Di Malaysia, tanaman ubi keledek ditanam secara kecil-kecilan sebagai tanaman sampingan untuk pasaran segar.

Pengeluaran ubi keledek dalam skala kecil biasanya dihasilkan di luar bandar oleh petani-petani sederhana kerana tanaman ini hanya memerlukan input pertanian yang rendah.

Selain itu, tanaman ini juga mudah hidup walaupun dalam keadaan tanah yang rendah kesuburannya, rumpai yang tumbuh meliar dengan cepat dan mudah terdedah kepada relatif perosak, toleran kemarau dan juga lebihan toleran berbanding tanaman sayur-sayuran konvensional yang lain.

Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Tanaman dan Tanah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Nurul Afza Karim berkata, umumnya ubi keledek boleh didapati dalam pelbagai warna seperti kuning, oren dan ungu dan mempunyai khasiat.

“Ubi keledek berisi oren didapati mengandungi beta-kerotin, manakala isi ungu pula kaya dengan bahan antioksida dan antosianin yang dapat melindungi kerosakan DNA, membantu mengurangkan perkembangan sel kanser, menstabilkan penyakit kencing manis serta meningkatkan daya ingatan,” katanya ketika ditemui Mega Sains di Pejabat MARDI Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Jelasnya, ubi keledek yang dihasilkan adalah mengikut kesesuaian penggunaannya dalam industri makanan. Misalnya varieti Gendut didapati sesuai untuk makanan ringan sama ada rebus atau digoreng, manakala pucuknya dijadikan sebagai sayuran.

“Varieti Telong dan Jalomas pula didapati sesuai untuk dijadikan tepung, manakala varieti Vitato pula digunakan dalam pelbagai produk makanan dan minuman kerana kelebihan varieti ini kaya dengan karetenoids.

“Bagi ubi keledek ungu atau dikenali sebagai Kedudut, ia biasanya digunakan untuk membuat kerepek sebagai makanan ringan dan dijadikan sebagai bahan asas dalam pembuatan kuih tradisional.

“Namun begitu, penggunaan ubi keledek ungu dalam industri makanan adalah terhad kerana hasil yang diperoleh tidak memuaskan berbanding varieti ubi keledek lain,” jelasnya.

Pembaikbakaan ubi keledek di MARDI

Bagi meningkatkan jumlah hasil dan juga kualiti ubi keledek, MARDI telah menjalankan sistem pembaikbakaan menerusi kaedah konvensional.

Jelasnya, ubi keledek ditanam secara vegetatif iaitu menggunakan bahagian keratan batang atau pucuk.

Bagi ubi keledek, kaedah kacukan tidak dapat dipraktikkan kerana rumit dan mempunyai batasan.

“Ubi keledek juga mempunyai sistem ketidakserasian sendiri yang sangat kuat sehingga mengehadkan penggunaan sumber genetik dan amat sukar untuk dibiakkan melalui kaedah kacukan.

“Justeru, pembaikbakaan mutasi digunakan sebagai pendekatan utama dalam menambah baik varieti ubi keledek,’’ ujarnya.

Tambah Nurul Afza Karim, di negara ini, pembaikbakaan ubi keledek menerusi kaedah mutasi adalah julung kali dilaksanakan apabila MARDI bersama-sama Agensi Nuklear Malaysia telah mengambil inisiatif melalui pendekatan itu untuk menghasilkan varieti ubi keledek yang tinggi hasil, kualiti pemakanan dan toleran pada serangan penyakit serta perosak.

“Sebagai langkah pertama, ubi keledek berisi ungu dicadangkan perlu ditambah baik melalui pemulihan genetik untuk meningkatkan impaknya sebagai makanan keselamatan serta sumbangannya kepada masyarakat bagi menangani masalah kekurangan nutrien, di samping meningkatkan taraf hidup.

“Kajian ini dilaksanakan di Pusat Kecemerlangan Ubi-ubian, MARDI Bachok, Kelantan. Menerusi kajian ini, beberapa genotip ubi keledek ungu yang terhasil melalui induksi mutasi menggunakan radiasi sinar gamma dinilai ciri-ciri morfologi dan pertumbuhannya.

“Objektif utama kajian ini adalah untuk mengkaji pertumbuhan dan kepelbagaian daripada beberapa aksesi ubi keledek ungu yang terhasil daripada aruhan mutasi bagi mendapatkan ubi keledek yang tinggi hasil serta kandungan antosianin,” katanya.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, katanya, kajian tersebut masih pada peringkat permulaan dan memerlukan penelitian bagi memastikan pembangunan varieti ubi keledek baru memberikan tinggi hasil dan antosianin serta tolen penyakit tercapai.