tujuan meningkatkan pengeluaran dan hasil pendapatan kepada petani.

Beliau berkata projek tanaman Vitato bermula pada akhir tahun 2007 di PPK Pelagat dan Setiu.

Sehingga 2011 projek itu membesar melibatkan kawasan seluas 135 hektar dengan 162 peserta.

Katanya keupayaan pengeluaran benih Vitato dianggarkan sehingga dua juta keratan pucuk semusim yang dijual kepada petani dengan harga tiga sen satu.

“Satu pokok boleh menghasilkan 8-10 keratan pucuk, tuaian pertama semasa umur 10 minggu dan tuaian kedua empat minggu selepas tuaian pertama,” jelas beliau.

Shamsuddin berkata setakat ini LPP membangunkan tiga ladang benih Vitato di daerah Besut seluas sembilan hektar kerana tanah di daerah itu sesuai untuk tanaman Vitato, tetapi di daerah lain seperti di Marang, hasilnya tidak menjadi kerana tanah tidak sesuai.

Kira-kira 2,484,44 tan Vitato dihasilkan sejak 2008 hingga 2010 yang bernilai RM1,760,353.71.

Pada tahun 2010, LPP negeri Terengganu melancarkan projek perintis menanam Vitato di Dendong PPK Kerandang yang mengeluarkan hasil sebanyak 20 tan metrik sehektar.

Mulai tahun ini, LPP melaksanakan projek itu secara mini estet kerana pengurusannya lebih terancang selain dapat meningkatkan hasil kepada 12 tan sehektar.

Sebuah kilang Vitato bernilai lebih RM4.8 juta dibina untuk memproses Vitato menjadi tepung dan puri.

Kelebihan Vitato ialah ia mengandungi Beta karotina. Ia boleh dimakan selepas direbus, kukus, goreng atau dibakar. Ia juga boleh diproses menjadi produk makanan seperti jejari goreng, kek, ban dan muffin.

Shamsuddin berkata setakat ini Terengganu merupakan negeri yang terbesar mengeluarkan ubi Vitato dan tanaman itu akan diperluas ke seluruh daerah sekiranya ada permintaan daripada petani.

Beliau berkata ubi Vitato sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah, termasuk tanah beris dan tanah bekas lombong.

PPNT menjalankan penyelidikan pasaran bersama MARDI dan pada masa yang sama ini, Nestle mengenal pasti kelebihan produk Vitato untuk dipasarkan bagi segmen industri dan runcitnya.

Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat Zakaria Ibrahim berkata tanaman ubi Vitato boleh memberikan pendapatan lumayan kepada peserta.

Contohnya anggota PPK Kerandang yang menyertai mini estet Vitato kini memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM15,000 sebulan, bergantung kepada luas tanaman.

Katanya Vitato kini menjadi tanaman utama bagi PPK Keradang menggantikan tembakau yang dihentikan penanamanya.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan Peladang Negeri kerana banyak membantu petani khususnya anggota kami dalam tanaman Vitato ini,” katanya.

Zakaria berkata pada tahun lepas PPK Kerandang berhasil menuai sebanyak 319.9 tan Vitato bernilai RM270,870 manakala tahun ini tuaian setakat ini sebanyak 202 tan bernilai lebih RM216,000.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)

Advertisement

Pesta Durian Negeri Perak

Pesta Durian Negeri Perak 2011 telah berlangsung dengan jayanya di Dataran Long Jaafar di Bukit Gantang, Perak pada 23-24 Julai yang lalu.

MARDI Negeri Perak dengan kerjasama Pusat Mekanisasi & Antomasi (MA), Hortikultur (HR), Pengurusan Stesen (PS), Promosi & Pembangunan Teknologi (PT) dan Unit Biji Benih (UBB) telah menyertai pesta tersebut dengan mempamerkan

  • mesin pengasing isi dari biji durian
  • pengopek buah durian
  • maklumat perosak dan penyakit pokok dan buah durian
  • jualan anak dan biji benih
  • pameran aktiviti Pusat PT Negeri Perak

Majlis telah dirasmikan oleh YB Dato’ Zainal Fadzi (mewakili YAB Menteri Besar) yang kemudian telah sudi meluangkan masa melawat ke gerai jabatan/agensi. Semasa di gerai MARDI, YB Dato’ Zainal amat tertarik dengan klon buah durian serta kedua-dua alat pengasing isi dari biji dan pengopek buah durian, serta serangga perosak dan penyakit pokok dan buah durian yang dipamerkan.

