Intellectual Discourse : Memperkasa Usahawan Agromakanan Melalui Teknologi MARDI

e-Banner Intellectual Discourse anjung net (Hassan Said 650x300)
Semua dijemput hadir ke #IDMARDI ini! Muat turun brosur melalui pautan di gambar ini

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan sumber pertumbuhan ekonomi yang penting dan akan terus memainkan peranan utama dalam pembangunan ekonomi Malaysia seiring dengan langkah untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Pada tahun 2015, PKS telah menyumbang sebanyak 36.3% KDNK negara dengan jumlah nilai ditambah sebanyak RM385.6 bilion pada kadar peningkatan tahunan sebanyak 6.1%, memberi peluang perniagaan sebanyak 65% dan memberi nilai eksport sebanyak 18%. Ini jelas menunjukkan prestasi PKS di Malaysia semakin meningkat. Ia juga membuktikan bahawa PKS memainkan peranan penting sebagai enjin pertumbuhan masa hadapan negara.

Demi meningkatkan produktiviti dan mengekalkan daya saing, PKS tidak boleh ketinggalan dengan arus perubahan teknologi dan perlu giat melaksanakan aktiviti inovasi. MARDI memindahkan teknologi dan inovasi secara terus kepada PKS melalui Program Pembangunan Usahawan, Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan (PB) yang mempunyai tiga subprogram utama iaitu Khidmat Sokongan Usahawan, Khidmat Bimbingan Usahawan dan Projek Khas Pembangunan Usahawan. Golongan sasar program ini ialah usahawan Industri Asas Tani (IAT) dan pertanian yang bertaraf perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bersedia untuk menerima dan membangun dengan penggunaan teknologi MARDI.

Khidmat sokongan usahawan bertujuan untuk membantu usahawan mikro dan bakal usahawan berpotensi melalui aktiviti-aktiviti seperti khidmat nasihat, bengkel dan seminar kepada usahawan dan bakal usahawan, khidmat analisis produk, ceramah teknikal dan klinik usahawan. Sepanjang tahun 2016, seramai 4,359 orang telah menerima khidmat nasihat teknikal dan maklumat berkaitan teknologi makanan, tanaman, ternakan dan lain-lain melalui khidmat ‘one-off’. Daripada jumlah tersebut, 51% adalah bidang makanan, 16% bidang tanaman, 6% ternakan dan 27% bidang-bidang lain. Sebanyak 14 bengkel telah dilaksanakan sepanjang tahun 2016 yang melibatkan 658 peserta.

Pada tahun 2016 seramai 388 usahawan bimbingan berjaya dibantu dalam aspek teknikal dan perniagaan dengan 202 syarikat berjaya mencapai tahap PKS dan 186 syarikat masih di tahap mikro. Usahawan MARDI telah diberi bimbingan teknikal seperti teknologi pemprosesan, peningkatan kualiti, kawalan mutu, pembangunan produk baru, penjenamaan dan pembungkusan produk, pembangunan sistem pengeluaran, susun atur kilang, mekanisasi pengeluaran dan pembangunan dokumen untuk pensijilan MeSTI, HALAL, GMP dan HACCP.

Nilai jualan produk ushawan bimbingan MARDI bagi tahun 2016 telah mencapai RM425,320,201 bagi pasaran domestik dan RM152,702,276.00 bagi pasaran antarabangsa. Para usahawan perlu bijak mengambil peluang memasarkan produk mereka di pasaran agromakanan global yang terbuka luas terutama bagi pasaran produk halal yang mendapat kepercayaan yang tinggi terhadap halal Malaysia di kalangan pengguna antarabangsa.

Pada tahun 2016, geran pemadanan yang ditawarkan kepada usahawan MARDI ialah Geran Pemadanan High Impact Project(HIP) dan Geran Pemadanan Change Upgrade Product (CUP). Sebanyak tujuh syarikat usahawan telah diluluskan Geran HIP dengan jumlah geran sebanyak RM1,029,292.40 dan 13 syarikat usahawan telah diluluskan geran CUP dengan jumlah geran sebanyak RM571,111.43.

Aktiviti pembangunan usahawan juga dilaksanakan melalui program Agropreneur Muda. Bermula dari tahun 2014 – 2016, seramai 3,211 peserta telah mendaftar untuk menyertai program usahawan muda MARDI. Berbagai program telah dilaksanakan seperti showcase productbersama syarikat besar seperti Low Yat Group dan Sri Hartamas, Program Jelajah Agropreneur Muda dan terkini AGORA Agropreneur Muda. Mereka didedahkan dengan perniagaan, keusahawan dan teknologi berkaitan yang dibangunkan oleh MARDI.


Pejabat Pengarah,
Pusat Promosi dan Pembangunan Perniagaan MARDI.

Leave a comment