- Klon hibrid belimbing (MSTAR 1) pertama Malaysia
- Sangat manis (TSS: 11º Brix) dan tidak kelat
- Tekstur isi yang rangup dan beraroma
- Buah matang lebih awal (12 hari) daripada klon B17
- Warna buah lebih menarik daripada klon B10
- Disyorkan sebagai buah makan segar, berkualiti untuk pasaran eksport
KLUANG, 7 April 2019 – MARDI melakar sejarah yang baru apabila berjaya melancarkan klon baharu belimbing pertama di Malaysia, Bintang Mas yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di MARDI Kluang, Johor.
Pelancaran klon belimbing yang akan diberi nama khas oleh YB Menteri pada majlis tersebut merupakan salah satu strategi MARDI dalam menghasilkan teknologi dan produk berimpak tinggi yang memberi manfaat serta mensejahterakan rakyat.
Kejayaan industri belimbing di Malaysia sangat bergantung kepada keupayaan Negara dalam menghasilkan klon yang berkualiti, mempunyai harga yang kompetitif dan dengan kuantiti yang cukup.
Dalam menghasilkan klon yang berkualiti, aktiviti pembangunan pembaikbakaan telah dijalankan di MARDI sejak tahun 1986. MARDI mengambil inisiatif dengan menyediakan koleksi janaplasma yang mengumpulkan sebanyak 102 aksesi belimbing meliputi dalam dan luar negara. Kacukan 4 induk belimbing iaitu B10, B17, B11 dan B2 bagi menghasilkan hibrid belimbing baharu telah dijalankan di MARDI Kluang. 12 hibrid terpilih dari 6000 titisan hibrid F1 telah diuji di tiga lokasi iaitu di MARDI Kluang, MARDI Sintok dan MARDI Jeram Pasu dari tahun 2007 sehingga 2015. Melalui kaedah ini, akhirnya satu hibrid berpotensi telah dikenal pasti sebagai klon baharu belimbing berkualiti MARDI yang sesuai untuk dimakan segar terutama bagi pasaran tempatan dan eksport.
“Dengan adanya klon baharu MARDI ini, industri belimbing Malaysia akan kembali berdaya saing dan seterusnya menjadi salah satu eksport utama negara di masa hadapan. Ini akan memberi pulangan yang lumayan kepada petani dan pengusaha belimbing serta produk-produk berasaskan belimbing,” ujar YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub.
Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Turut hadir, YB Dr. Sahruddin Jamal, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri Johor dan; YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Untuk maklumat lanjut mengenai klon Belimbing Mas ini, sila hubungi:
Pusat Penyelidikan Hortikulur,
Ibu Pejabat MARDI, Serdang.
Tel: 03-8953 6260
Faks: 03-8953 6270