MARDI Perlu Komersilkan Teknologi Yang Dibangunkan

SERDANG, 22 Julai – Ciptaan dan teknologi berasaskan produk pertanian yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) perlu dikomersilkan bagi memastikan penemuan tersebut menembusi pasaran dalam negara dan global sekaligus membawa pulangan besar kepada negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata keupayaan MARDI menghasilkan produk berasaskan pertanian yang berkualiti tinggi sudah terbukti di peringkat antarabangsa.

Justeru katanya kejayaan itu tidak bermakna sekiranya segala penemuan dan teknologi baru MARDI tidak dikomersilkan.

“Jadi MARDI perlu mempercepatkan usaha pengkomersilan teknologi yang ada. Kalau pihak swasta turut serta bermakna proses itu dapat dipercepatkan lagi,” katanya pada sidang media mengenai kemenangan MARDI dalam Pameran Ciptaan, Inovasi dan Teknologi (ITEX) Ke-22 dan Anugerah Bank Pembangunan Islam (IDB) bagi Sains dan Teknologi 2011 di ibu pejabat MARDI di sini Jumaat.

MARDI meraih lima emas, lima perak dan satu gangsa iaitu memenangi semua kategori yang dipertandingkan dalam ITEX 2011 yang diadakan di KLCC pada 20-22 Mei lalu dan juga Anugerah Kategori Pertama pada Anugerah IDB 2011.

Noh berkata, antara ciptaan MARDI yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa ialah sebuah mesin ekstrak fiber dan media cocopeat untuk produk kelapa yang mudah alih dan mesra persekitaran.

Katanya mesin itu sangat berguna kepada pekebun kelapa, pengusaha kecil industri berasaskan kelapa di mana berupaya mengasingkan fiber dan cocopeat secara serentak dengan kapasiti 500 kilogram sabut kelapa dalam masa satu jam.

Begitu juga dengan penemuan sejenis virus yang dikenali ‘Biopestida berasal Faj’ yang menggunakan bakteria sebagai makanan untuk mengawal penyakit tumbuhan yang disebabkan oleh bakteria seperti penyakit layu pada tomato dan halia, penyakit reput pada nanas dan betik serta penyakit antraknos pada pokok cili, katanya.

Beliau berkata sehingga 2010, sebanyak 48 syarikat Industri Kecil dan Sederhada (IKS) bimbingan MARDI berjaya mengeksport produk mereka dengan jumlah jualan tahunan semua syarikat bernilai RM77 juta.

Noh berkata penglibatan MARDItech Corporation Sdn Bhd iaitu anak syarikat MARDI dalam kerja-kerja konsultansi dan pengurusan projek di 15 negara ahli IDB seperti Syria, Afghanistan, Nigeria dan Brunei sudah membuktikan keupayaan agensi itu di peringkat antarabangsa.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)

Seminar Dwi Mingguan Bil 12/2011

Seminar Dwi Mingguan tahun 2011 siri keduabelas akan diadakan pada 29 Julai 2011 (8.30 pagi) bertempat di Bilik Taklimat Bangunan Direktorat Blok A, Ibu Pejabat MARDI Serdang.

Berikut adalah tajuk pembentangan dan nama pembentang:

Tajuk pembentangan 1 :
CLIMATE CHANGE AND AGRICULTURE
Pembentang 1: Dr. Mohamad Zabawi Abd Ghani (Pusat Penyelidikan Sumber Strategik)

Tajuk pembentangan 2:
PENGALAMAN MENGHADIRI SEMINAR “ 1ST INTERNATIONAL CONFERENCE ON SWIFTLET RANCHING” DI KUALA TERENGGANU
Pembentang 2: Dr. Fhaisol Mat Amin (Pusat Promosi dan Pembangunan Teknologi)

Semua di jemput hadir.

MARDI sebagai penerima Islamic Development Bank (IDB) Prizes

Jeddah (Arab Saudi), 29-30 Jun – MARDI telah diisytiharkan sebagai penerima Islamic Development Bank (IDB) Prizes for Science and Technology 2011 Kategori Pertama.

