Padi hibrid pertama negara

Padi hibrid pertama negara

KOTA BHARU: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) melakar sejarah dengan menghasilkan varieti padi hibrid pertama MR 12H, yang antara lain mampu meningkatkan pengeluaran padi sehingga 20 peratus setiap hektar.

Pembangunan varieti padi hibrid yang dimulakan MARDI sejak 2007, membabitkan ribuan induk mandul jantan dan induk penyenggara tempatan, sehinggalah menghasilkan varieti MR 12H iaitu hasil kacukan 0025A dan 004R.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, berkata kelebihan varieti padi berkenaan ialah matang lebih awal, iaitu sekitar 104 hingga 106 hari selepas ditabur dan tahan atau rintang terhadap penyakit karah.

Selain itu, katanya, padi berkenaan sesuai ditanam di kawasan sederhana subur, meningkatkan pendapatan petani, dihasilkan melalui pembaikbakaan hibrid sistem tiga titisan dan berpotensi mencapai hasil 12.2 tan per hektar.

“Beras daripada padi berkenaan kategori panjang dan tirus sesuai untuk pasaran tempatan. Tekstur nasi seroi selepas dimasak dan pembangunannya mengambil masa selama 21 musim.

“Teknologi penanaman padi hibrid baharu ini berlainan daripada padi biasa. Antaranya petani tidak boleh menggunakan benih sedia ada, perlu membeli benih hanya 40 kilogram (kg) bagi satu hektar yang memerlukan petani menggunakan kaedah mencedung menggunakan mesin jentanam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Hibrid di Ladang Merdeka Mulong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Mohamad Roff Mohd Noor.

Padi hibrid pertama negara 2
Mohd Sallehhuddin (dua dari kiri) melihat padi hibrid MR 12H ketika melawat pameran MARDI selepas Majlis Pelancaran Varieti Padi Hibrid Pertama di Malaysia, di Ladang Merdeka Mulong, Kota Bharu. – NSTP/Syamsi Suhaimi

Mohd Sallehhuddin berkata, penanaman padi hibrid MR 12H dapat membantu meningkatkan hasil tuaian dan pendapatan, terutamanya di kawasan sederhana subur.

Katanya, benih padi berkenaan akan diberikan kepada petani pada musim kedua penanaman padi tahun hadapan.

“Bagi projek perintis, tanaman padi ituditanam di kawasan seluas 10 hektar iaitu di Mulong dan Teratak Pulai bagi urusan penyediaan benih.

“Kementerian sedaya upaya memastikan industri padi dalam negara terus berkembang maju, selain memastikan bekalan makanan ruji sentiasa mencukupi.

“Kini, tahap sara diri atau SSL beras negara masih lagi berada pada paras 72 peratus dan pihak kementerian menyasarkan 75 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang,” katanya.


Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s