PENGENALAN
Cendol merupakan pencuci mulut ikonik yang diisytiharkan sebagai makanan warisan Malaysia oleh Jabatan Warisan Negara Malaysia. Cendol dihasilkan menggunakan kaedah konvensional iaitu dengan menekan adunan atas pengayak untuk membentuk adunan sebelum dipotong ke dalam air ais. Kekangan ke atas kaedah pemprosesan ini adalah tempoh pemprosesan yang memakan masa dan memerlukan kekuatan tangan
untuk menekan doh. Cendol yang dihasilkan juga mempunyai jangka hayat yang pendek kerana kandungan lembapan yang tinggi (>90%). Oleh itu, cendol perlu disimpan sejuk untuk tujuan pemasaran. Ia perlu direndam dalam air untuk tujuan ini bagi mengelakkannya melekat sesama sendiri dan sekali gus mempengaruhi kestabilan penyimpanan cendol.
INOVASI
Cendol segera ialah cendol kering hasil teknologi penggelatinan cepat, dibungkus bersama pek sirap gula apong (nipah) dan serbuk santan. Pengaplikasian kaedah penggelatinan cepat dalam pemprosesan berjaya menyingkatkan masa pemprosesan cendol dengan ketara. Penghasilan cendol kering mengandungi tahap lembapan yang rendah (<10%) sekali gus meningkatkan kestabilan jangka hayat cendol. Tambahan pula cendol kering ini lebih mudah untuk dikendalikan dari segi penyimpanan iaitu pada suhu bilik dan tidak memerlukan penyimpanan pada suhu sejuk. Cendol segera amat sesuai bukan sahaja untuk pembelian runcit bahkan pembungkusan secara pukal tanpa kondimen. Ini secara langsung memvariasikan penggunaan cendol sekali gus meningkatkan peluang pemasaran cendol ke peringkat global.
Cendol segera dihasilkan untuk menampilkan imej baru pencuci mulut ikonik warisan Malaysia dan menjadikannya lebih berpotensi dari sudut ekonomi. Kaedah pemprosesan cendol yang diperkenalkan melibatkan penggunaan alat dan mesin yang minimum, meningkatkan produktiviti pemprosesan, mengurangkan kadar sisa pengeluaran dan kos yang efektif.
KEISTIMEWAAN PRODUK
digoreng dalam minyak panas
Cendol segera boleh disediakan hanya dengan menghidrasi cendol kering sama ada menggunakan rebusan air atas dapur atau boleh juga memasak rebusan air dalam ketuhar gelombang mikro selama 15 – 20 minit sebelum dihidangkan. Selain itu, cendol kering boleh digoreng dalam minyak yang panas untuk menghasilkan snek cendol. Cendol segera juga sesuai dinikmati oleh semua golongan kerana bahan-bahan yang digunakan adalah bebas gluten dan tiada bahan pengawet kimia tambahan.

Untuk maklumat lanjut; hubungi Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan,
03-89536400 – #fromlabtotable #ourfoodourfuture #betterMARDI