Pemutuan Padi Pusat Penyelidikan Padi & Beras (RI), MARDI

pemutuan padi

PUTRAJAYA, 20 Jan — Pemutuan adalah dari perkataan mutu, semestinya melibatkan langkah langkah atau kaedah untuk menentukan sesuatu yang bermutu. Mencapai sesuatu yang bermutu adalah penting agar hasil yang diperolehi dapat memberi keuntungan atau sesuatu yang berfaedah. Maksudnya  kaedah untuk menentukan mutu sesuatu produk seperti padi perlu dikenalpasti agar proses yang  dikatakan pemutuan padi adalah jelas .

Beras asalnya dari tanaman padi di sawah akan melalui berapa peringkat sebelum ianya diproses sebagai butiran putih yang akan menjadi sajian yang mengenyangkan. Padi dan beras ini mempunyai ciri ciri tertentu yang akan mempengaruhi mutu akhir beras. Mutu padi ini perlu dijagai kerana proses pemutuan padi adalah bagi tujuan penggredan dan juga pemotongan kualiti padi. Juga pemprosesan padi di kilang beras dilakukan dengan terperinci bagi menentukan mutu sebenar berdasarkan spesifikasi dan penggredan untuk padi mengikut Standard Piawian Malaysia.

Pemutuan padi merupakan satu proses yang penting dalam perusahaan padi dan beras. Keputusan pemutuan padi dipengaruhi oleh berapa faktor dan bergantung pada mutu padi yang diterima dari petani. Beberapa aspek seperti ciri fizikal padi, keadaan dan teknik pengendalian padi tu sendiri akan mempengaruhi mutu padi . Padi dikatakan masih dalam keadaan yang aktif dan pada keadaan lembapan atau kandungan air yang tinggi akan mudah rosak semada menjadi masam atau bertukar warna. Padi yang sampai di kilang akan menjalani proses pemutuan agar pemotongan yang setimpal dapat dikenakan kepada terimaan padi itu.

Apakah aspek–aspek yang mempengaruhi pemutuan padi.  Jawapannya  haruslah diperjelaskan kepada petani petani agar keputusan pemutuan padi akan  lebih  bermakna  serta  difahami oleh mereka. Padi yang  baik  atau  bermutu  adalah  padi bernas yang  mempunyai isi tulen  dan cukup masak. Komposisi  padi  hasil  dari  sawah  biasanya  mengandungi  kira  kira  80%  padi bernas.  Selebihnya  adalah  semada     padi  rosak,  padi  tidak  matang  dan bendasing  atau hampa.

Hampa ini terdiri dari hampa berat dan ringan serta bendasing lain yang tidak boleh diproses termasuk batang padi, rumput, sambau, serangga, tangkai padi, serpihan batu, kayu dan mungkin tanah. Biji padi yang kosong atau hampa akan memberi masalah semasa pengilangan beras dan perlu diasingkan sebelum diproses untuk mengelakkan penghasilan beras hancur dan akhirnya menghasilkan beras yang kurang bermutu. Akhirnya langkah langkah pemutuan adalah untuk memastikan komposisi padi yang baik digunakan. Ini adalah dengan mengasingkan komposisi yang tidak boleh digunakan dan seterusnya dapat menghasilkan beras yang bermutu.

MARDI dalam kajiannya lebih kepada menentukan mutu padi setelah ianya dikeringkan. Pemutuan padi dijalankan semasa peringkat penerimaan padi basah, pengeringan, pengilangan, penyimpanan padi dan beras. Mutu padi dan beras adalah berdasarkan kepada sifat sifat atau ciri ciri fizikal dan kimia, mutu pengilangan, aroma, mutu masakan, pemakanan dan pemprosesan. Untuk tujuan pemutuan padi, hanya ciri ciri fisikal sahaja dititik beratkan. Di antara ciri fisikal padi yang di titikberatkan semasa kajian ialah kelembapan, bau, kebersihan, saiz biji, bendasing, kandungan biji muda atau padi tidak matang , biji rosak, biji retak dan mutu penghasilann beras.