Anugerah ini mengiktiraf sumbangan MARDI kepada masyarakat dan ummah dalam perkara-perkara berikut:

  • Mengeluarkan varieti-varieti padi berhasil tinggi di mana liputan penggunaan adalah melebihi 90% kawasan penanaman padi di Malaysia. Ianya secara langsung telah berjaya meningkatkan pengeluaran padi dan beras negara serta meningkatkan pendapatan petani
  • Membangunkan usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang pemprosesan makanan sehingga boleh memasuki pasaran eksport. Sehingga 2010, sebanyak 48 syarikat IKS bimbingan MARDI telah berjaya mengeskport produk mereka dengan jumlah jualan tahunan semua syarikat ini bernilai RM77 juta.
  • Sumbangan yang paling menonjol ialah melalui penglibatan Marditech Corporation Sdn Bhd iaitu anak syarikat MARDI dalam kerja-kerja konsultansi dan pengurusan projek di beberapa negara ahli IDB antaranya:
    1. Brunei Darulsalam – Pembangunan pengeluaran makanan tradisional
    2. Nigeria – Pembangunan tanaman padi serta pengurusan projek
    3. Afghanistan – Pembangunan sistem pemprosesan serta pengeringan  buah-buahan
    4. Syria – Pembangunan sistem pengendalian lepas tuai buah-buahan

Di atas kemenangan ini, MARDI telah menerima hadiah wang tunai USD100,000, piala dan juga sijil kemenangan. Yang lebih membanggakan juga, Ketua Pengarah MARDI juga telah dipilih mewakili Malaysia untuk memberikan ucapan mewakili pemenang-pemenang lain dari Iran dan Bangladesh dalam majlis penganugerahan tersebut.

Sebelum ini, wakil pihak IDB telah pun mengadakan perbincangan dengan MARDI pada 19 Julai 2011 yang lalu. Dalam perbincangan ini, MARDI telah mengemukakan beberapa cadangan seperti latihan dan khidmat perundingan serta pengurusan projek pertanian yang akan dipertimbangkan pembiayaannya oleh pihak IDB.  Tujuan utama ialah untuk meningkatkan pencapaian ekonomi negara-negara ahli IDB

MARDI Ke Arah Menjadi Peneraju Agro Teknologi

Serdang, 22 Julai – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mencatat kejayaan terbaik dalam kemenangan kesemua teknologi iaitu 11 teknologi yang dipertandingkan di ITEX 2011 baru-baru ini.  Bukan itu sahaja, MARDI turut diisytiharkan sebagai penerima Islamic Development Bank (IDB) Prizes for Science and Technology 2011 bagi kategori pertama. Menurut Y.B Datuk Seri Noh b. Haji Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kejayaan MARDI di persada antarabangsa ini adalah hasil daripada sokongan padu Kementerian yang sentiasa menggalakkan penyertaan sebegini yang bukan sahaja mengharumkan nama Institusi malah membawa nama negara.

Kemenangan 11 teknologi MARDI di ITEX berjaya menggondol 5 pingat emas, 5 pingat perak dan 1 gangsa. 5 daripadanya juga menerima Malaysian Innovative Product Award. Selain itu, MARDI turut menerima 5 Anugerah Khas Juri.  Paling membanggakan adalah teknologi Immuno-Gold Biosensor Strip For The Detection Of Tetracycline In Poultry Industry, yang menerima pingat emas dan juga dua Anugerah Khas Juri. Manakala teknologi Phage-based Biopesticide for Plant Diseases oleh Dr Tan Geok Hun telah menerima Anugerah Khas Juri bagi Best Women Invention daripada World Intelectual Property Organisation (WIPO).

Penerimaan Anugerah IDB Prizes 2011 di Jeddah juga merupakan satu pengiktirafan terbaik yang diterima oleh MARDI. Kemenangan MARDI bagi Anugerah tersebut adalah berdasarkan peranan MARDI yang berjaya mengeluarkan varieti-varieti padi berhasil tinggi dengan liputan penggunaan melebihi 90% kawasan penanaman padi di Malaysia.

Selain itu, peranan MARDI dalam pembangunan usahawan-usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dalam bidang pemprosesan makanan juga menjadi faktor utama pemilihan MARDI untuk Anugerah IDB. Sumbangan yang paling menonjol juga adalah penglibatan MARDITech Corporation Sdn Bhd (anak syarikat MARDI) yang dalam kerja-kerja konsultansi danpengurusan projek di beberapa negara ahli IDB seperti Brunei Darulsalam, Nigeria, Afghanistan dan juga Syria.

Turut hadir adalah Y.Bhg Dato’ Mohd Mokhtar Ismail, Pengerusi MARDI dan Y.Bhg Datuk Dr Abd Shukor Abd Rahman, Ketua Pengarah MARDI.

