Serdang, 29 November – YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani pada hari ini telah melancarkan tiga (3) buah buku hasil terbitan MARDI bersempena MAHA 2018 bertempat di Dewan A, MAEPS, Serdang, Selangor Darul Ehsan.
Buku yang dilancarkan adalah ‘MARDI’s Innovations Towards Building a Better Tomorrow’, ‘Prosedur Operasi Standard Pengeluaran Misai Kucing’, dan ‘Pertanian dan Pemprosesan Makanan: Di Manakah Tahap Teknologi di Malaysia?’
Laporan pencapaian lima tahun MARDI yang bertajuk MARDI’s Innovation Towards Building a Better Tomorrow (2011-2015) menggambarkan pencapaian Institut dalam aplikasi kemajuan teknologi. Dalam mempertahankan dan menangani permintaan industri dan keperluan pengguna, MARDI telah memulakan beberapa inisiatif penyelidikan untuk meningkatkan produktiviti pertanian, membangunkan varieti tanaman baharu, memperbaiki kemudahan penyimpanan lepas tuai untuk mengekalkan kesegaran hasil bagi memastikan pilihan makanan yang sihat dan selamat kepada pengguna.
MARDI juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan kemampanan pertanian negara. Oleh itu, usaha penyelidikan telah tertumpu ke arah mewujudkan sistem pertanian yang mampan, memanfaatkan sumber biodiversiti untuk membangunkan produk pemakanan dan kesihatan baharu dan menggunakan input nutrien semula jadi dan mampan. Buku ini menyentuh teknologi dan inovasi MARDI dalam membangunkan industri padi, penternakan, tanaman alternatif, hortikultur, keselamatan dan sekuriti makanan negara.
Buku kedua yang dilancarkan pula ialah ’Prosedur Operasi Standard Pengeluaran Misai Kucing’ yang merupakan satu set arahan langkah demi langkah (Standard Operating Procedure – SOP) untuk membantu golongan sasaran menjalankan operasi melibatkan
aktiviti penanaman, pengendalian lepas tuai dan pengurusan perosak dan penyakit misai kucing (Orthosiphon stamineus). SOP ini bertujuan untuk mencapai kecekapan, output yang berkualiti dan keseragaman prestasi. Selain itu, SOP ini juga dapat memenuhi jaminan keselamatan bahan mentah misai kucing yang dikeluarkan .
Manakala buku ketiga bertajuk ‘Pertanian dan Pemprosesan Makanan: Di Manakah Tahap Teknologi di Malaysia?’ merupakan satu proses pemindahan ilmu serta maklumat yang berkesan antara penyelidik dan agen pengembangan terutama dalam
memperkukuhkan subsektor padi, buah-buahan, ternakan, sayur-sayuran dan industri asas tani. Dapatan penilaian ini akan dapat membantu kerajaan dan pengusaha dalam pengurusan industri tersebut untuk terus berkembang maju, terutamanya produktiviti industri bagi tujuan peningkatan pendapatan petani dan usahawan tani. Inisiatif ini selaras dengan mandat MARDI selaku agensi penyelidikan yang bertanggung jawab menjana dan memindahkan teknologi dan pengetahuan baru bagi memenuhi keperluan industri pertanian dan makanan negara.
Ketiga-tiga buku yang diterbitkan MARDI ini amat penting dalam penyebaran ilmu dan kemahiran kepada golongan sasar, lebih-lebih lagi institusi penyelidikan ini akan berusia 50 tahun pada tahun hadapan.
Majlis pelancaran pada hari ini telah disempurnakan oleh YB Tuan Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pertanian & Industri Asas Tani dan turut dihadiri oleh Yang Berbahagia Dato’ Mohd Sallehuddin Bin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani dan Yang Berbahagia Datuk Dr.Mohamad Roff Bin Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI.
Maklumat lanjut, hubungi Penerbit MARDI: 03-8953 7203 / 6931