MARDI Sambut Ulang Tahun Jubli Emas

Picture1.png

SERDANG, 31 Oktober 2019 – MARDI melakar sejarah yang baru apabila berjaya menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-50 pada tahun ini. Tempoh yang begitu lama ini telah membuktikan ketekunan MARDI dalam membangunkan sektor pertanian di Malaysia selain membantu mencorakkan persekitaran sektor pertanian negara daripada bersifat konvensional kepada yang lebih dinamik dan progresif.

MARDI ditubuhkan dengan mandat menjana dan memindahkan teknologi bagi membangunkan sektor pertanian. Peranan MARDI turut diperkasa dari semasa ke semasa bagi memacu sektor pertanian supaya berkembang dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

Setelah 50 tahun, MARDI telah banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara melalui pendekatan inovasi dan teknologi. Banyak teknologi telah dibangunkan meliputi penghasilan varieti baru tanaman, teknologi mekanisasi dan automasi yang boleh meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan pengilangan, teknologi yang boleh mengekang dan mengawal serangan penyakit dan perosak tanaman, teknologi yang berupaya meningkatkan produktiviti pengeluaran dan teknologi yang boleh meningkatkan daya saing produk pertanian di pasaran dalam dan luar negara. MARDI juga telah banyak menyumbang kepakaran dan pengetahuan yang menyokong kerajaan menyediakan dasar dan hala tuju sektor pertanian negara.

“Sektor pertanian di peringkat global dan negara telah mengalami beberapa perubahan yang mencetuskan isu dan cabaran baru. Sektor ini terpaksa menghadapi antaranya perdagangan yang lebih terbuka lantas persaingan yang lebih sengit, perubahan cita rasa dan gelagat pengguna, keperihatinan terhadap keselamatan dan kualiti makanan, keperihatinan tentang alam sekitar, kemajuan bioteknologi, perubahan struktur pasaran dan perubahan dalam paradigma perniagaan dengan kemunculan teknologi maklumat dan komunikasi. Peningkatan dalam produktiviti bukan hanya bergantung pada input pertanian seperti buruh, modal dan tanah, tetapi juga pengetahuan dan inovasi yang dapat menerajui pertumbuhan, menghasilkan nilai tambah dan menyediakan asas untuk melonjakkan daya saing,” ujar YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub.

Dalam mendepani isu-isu ini, MARDI sentiasa berusaha secara berterusan dalam membangunkan teknologi-teknologi baharu yang menjadi peneraju perubahan atau game changer kepada industri. Sehingga hari ini, MARDI telah berjaya membangunkan lebih 1000 inovasi dan teknologi pertanian dan industri asas tani. Sebahagian besar inovasi dan teknologi ini masih digunapakai dan menjadi produk pengguna dan produk eksport negara.

Pada majlis yang sama, YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub sempat menyempurnakan pelancaran Buku 50 Tahun Menabur Bakti dan Corporate Strategic Plan (CSP) MARDI untuk tahun 2021-2030. Selain itu, turut diadakan pertukaran empat (4) Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MARDI dan National Agricultural Research & Innovation Center (NAIK) Hungary, Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA) Filipina, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) dan juga International Tropical Fruits Network (TFNet).

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Turut hadir, YBhg. Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI); dan Ketua-ketua Agensi serta Jabatan.


Program Perhubungan Awam, MARDI.

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s