Agro-Perlancongan TATML Didominasi Pengunjung KSA

Setengah tahun pertama 2011 TATML telah menerima 18,644 pelawat daripada 79 buah negara di dunia tidak termasuk pelawat domestik seramai 2,468. Ini menunjukkan 81% adalah pelawat antarabangsa. Angka ini juga menunjukkan peningkatan 34.98% berbanding tempoh masa yang sama tahun lalu.

Walaupun setengah tahun pertama bukan merupakan ‘peak season’ di TATML, namun begitu data kemasukan pelancong asing telah menunjukan pertambahan 34.13% dengan catatan tertinggi  pengunjung dari KSA ( Kingdom Saudi Arabia ) seramai 4,627 pelawat atau 24% di kalangan pelawat antarabangsa. Senario telah berubah kerana pada masa lalu pengunjung Arab  hanya datang semasa peak season saja. Berkemungkinan TATML telah mendapat sokongan serta mempunyai jalinan akrab dengan Malaysian Tourism Marketing Office yang berpengkalan di Jeddah. Senarai top ten di kalangan 79 buah negara yang mengunjungi TATML setakat ini adalah seperti berikut:

KSA (Kingdom of Saudi Arabia) 4627
Oman 1681
UAE (Emirate Arab Bersatu) 1224
India 855
Kuwait 703
Iran 482
Sudan 479
Singapura 444
China 443
Rusia 44

Berdasarkan peningkatan ini pengurusan TATML telah buat persediaan awal  menghadapi   ‘peak season’ mulai akhir Jun lalu kerana capaian tahun lalu bilangan meningkat sehingga 639 pelawat sehari. Difahamkan ‘peak season’ di TATML adalah bersamaan cuti panjang selama 3 bulan di negara-negara Arab mulai 25 Jun lalu. Berkemungkinan cuti kakitangan unit pelancongan terutama kakitangan khidmat pelanggan dan pemandu tram terpaksa dibekukan. Ini adalah suasana biasa pengurusan pelancongan TATML pada setiap kali ‘peak season’ bagi menguruskan peningkatan bilangan pelawat.

Bagi pelawat domestik pula data telah menunjukkan peningkatan daripada 3,074 enam bulan pertama tahun lalu  kepada 4,268 enam bulan pertama tahun ini. Keadaan ini bererti TATML telah mula mendapat perhatian di kalangan pelawat dalam negara berbanding masa lalu. Ini berkemungkinan dengan wujudnya kepelbagaian pakej yang disediakan serta hebahan promosi oleh pelbagai  akhbar tempatan dari semasa ke semasa. InsyaAllah dengan wujudnya Pusat Maklumat Teknologi atau galeri  (projek terakhir peruntukan LADA) yang sedang dalam pembinaan sekarang akan menceriakan lagi TATML sebagai sumber maklumat teknologi Mardi kepada pelawat  melalui konsep agro pelancongan . Ini juga bersesuaian dengan slogan Taman Agro Teknologi Mardi ‘Bridging Knowledge and Communities’.

Lawatan Delegasi Langkawi International Dialogue (LID 2011) Ke MARDI

Langkawi International Dialogue (LID 2011) telah berjaya dilangsungkan di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya dari 19 hingga 21 Jun 2011. LID 2011 dianjurkan oleh Kementerian Luar Negara dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Commonwealth Partnership for Technology Management (CPTM) dimana LID 2011 tertumpu kepada usaha untuk mengubah dan memajukan perkongsian pintar ke arah meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi negara-negara yang mengambil bahagian. Sejumlah 25 Ketua Negara / Kerajaan telah dijemput untuk menghadiri LID 2011 manakala jumlah peserta yang hadir kira-kira 500 orang.

Dalam perancangan LID 2011 tahun ini, format LID telah diubah dari berbentuk seminar sahaja kepada konsep ‘Smart Partnership: Dialogue in the Field’ melalui lawatan kerja delegasi ke agensi-agensi di Malaysia. MARDI telah dipilih sebagai salah satu daripada destinasi lawatan kerja tersebut. Pada 20 Jun 2011 bertempat di Bilik Taklimat Direktorat MARDI, Y. Bhg. Datuk Dr. Abd. Shukor bin Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI telah menerima lawatan delegasi LID 2011 seramai 70 orang  dan menyampaikan taklimat sempena lawatan tersebut.

