Serangan Serangga Perosak Lebah Kelulut – BSF & Kumbang Pollen

Serangan Black Soldier Fly (BSF) Hermetia illucens yang dilaporkan serius dibeberapa negeri di utara semenanjung dan negeri lain seperti Pahang dan Johor telah mengakibatkan penternak lebah kelulut komersial dan kecil-kecilan semakin gusar. Ada beberapa fakta yang kebanyakan orang terlepas pandang berkenaan punca serangan oleh serangga perosak tersebut.

  1. BSF bukan faktor utama yang menyebabkan koloni collapse @ lumpuh
  2. Serangan perosak yang paling utama untuk dipantau setiap masa adalah kumbang pollen Haptoncus luteolus. Haptoncus luteolus mula-mula menyerang koloni setelah koloni lemah dan koloni kurang dikawal oleh lebah pekerja. BSF hanya perosak sekunder yang tertarik akibat bau busuk dihasilkan oleh serangan kumbang Haptoncus.
  3. Pengurusan dan pemantauan koloni adalah penting semasa koloni lemah seperti semasa makanan kurang, persekitaran dan cuaca ekstrem dan koloni baru dipindahkan

BSF dan kumbang Haptoncus sebelum ini kurang diberi perhatian kerana ia tidak merosakkan koloni walaupun sentiasa ada dipersekitaran koloni kelulut secara semulajadi. Cuaca ekstrim akibat kepanasan melampau (fenomena El-Nino) ditambah hujan lebat sekali-sekala pada jangkamasa melebihi 4 bulan mengakibatkan koloni yang sebelum ini menghasilkan madu dan kuat menjadi lemah dan tanpa disedari penternak koloni kelulut telah tiada akibat ratu berpindah ke tempat lain atau telah habis diserang BSF.

Bagaimana membendung serangan perosak kelulut? 

Pencegahan

  1. Lakukan sanitasi kawasan penternakan kelulut
  2. Pemantauan berkala terutama semasa cuaca ekstrem (terlalu panas/basah)
  3. Pastikan persekitaran kondusif. Contoh: Makanan yang mencukupi bagi koloni

Serangan Peringkat Awal

  1. Koloni yang baru diserang (peringkat awal) masih boleh diselamatkan
  2. Alihkan koloni ke kotak/kawasan baru dan asingkan daripada bahagian yang terjejas secepat mungkin

Serangan Peringkat Lewat

  1. Sekiranya serangan perosak telah terlalu parah; kaedah sewajarnya bagi membendung adalah dengan memusnahkan log/koloni yang telah diserang
  2. Perlu tindakan segera supaya tidak menjejaskan koloni disekitar memandangkan BSF dan kumbang Haptoncus boleh membiak dengan cepat.


Taklimat MARDI berkaitan pengurusan pengurusan koloni kelulut bagi membendung serangan serangga perosak.

Saintis dari Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran (BE) MARDI telah menjalankan beberapa sesi taklimat kepada penternak yang terjejas akibat BSF dengan menekankan pengurusan dan pemantauan koloni kelulut secara lebih kerap bagi mengesan serangan peringkat awal jika ada. Terbaru adalah sesi taklimat bersama penternak lebah kelulut di Kampung Perik, Kuala Nerang, Kedah yang terjejas lebih daripada separuh koloni mereka diserang serangga perosak.

1
Penternak Lebah Kelulut di Kg. Perik, Kuala Nerang bersama Pengarah MARDI Kedah, En. Rashidan Ariffin dan penceramah.

 

2
Tn. Hj. Hamdan Sipon dan En. Zulidzam mendengar permasalahan penternak disamping memberikan khidmat nasihat.
3
Taklimat disampaikan oleh Dr. Rosliza Jajuli, Timbalan pengarah program Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti MARDI
4
Tn. Hj. Hamdan menerangkan kepada peserta kursus berkaitan penjagaan koloni kelulut kepada peserta kursus di MARDI Kota Bharu
5
Peserta kursus di Kem Desa Pahlawan, Kota Bharu

Untuk maklumat lanjut mengenai kelulut dan serangan perosak, hubungi saintis MARDI seperti berikut :

Dr.Rosliza Jajuli (Ph.D)
Timbalan Pengarah/Ketua Program Penyelidikan
Program Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti (BE02)
Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran
Ibu Pejabat MARDI, Persiaran UPM-MARDI
43400 Serdang,
Selangor, MALAYSIA

Tel: +60389536302
Fax:+60389536319

Leave a comment