KUALA KANGSAR, 9 Dis – Usaha Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mewujudkan Duriotourism di Kuala Kangsar diyakini akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa, berkunjung ke Perak dan Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Bakar berkata ini memandangkan ia merupakan pusat pelancongan berasaskan durian yang pertama seumpamanya di negara ini.
Kawasan ini seluas 40 hektar, dan 22 hektar daripadanya ditanam dengan pelbagai jenis durian hasil kajian MARDI. Selain itu, terdapat juga muzium durian dibuka untuk orang ramai, katanya ketika berucap merasmikan pusat Duriotourism di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta MARDI, Azman Mohd Saad.
Ismail menyarankan orang ramai mengambil peluang sempena musim cuti sekolah untuk melawat pusat ini, bagi menikmati durian serta menimba ilmu tentang raja buah itu.
Sementara itu, Azman berkata dengan bayaran hanya RM50 seorang, pengunjung boleh menikmati durian D99, MDUR78, MDUR79, MDUR88 selain D24 dan Musang King boleh dinikmati sepuas-puasnya. Pengunjung juga boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti Duriotour iaitu melawat kawasan sekitar serta mendengar penerangan mengenai penanaman durian.
Katanya selain itu, pengunjung turut berpeluang merasai pelbagai jenis buah-buahan tempatan seperti rambutan, manggis hibrid dan limau bali. “Dibuka mulai 9 pagi hingga 6 petang, Duriotourism boleh menerima hingga 150 pengunjung sehari sama ada melalui tempahan atau datang terus,” katanya.
Sejak dibuka pada bulan lalu, hingga kini pusat tersebut telah menarik hampir 2,500 pengunjung. Hubungi MARDI Kuala Kangsar di talian 05-773 3030 untuk maklumat lanjut.