Fertigasi lindungi hasil pertanian ketika kemarau

fertigasi-cili-mardi

ALOR GAJAH: Sistem fertigasi dalam penanaman cili padi dan terung berupaya menyelamatkan industri pertanian peserta Kampungku Masa Depanku berdepan cabaran musim kemarau.

Projek berkenaan dilaksanakan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Melaka dengan memilih peserta di kampung tertentu yang berpotensi bagi memajukan industri pertanian dengan keseluruhan modal dan peralatan disediakan oleh agensi terbabit.

Abu Hassan Daud, 64, terpilih mengusahakan tanaman cili padi pada 1990-an sebagai peserta program itu dengan menjadikan sistem fertigasi sebagai aspek utama dalam penanaman cili padi bara, cili hidup dan terung.

Beliau menuai hasil mulai Januari lalu selepas mempraktikkan sistem berkenaan ketika menanam sebanyak 250 beg poli hitam, 100 beg cili hidup varieti MC II dan 150 beg terung di kawasan seluas 0.2 hektar pada pertengahan November 2018.

Abu Hassan berkata, sistem itu membolehkan air dicampur dengan baja formasi dalam tangki utama disalurkan ke setiap paip kecil yang dimasukkan dalam setiap beg poli.

“Setiap tiga jam, air dari tangki utama dipam menggunakan motor ke paip kecil, dimasukkan ke dalam beg poli selama tujuh minit bagi memastikan setiap pokok mendapat air mencukupi, terutama pada musim kemarau seperti sekarang.

“Sistem fertigasi bukan setakat memudahkan kerja menyiram pokok, malah membantu memastikan pokok mendapat air secukupnya sama ada pada musim kemarau atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui di Kampung Seri Tanjung, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan Timbalan Pengarah MARDI negeri, Nik Adli Nik Mohamad dan Penolong Pegawai Penyelidik Kanannya, Menhat Abdul Rahman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Tanjung, Razak Yatim.

Hasil kesungguhan Abu Hassan dan isteri, Wan Noraini Wan Chik, 58, mengusahakan tanaman berkenaan, mereka sudah memasarkan 65 kilogram (kg) cili padi bara, selain cili hidup MC II (16 kg) dan terung (30 kg), sekali gus berbangga dengan hasil jualan RM1,188 setakat ini.

Sementara itu, Nik Adli berkata, selain mendidik anggota masyarakat mengenai sistem fertigasi, MARDI juga membimbing mereka menghasilkan baja formasi sendiri bagi menjimatkan kos.

“Kami juga membimbing peserta program ini mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak pada tanaman dengan kaedah menggalakkan pendebungaan pokok oleh kelulut yang sekali gus mampu mengurangkan penggantungan petani pada racun,” katanya.


Sumber: Berita Harian, 27 Mac 2019

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s