PPK Kemaman Tanam Cendawan Susu Harimau Rawat Barah

PERTUBUHAN Peladang Kawasan PPK Kemaman akan mengusahakan penanaman dan pengeluaran cendawan susu harimau untuk tujuan perubatan tahun ini. Pengerusi Projek Cendawan PPK Syed Yasin Tuan Pandak berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia MARDI untuk merealisasikan projek berkenaan. Cendawan susu harimau ini di katakan boleh dijadikan ubat untuk penyakit barah katanya kepada BERNAMA.

Syed Yasin berkata pihaknya sudah menyediakan tapak dan jika semuanya berjalan lancar penanaman cendawan itu mungkin dilaksanakan akhir tahun ini. Beliau menegaskan PPK Kemaman adalah PPK pertama di Terengganu yang akan mengusahakan penanaman dan pengeluaran cendawan itu di negeri ini setakat ini. Katanya benih cendawan susu harimau itu akan diperoleh dari MARDI. Syed Yasin berkata cendawan susu harimau atau lebih dikenali kulat harimau lain daripada cendawan biasa kerana ia berisi seperti ubi dalam pelbagai bentuk. Cendawan ini sukar diperoleh kerana biasanya ia hanya tumbuh di kawasan hutan yang ada harimau katanya.
Beliau berkata cendawan itujuga amat unik kerana mengeluarkan cahaya seperti mata harimau apa bila terkena suluhan lampu pada waktu malam. Syed Yasin berkata harga cendawan itu dianggarkan mencecah RM50 sebiji dan buat masa ini ia boleh didapati dari Orang Asli di sekitar lebuh raya Jerangan Jabor. Beliau berkata pihaknya akan menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat untuk membeli cendawan itu nanti. Cendawan ini biasanya mengeluarkan hasil selepas tiga bulan di tanam katanya – BERNAMA

Lawatan Turun Padang Datuk KP, ke Stesen MARDI Bukit Tangga

Y. Bhg. Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman, Ketua Pengarah MARDI, telah mengadakan lawatan turun padang ke Stesen MARDI Bukit Tangga pada 3 Februari 2012 (Jumaat) yang lepas. En. Khadzir Darus, Pengurus Stesen MARDI Bukit Tangga dan sembilan orang Pegawai Penyelidik Pusat Penyelidikan Hortikultur (HR) serta staf-staf Pengurusan Stesen amat berbesar hati menyambut ketibaan Y. Bhg. Datuk KP ke Stesen MARDI Bukit Tangga walaupun hari Jumaat merupakan hari cuti rehat bagi negeri Kedah. Lawatan turun padang Y. Bhg. Datuk KP dimulakan dengan aktiviti lawatan ke Inkubator untuk bertemu dengan empat orang usahawan yang mana salah satu daripada mereka juga merupakan pra-inkubati MARDI. Mereka adalah En. Che Arshad Che Ibrahim dari syarikat Agro Edar Enterprise (pra-inkubati), En. Suhaimi Ahmad dan En. Azhar Ahmad dari syarikat Qurba Manufacturing Sdn. Bhd. serta En. Ismanizan Ismail dari syarikat Zuza Food Manufacturing Sdn. Bhd. Taklimat ringkas telah disampaikan oleh Tn. Hj. Mustaffer Abdullah mewakili Ketua Unit Pembangunan Perniagaan.

Lawatan Y. Bhg. Datuk KP diteruskan dengan aktiviti lawatan ke plot-plot penyelidikan di Stesen MARDI Bukit Tangga. Pegawai Penyelidik Kanan Pusat HR, Cik Hartinee Abbas telah memberi taklimat ringkas berkenaan penyelidikan formulasi baja nenas, GROWPINE, semasa Y. Bhg. Datuk KP singgah untuk meninjau plot penyelidikan nenas. Para pegawai penyelidik Pusat HR merasa bertuah kerana Y. Bhg. Datuk KP sudi meluangkan masa untuk mengadakan sesi perbincangan sejurus selepas aktiviti lawatan ladang. Sebelum sesi perbicangan dimulakan, pihak Pengurusan Stesen MARDI Bukit Tangga telah menyediakan hidangan buah-buahan segar (cempedak, belimbing dan rambutan) sebagai kudapan untuk Y. Bhg. Datuk KP. Sesi perbincangan bersama Y. Bhg. Datuk KP berjalan dengan lancar. Pelbagai isu dan permasalahan telah diutarakan kepada Y. Bhg. Datuk KP dan beliau telah memberi respon yang amat memberangsangkan dan membina. Pelbagai cadangan dan pandangan yang telah diberikan oleh Y. Bhg. Datuk KP diumpamakan sebagai kata-kata semangat kepada kami untuk terus berkhidmat dengan cemerlang dan berdaya maju.

Revolusi Padi Hibrid

PERTAMBAHAN penduduk dunia menjangkau tujuh bilion memerlukan tambahan bekalan makanan berkali ganda.

Kajian demi kajian dijalankan terutama oleh para saintis terkenal China – negara yang mempunyai rakyat paling ramai di dunia – bagi meningkatkan pengeluaran makanan terutama yang membabitkan padi hibrid sejak 1960-an.

Hibrid bermaksud benih padi yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada beberapa jenis benih terbaik yang berlainan bagi menghasilkan produk baru lebih berkualiti.