Delegasi telah dibawa melawat ke Galeri Digital MARDI di mana delegasi berpeluang melihat kemajuan teknologi pertanian yang telah dibangunkan oleh MARDI. Mereka turut dibawa melawat ke Spa MAEPS yang diusahakan oleh usahawan tempatan serta Laman Herba dan Laman Sayur MAEPS. Rata-rata delegasi yang hadir merasakan lawatan ke MARDI terlalu singkat kerana jadual lawatan yang ketat. Sungguh pun demikian, ada juga antara mereka yang menyatakan hasrat untuk mengadakan kerjasama dua hala dengan MARDI.

Menteri & Ahli-ahli Parlimen Negara Islam Sedunia Lawat TATML

9hb Julai 2011 menyaksikan seramai 200 orang menteri dan ahli-ahli parlimen dari negara Islam seluruh sedunia melakukan lawatan ke TATML. Lawatan ini bersempena Islamist Parlimentarians Forum yang bersidang di Hotel Pelangi, Langkawi.

Sebagai menghormati lawatan bertaraf VIP ini, satu jamuan petang dan hidangan berasaskan buah-buahan tropika telah disediakan oleh TATML. Turut hadir bersama lawatan ini adalah YAB Menteri Besar dan beberapa Exco negeri Kedah. Lawatan ini sedikit sebanyak merupakan satu promosi TATML di kalangan negara-negara Islam.

Jabi Rice Teroka Pasaran Snek Dari Beras Perang

ALOR SETAR, 8 Julai  — Jabi Rice Mill Sdn Bhd (Jabi Rice)menyasarkan permintaan produk makanan ringan (snek) berasaskan beras perang keluarannya mencecah RM6 juta pada tahun pertama apabila memasuki pasaran Ogos ini.

Pengerusinya, Abdul Lateh Mohd Saman berkata snek Jabi Rice yang dipasarkan melalui rangkaian kedai-kedai muslimin di seluruh negara sejak Disember tahun lepas mendapat sambutan memuaskan walau pun menghadapi saingan produk terkenal.

Beliau berkata rundingan dengan pasaraya besar seperti Tesco, Giant, Jaya Jusco dan Mydin untuk memasarkan produk Jabi Rice di pasaraya mereka yang masih berjalan adalah positif.

“Kami juga dalam proses menandatangani perjanjian dengan syarikat pemilik Upin dan Ipin bagi memasarkan snek Jabi Rice di Indonesia menggunakan watak cerita tersebut yang mendapat penarafan tinggi di negara jiran itu.

“Kemasukan produk ini di Indonesia dijangka meningkatkan nilai pengeluaran kami kepada RM6 juta dalam tahun pertama sahaja,” kata Abdul Lateh kepada pemberita selepas menerima sijil graduasi Inkubati Inkubator Teknoloji MARDI dari Timbalan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Masri Muhamad di kompleks kilang Jabi Rice di Kampung Jabi dekat sini hari ini.

Menurutnya, Jabi Rice membelanjakan RM2.8 juta bagi melengkapkan kilang dengan peralatan pemprosesan untuk pengeluaran pra-komersil produk ekstrusi berkapasiti 500 kilogram sehari di kompleks tersebut yang memenuhi Analisis Bahayas Titik Pengendalian Kritikal (HACCP) dan piawaian keselamatan.

Pada peringkat awal, snek beras perang tersebut dikeluarkan dengan jenama J’Rice Poppers berperisa keju, kari dan ayam, akan juga dipasarkan di beberapa negara Asean, kata Abdul Lateh.

Pengarah Urusan Jabi Rice, Badrol Hisham Mohd Rejab berkata syarikatnya menjadi ikubati di Inkubator Stesen MARDI Alor Setar pada 2008, membuka ruang kepada Jabi Rice untuk fokus kepada produk hiliran berasaskan beras perang.

Jabi Rice menghasilkan beras tempatan jenama Kedah Best, Delima Madu, Lebah Madu, Delima Kasturi, Ummi, Delima Pandan dan Suri serta beras perang yang diedarkan di negara ini, katanya.

Sementara Dr Masri berkata penghasilan snek berasaskan beras perang oleh Jabi Rice adalah yang pertama di Malaysia menggunakan teknoloji MARDI.

Katanya snek dari beras perang sangat berkhasiat dan baik untuk kesihatan kerana mengandungi lapisan bran serat makanan, vitamin dan garam galian.

(Sumber dipetik dari BERNAMA)