Selamatkan Teknologi Padi Clearfield®

Oleh: Noorhayati Mohamed Darus dan Dilipkumar Masilamany – Pusat Penyelidikan Padi dan Beras, MARDI Seberang Perai

 

Selamatkan-Teknologi-Padi-Clearfield

Padi angin merupakan sejenis rumpai yang berasal daripada genus yang sama dengan kultivar padi iaitu Oryza. Oleh itu, tiada racun rumpai khas yang mampu menghalang pertumbuhan rumpai ini. Padi angin lebih cekap menyerap baja dan nutrien daripada tanah berbanding dengan kultivar padi dan menyebabkan tumbesarannya lebih pantas. Ketinggian padi angin merupakan satu kelebihan yang menyebabkan kultivar padi tewas untuk bersaing mendapatkan cahaya matahari. Kajian melaporkan bahawa padi angin yang tumbuh dengan kepadatan sebanyak 21 – 30 tangkai/m2 mampu mengurangkan hasil padi sehingga 80%.

Dalam usaha mencari jalan bagi membantu para petani untuk menyelesaikan masalah padi angin, MARDI bekerjasama dengan BASF memperkenalkan teknologi padi Clearfield® pada tahun 2010. Kemunculan teknologi padi Clearfield® umpama penyelamat utama bagi petani yang sering berhadapan dengan infestasi padi angin yang serius di sawah. Padi Clearfield® mempunyai keistimewaan yang unik iaitu kebal atau toleran terhadap racun rumpai daripada kumpulan kimia imidazolinone. Ini bermaksud, semburan racun rumpai imidazolinone di sawah yang ditanam dengan varieti padi Clearfield® mampu mengawal pertumbuhan keseluruhan spesies rumpai terutamanya padi angin, tetapi tidak membunuh padi Clearfield®, malah padi ini tumbuh dengan sihat. Padi Clearfield® terdiri daripada dua jenis varieti iaitu MR 220CL1 dan MR 220CL2. Namun begitu, para petani di seluruh Malaysia lebih gemar memilih varieti MR 220CL2 kerana ia mempunyai umur matang yang lebih singkat dan ketinggian pokok yang lebih rendah berbanding dengan MR 220CL1.

Tanpa-OnDuty---Dengan-OnDuty

Teknologi padi Clearfield® terdiri daripada tiga komponen utama iaitu benih sah daripada pengeluar yang berdaftar, racun rumpai imidazolinone (OnDuty®) dan garis panduan penggunaan padi Clearfield®. Penggunaan benih sah memberi impak yang signifikan dalam menjayakan teknologi ini kerana ia bebas daripada sisa padi angin dan mutu serta ketulenan varieti tersebut juga terjamin. Racun OnDuty® disyorkan pada kadar 150 g a.i/ha dan disembur 0 – 7 hari selepas tabur bagi mengawal percambahan dan pertumbuhan padi angin. Garis panduan penggunaan padi Clearfield® dikeluarkan bertujuan untuk memudahkan petani memahami dan mengadaptasi teknologi ini dengan mudah dan tepat. Malangnya, segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab tidak  mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh garis panduan tersebut.

Pakej-CL-2019---OurFoodOurFuture-web

Teknologi padi Clearfield® disarankan untuk ditanam di kawasan yang mempunyai infestasi padi angin yang tinggi, tetapi teknologi ini tidak boleh digunakan melebihi dua musim penanaman di satu-satu kawasan. Ini untuk mengelakkan tekanan selektif racun OnDuty® ke atas populasi padi angin di kawasan tersebut yang akan mengundang kepada kemunculan generasi rintang terhadap racun imidazolinone. Berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh saintis MARDI, terdapat segelintir petani yang menggunakan racun OnDuty® pada kadar yang rendah, menyembur melebihi 7 hari selepas tabur dan juga menggunakan racun imidazolinone yang tidak didaftar. Kesemua tindakan ini akan menyebabkan keberkesanan kawalan padi angin di dalam kawasan penanaman padi Clearfield terjejas, seterusnya menyebabkan padi angin yang berjaya tumbuh terkacuk dengan varieti Clearfield. Akibatnya, evolusi padi angin yang rintang terhadap racun imidazolinone wujud di kawasan tersebut.

Kini, populasi padi angin yang rintang terhadap racun imidazolinone telah pun wujud di beberapa kawasan jelapang dan luar jelapang. Ini sangat menyedihkan kerana pembangunan teknologi padi Clearfield® mengambil tempoh masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Konsep teknologi padi Clearfield® sebenarnya sangat mudah diamalkan dan diikuti oleh petani. Ia berpotensi untuk menyumbang ke arah peningkatan pengeluaran hasil padi negara. Namun begitu, kejayaan teknologi ini memerlukan disiplin, komitmen dan tanggungjawab yang tinggi daripada kesemua golongan yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung.


AGROMEDIA Khas PADI 2017

Leave a comment