Secara teknikal, ia membabitkan pemindahan debunga daripada satu induk pokok padi kepada satu lagi induk yang dimandulkan bagi menghasilkan jenis padi baru. Melalui kaedah hibrid, penghasilan padi dapat ditingkatkan sehingga 30 peratus berbanding padi biasa atau dikenali dengan istilah inbred. Dari segi benih, kaedah biasa tabur terus menggunakan 80 hingga 200 kilogram biji benih sehektar. Manakala padi hibrid hanya memerlukan 20 hingga 25 kilogram biji benih untuk keluasan yang sama.

Melihat kepada faktor produktiviti, padi hibrid mampu mengeluarkan sehingga 15 tangkai bagi satu perdu dengan biji padi melebihi 200 biji. Berbanding padi biasa bagi satu perdu hanya mengeluarkan kira-kira tujuh tangkai dengan purata 100 biji. Hasil padi hibrid juga tinggi iaitu bagi sehektar ia mampu mengeluarkan sehingga tujuh tan berbanding antara empat dan lima tan bagi padi biasa. Di negara ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menjalankan kajian berterusan bagi menghasilkan benih padi yang bermutu.

Pegawai Prinsipal, Pusat Penyelidikan dan Tanaman Industri MARDI, Datuk Dr. Osman Omar merupakan antara penyelidik yang menjalankan kajian mengenai padi hibrid. Katanya, keperluan untuk mewujudkan ladang benih padi hibrid adalah bagi memenuhi bekalan padi hibrid yang bakal digunakan oleh para petani di masa akan datang. “Usaha mewujudkan ladang benih padi hibrid berskala besar merupakan langkah awal untuk pemindahan teknologi penghasilan benih padi hibrid kepada kakitangan pengurusan ladang benih padi ini yang bakal terlibat.

“Peranan dan penglibatan daripada agensi lain juga amat penting sebagai pengedar-pengedar sah yang telah diberi peranan oleh pihak kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor, baru-baru ini. Bagaimanapun menurut Dr. Osman, walaupun padi hibrid mempunyai banyak kelebihan, tetapi penghasilannya amat rumit. “Ia memerlukan banyak tenaga manual, kualiti mungkin terjejas, industri benih tidak cekap dan kurang berkualiti, kos benih yang tinggi sehingga lapan hingga 10 kali ganda berbanding inbred. “Tambahan pula petani di sini menggunakan kaedah tabur terus dengan kadar biji benih yang tinggi,” katanya.

Namun, kajian tetap dijalankan bagi membantu sasaran sara diri padi ke arah menyediakan bekalan makanan yang mencukupi bagi negara. Ia juga kata Dr. Osman merupakan program integrasi pertanian bagi meningkatkan produktiviti padi melalui varieti padi hibrid. Selain itu ia juga bagi meningkatkan pendapatan petani dengan pertambahan produktiviti yang secara langsung menggalakkan penanaman padi. Ini akan menyeimbangkan perdagangan dan meningkatkan pertukaran wang asing dalam pengimportan beras. “Di China kejayaan padi hibrid ditanam banyak dikaitkan dengan sokongan kerajaan selain kumpulan penyelidikan kukuh, sistem pengeluaran biji benih serta sistem penyampaian yang canggih,” katanya.

Keperluan mengamalkan teknologi padi hibrid kerana varieti yang mengeluarkan hasil tinggi, rintang terhadap penyakit dan berkualiti. Pakej agronomi perlu diubah dengan penggunaan benih yang minimum 20 hingga 30 kilogram sehektar selain penggunaan baja paling optimum. Bagi jangka masa pendek, negara menggunakan hibrid import, sederhana dengan 50 peratus import dan tempatan manakala jangka masa panjang dengan 100 peratus tempatan.

Kelebihan padi hibrid

  • Potensi hasil tinggi antara 15 hingga 20 peratus melebihi varieti inbred.
  • Tangkai lebih banyak dan besar.
  • Lebih toleransi kepada stres seperti masalah tanah dan kekurangan air kerana sistem akar yang lebih baik.
  • Benih digunakan hanya sekali (baik untuk syarikat benih). Jika benih diguna semula, populasi tanaman tidak sekata kerana segregasi berlaku.

Sumber : Utusan Malaysia

Lawatan TKP ke Projek Padi

Lawatan kerja Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan), YH Dato’ Dr. Sharif Haron bersama dengan Pengarah – Pengarah Pusat Penyelidikan telah dijalankan pada 18 Januari 2012 ke
Plot – Plot Projek Pusat Penyelidikan Padi & Tanaman Industri (RI) dan Pusat Penyelidikan Mekanisasi & Automasi (MA) di kawasan Negeri Kedah.

Lawatan ini turut disertai oleh pegawai – pegawai MARDI Seberang Perai, Alor Setar dan Ibu Pejabat serta pegawai-pegawai MADA dan juga pegawai dari Syarikat BASF (Clearfield). Lawatan YH Dato’ TKP merangkumi beberapa projek NKEA MADA bersama RI iaitu Ladang Pengeluaran Benih MR 263, Projek Tanaman Padi Clearfield, MR 220 CL1 dan MR 220 CL2, Plot Percubaan Padi Hibrid di Pusat Latihan MADA Alor Serdang dan Projek TechnoFund MOSTI , Pusat MA di Kg. Setia Jaya, Yan.

Dengan Lawatan YH Dato’ TKP bersama dengan pengarah – pengarah pusat lain ke Negeri Kedah ini, menunjukkan betapa kesungguhan MARDI dalam usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran padi.