Sebelum kajian dijalankan,  kandungan lembapan padi  atau wab basah ditentukan   ke atas   padi basah untuk menentukan proses pengeringan seterusnya agar padi ini dapat  dikisar  atau  disimpan. Padi basah juga perlu dibersihkan daripada bahan asing yang bersaiz besar sebelum dikeringkan. Kandungan lembapan boleh menjejaskan mutu padi  dari  beberapa  aspek.  Ia  bukan sahaja mempengaruhi kadar kerosakan padi semasa penyimpanan tetapi ia juga menjejas mutu pengilangan padi itu. Lazimnya padi  disimpan  pada  lembapan  sekitar  12-­‐13%.  Pada  lembapan  yang tinggi, padi akan terlalu lembut untuk dikisar dan menyebabkan beras patah  yang  tinggi.  Manakala pada lembapan yang terlalu rendah pula akan menyebabkan padi yang rapuh.

Setelah dikeringkan, proses penyampelan akan dijalankan bagi mendapat sampel yang sesuai bagi pemutuan. Proses pemutuan padi adalah mengikut prosidur piawaian yang telah diiktiraf dan boleh dijelaskan seperti carta alir berikut:

Sila klik di sini untuk Rajah 1

Aliran pemutuan padi adalah melibatkan proses pengasingan ciri ciri fisikal padi seperti bendasing, ketulenan varieti, biji retak, padi rosak, biji padi muda dan biji padi kapur. Setelah diasingkan, berat bagi setiap ciri ciri padi ini ditimbang dan keputusannya setelah dikira akan memberi nilai atau tahap mutu sampel berkenaan. Lazimnya proses pemutuan bagi setiap ciri padi ini dijalankan sebanyak dua hingga tiga kali pada setiap sampel agar kehadiran sebenar ciri ciri padi ini ditentukan.

Bendasing atau dikenali sebagi hampa adalah meliputi batang jerami, batu, sambau dan rumput. Puncanya adalah dari proses tanaman dan penuaian di sawah. Hampa biji padi yang kosong atau ringan akibat dari kawalan kualiti yang kurang baik sepanjang proses penanaman manakala bendasing seperti tangkai termasuk sekali bersama padi muda yang kenyal dan sukar terpisah daripada tangkai ketika tuaian. Kehadiran bendasing juga akan menurunkan pulangan pengilangan dan juga kualiti beras. Kandungan benda asing yang tinggi boleh meningkatkan kerosakan alat pengilangan.

Campuran varieti juga perlu diasingkan kerana ini akan menyebabkan proses pengilangan yang tidak efisien di mana menghasilkan peratus beras patah yang tinggi serta pulangan kepala beras yang rendah. Saiz dan bentuk yang berbeza akan menyebabkan kesukaran bagi menentukan proses pemutihan dan pengilatan beras.

Selain dari bendasing dan campuran varieti, biji retak, padi rosak, biji padi muda dan juga biji padi kapur perlu diasingkan. Pulangan beras dan kepala beras yang rendah adalah disebabkan oleh kandungan biji retak yang tinggi. Biji retak ini adalah disebabkan dari keadaan suhu dan lembapan yang terlalu tinggi semasa di sawah yang menyebabkan rekahan padi biji padi. Padi rosak adalah padi bercambah, bertukar warna , berbau dan dirosakkan oleh serangga atau penyakit. Manakala biji padi muda adalah padi yang berwarna hijau (tidak bernas) dan belum matang (bersusu).

Sila klik di sini untuk Rajah 2

Terdapat pelbagai peralatan digunakan semasa pemutuan padi dijalankan. Di antaranya adalah pembahagi contoh sawat , meter penentuan kandungan lembapan, alat pengangin, penimbang, alat ketumpatan pukal , alat pengukur dan alat pengesan retak. Lazimnya alat alat ini dikalibrasi agar ianya memberi bacaan yang tepat dan betul. Pemutuan padi ini juga dijalankan oleh mereka yang berpengalaman serta arif dalam aspek mutu padi dan beras. Dengan mengguna prosidur piawaian yang ditetapkan serta pemantauan aktiviti semasa perlaksanaan kajian, hasil dari pemutuan padi dapat memberi maklumat yang berguna dalam kajian penilaian mutu padi/beras dan juga pengendalian lepas tuai.

Sila klik di sini untuk Rajah 3

Pemutuan padi adalah sangat penting kerana mutu terimaan padi di kilang dan juga di makmal adalah tidak semestinya tepat. Padi yang diperlukan adalah padi bernas, tulen dan cukup masak. Dengan keadah pemutuan, mutu padi sebenar dapat diketahui dan tindakan seterusnya dapat diambilkira. Ini penting bagi menghasilkan beras yang lebih segar dan bermutu serta meningkatkan permintaan beras tempatan yang lebih berkualiti.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s