Pemilik Ladang Kelapa Sawit Disaran Ternak Lembu Dan Ayam Kampung Hibrid

ayamkampunghibrid

KEMAMAN, 23 Jan – Pemilik ladang kelapa sawit disaran menternak lembu dan ayam kampung hibrid di dalam ladang mereka bagi tujuan meningkatkan bekalan daging lembu dan ayam kampung yang semakin mendapat permintaan di pasaran tempatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata ternakan lembu memberi banyak kelebihan kepada penternak iaitu selain dapat meningkatkan bekalan daging lembu di pasaran tempatan, najis lembu boleh dijadikan baja kepada tanaman kelapa sawit.

Katanya mereka boleh mencontohi kejayaan Ladang Rakyat Sdn Bhd di Cheneh, dekat sini yang menternak lembu dan ayam kampung di ladang kelapa milik mereka sejak tahun lepas.

“Konsep ini perlu diperluaskan kepada ladang-ladang kelapa sawit di seluruh negara kerana faktor cuaca yang sesuai untuk lembu membiak manakala bahan buangan lembu dijadikan baja kepada tanaman kelapa sawit.

Ia sekali gus dapat mengurangkan kadar kebergantungan kita kepada bekalan daging import dan meningkatkan sumber pendapatan penduduk setempat,” katanya kepada pemberita selepas melawat ternakan lembu dan ayam kampung milik syarikat itu di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Veterinar Malaysia, Datuk Dr Kamaruddin Md Isa, timbalannya, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam dan Ketua Eksekutif Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, Mohd Damanhuri Mohd Jamli.

Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman juga mengambil maklum permintaan terhadap ayam kampung juga semakin meningkat ekoran citarasa rakyat negara ini yang kembali ingin merasai ayam kampung namun bekalan ternakan itu masih terlalu sedikit di pasaran.

“Dalam sehari, sebanyak 1.9 juta ekor ayam berada di pasaran, berbanding ayam kampung iaitu kurang dari satu peratus di pasaran.

Ini adalah disebabkan penternak lebih memberi keutamaan kepada ayam daging kerana ia mengambil masa yang singkat untuk dijual iaitu kira-kira 45 hari sahaja berbanding ayam kampung hibrid, yang mengambil masa 90 hari untuk mencapai tempoh matang.

“Ternakan ayam kampung hibrid memberi pendapatan lumayan kepada penternak kerana harganya boleh mencecah sehingga RM18 kilogram dan dianggap sebagai ‘ayam premium’,” katanya.

Katanya, pihak kementerian akan menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tujuan memperluaskan ternakan berkenaan manakala Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pula akan menjadi agensi bagi tujuan promosi dan pemasaran.

– Bernama

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s