Pemilik yang mengusahakan ladang dan produk tersebut menerusi syarikat Syed Agriculture Product & Services boleh berbangga melihat hasil titik peluhnya kini sudah mula dinikmati.

Empat dekad berkhidmat sebagai kakitangan kerajaan menjadikan beliau seorang yang positif dalam usaha yang dicapai. Sebab itu kejayaan yang mula diraih sebagai usahawan pertanian tidak begitu menghairankan bagi individu yang mempunyai sikap positif apa sahaja yang dilakukan.

Menghuraikan lebih lanjut mengenai usahawan ini, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd Rashid, mula berkhidmat dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 1975 lagi termasuk Stesen Agroteknologi Cameron Highlands tempat terakhir mengakhiri kariernya.

Namun, pengalaman berkhidmat di bahagian penyelidikan tanaman ternyata memberi satu kelebihan bagi beliau kerana ilmu yang dikutip digunakan sebaiknya selepas bersara.

Beliau juga boleh dianggap bertuah kerana pernah menjadi usahawan bimbingan di Pusat Bimbingan Pemprosesan atau Test Bed Stesen MARDI Cameron Highland satu ketika dulu.

Pemegang diploma pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) serta ijazah sains pertanian dan sarjana patologi tumbuhan, kedua-duanya dari Universiti Hawaii sebelum itu pernah memegang pelbagai jawatan ketika berkhidmat dengan MARDI iaitu Ketua Stesen Penyelidikan MARDI Cameron Highlands, penyelaras program penyelidikan Untuk Program Sayuran MARDI, serta Pengarah Eksekutif MARDI Tech Floricultur Sdn. Bhd. memanfaatkan sepenuhnya pendidikan dan pengalaman tersebut untuk maju sebagai usahawan.

Beliau terlibat dalam penyelidikan tanaman terutama sayuran suhu sederhana seperti salad, tomato dan buah epal, pear, markisa manakala pokok strawberi mula ditanam pada 1985 menggunakan sistem tanaman bertingkat.

Ketika ditemui di ladangnya Taman Sedia di Cameron Highlands baru-baru ini, beliau berkata, meskipun kos awal pembinaan kemudahan sistem penanaman bertingkat agak mahal kerana infrastuktur yang melibatkan sistem fertigasi, pulangannya juga agak lumayan.

Sebelum strawberi menjadi popular, tanaman limau juga mendatangkan pulangan yang baik, tetapi penanam terpaksa melupakannya ekoran ancaman penyakit yang tidak dapat dibendung.

Kaedah penanaman bertingkat sistem fertigasi lebih mendatangkan keuntungan kerana kepadatan pokok boleh ditingkatkan daripada hanya tiga pokok satu persegi menggunakan kaedah tradisional kepada 15 pokok.

Kaedah tersebut satu set sistem fertigasi menggunakan paip utama dan paip kapilari, bekas tanaman dan habuk kelapa (coco peat) sebagai media tanaman dan struktur pelindung hujan (SPH).

Strawberi atau nama saintifiknya Fragaria ananassa sangat sinonim dengan Cameron Highlands dan terdapat pelbagai spesies yang ditanam di pusat peranginan tanah tinggi tersebut.

Antara yang popular adalah hibrid Camarosa yang sesuai dimakan segar, buah yang tahan lama, bersaiz besar dan manis serta Camaroga yang digunakan untuk industri hiliran atau pemprosesan.

Syed Abdul Rahman berkata, beliau kini mengusahakan ladang seluas kira-kira tiga hektar di beberapa lokasi sekitar Cameron Higlands.

Projek pertama beliau bermula di Kampung Taman Sedia seluas dua ekar , Kuala Terla seluas satu ekar Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands (dua setengah ekar) dengan kemampuan pengeluaran satu tan buah segar sebulan manakala kilangnya beroperasi di Taman Sedia, tidak jauh dari pekan Tanah Rata .

Kilang tersebut mengeluarkan beberapa produk hiliran berasaskan strawberi iaitu kordial, jem halwa, toping ais kisar, krim dan ais krim.

Beliau yang dibantu 20 pekerja di kilang dan kawasan ladang, berkata, kos penanaman atau pembukaan ladang strawberi memang agak mahal iaitu melibatkan RM800,000 sehektar. Kos tersebut meliputi SPH sehingga RM200,000 dan anak pokok atau sulur sehingga RM100,000 manakala bakinya untuk sistem fertigasi. Buah strawberi boleh dituai selepas tiga hingga empat bulan penanaman manakala pengusaha boleh memperoleh semula modal selepas dua setengah tahun beroperasi.

“Jika melabur RM1 kita boleh memperoleh keuntungan RM1,50,’’ ujarnya yang juga Presiden Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highands yang mempunyai 200 ahli.

Taman Agro Al-Mashoor juga berfungsi sebagai pusat maklumat bagi tanaman strawberi, tanaman hiasan, kaktus dan orkid beriklim temperat. Taman ini juga mengamalkan sistem tanaman berteknologi tinggi dengan menggunakan sistem fertigasi dan cara pengendalian tanaman yang mesra alam dan manpan.

Taman Agro Al-Mashoor juga berfungsi sebagai pusat latihan bagi penuntut sekolah mahupun pelajar dari institusi pengajian tinggi. Mereka datang untuk menjalankan latihan amali dan mendapat pengalaman secara praktikal atau hands-on dalam pengendalian tanaman pelbagai jenis di satu-satu kawasan.

Kini syarikat tersebut mengembangkan perniagaannya kepada pelbagai cabang perniagaan iaitu kafeteria, pembekal dan juga penginapan untuk pelancong.

Dalam pada itu, industri pengeluaran strawberi di pusat peranginan tanah tinggi Cameron Highlands terus menampakkan sinar apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Jabatan Pertanian bakal membuka kawasan tanaman berpusat yang dikenali sebagai Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi melahirkan lebih ramai usahawan tani.

Sebagaimana diketahui, pusat peranginan tersebut terkenal dengan ladang teh, bunga bungaan, buahan-buahan dan limau . Justeru cadangan penubuhan TKPM tersebut akan menumpukan kepada tanaman bernilai tinggi dan mampu menarik kedatangan pelancong ke kawasan tersebut.

Menurut Datuk Syed Abd. Rahman, dua kawasan telah dikenal pasti untuk tujuan tersebut dengan kawasan keseluruhan melibatkan 50 hektar dengan 70 peserta iaitu Blue Valley dan Kampung Raja dengan fokus kepada aktiviti pertanian teknologi hijau.

Sejajar dengan matlamat tersebut, TKPM tersebut akan memberi fokus kepada agropelancongan, memproses sayur-sayuran, aktiviti pembungkusan pengkomposan, manakala penggunaan plastik akan menggunakan konsep kitar semula.

Kerja kerja pembinaan infrastruktur asas seperti bekalan air dan jalan masuk sedang dilaksanakan.

Gambar Faisol Mustafa. Sumber – Utusan Malaysia