Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

PERTAMBAHAN penduduk dunia menjangkau tujuh bilion memerlukan tambahan bekalan makanan berkali ganda.

Kajian demi kajian dijalankan terutama oleh para saintis terkenal China – negara yang mempunyai rakyat paling ramai di dunia – bagi meningkatkan pengeluaran makanan terutama yang membabitkan padi hibrid sejak 1960-an.

Hibrid bermaksud benih padi yang dihasilkan melalui kaedah bioteknologi percantuman dan kacukan daripada beberapa jenis benih terbaik yang berlainan bagi menghasilkan produk baru lebih berkualiti.

Secara teknikal, ia membabitkan pemindahan debunga daripada satu induk pokok padi kepada satu lagi induk yang dimandulkan bagi menghasilkan jenis padi baru. Melalui kaedah hibrid, penghasilan padi dapat ditingkatkan sehingga 30 peratus berbanding padi biasa atau dikenali dengan istilah inbred. Dari segi benih, kaedah biasa tabur terus menggunakan 80 hingga 200 kilogram biji benih sehektar. Manakala padi hibrid hanya memerlukan 20 hingga 25 kilogram biji benih untuk keluasan yang sama.

Melihat kepada faktor produktiviti, padi hibrid mampu mengeluarkan sehingga 15 tangkai bagi satu perdu dengan biji padi melebihi 200 biji. Berbanding padi biasa bagi satu perdu hanya mengeluarkan kira-kira tujuh tangkai dengan purata 100 biji. Hasil padi hibrid juga tinggi iaitu bagi sehektar ia mampu mengeluarkan sehingga tujuh tan berbanding antara empat dan lima tan bagi padi biasa. Di negara ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) turut menjalankan kajian berterusan bagi menghasilkan benih padi yang bermutu.

Pegawai Prinsipal, Pusat Penyelidikan dan Tanaman Industri MARDI, Datuk Dr. Osman Omar merupakan antara penyelidik yang menjalankan kajian mengenai padi hibrid. Katanya, keperluan untuk mewujudkan ladang benih padi hibrid adalah bagi memenuhi bekalan padi hibrid yang bakal digunakan oleh para petani di masa akan datang. “Usaha mewujudkan ladang benih padi hibrid berskala besar merupakan langkah awal untuk pemindahan teknologi penghasilan benih padi hibrid kepada kakitangan pengurusan ladang benih padi ini yang bakal terlibat.

“Peranan dan penglibatan daripada agensi lain juga amat penting sebagai pengedar-pengedar sah yang telah diberi peranan oleh pihak kerajaan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor, baru-baru ini. Bagaimanapun menurut Dr. Osman, walaupun padi hibrid mempunyai banyak kelebihan, tetapi penghasilannya amat rumit. “Ia memerlukan banyak tenaga manual, kualiti mungkin terjejas, industri benih tidak cekap dan kurang berkualiti, kos benih yang tinggi sehingga lapan hingga 10 kali ganda berbanding inbred. “Tambahan pula petani di sini menggunakan kaedah tabur terus dengan kadar biji benih yang tinggi,” katanya.

Namun, kajian tetap dijalankan bagi membantu sasaran sara diri padi ke arah menyediakan bekalan makanan yang mencukupi bagi negara. Ia juga kata Dr. Osman merupakan program integrasi pertanian bagi meningkatkan produktiviti padi melalui varieti padi hibrid. Selain itu ia juga bagi meningkatkan pendapatan petani dengan pertambahan produktiviti yang secara langsung menggalakkan penanaman padi. Ini akan menyeimbangkan perdagangan dan meningkatkan pertukaran wang asing dalam pengimportan beras. “Di China kejayaan padi hibrid ditanam banyak dikaitkan dengan sokongan kerajaan selain kumpulan penyelidikan kukuh, sistem pengeluaran biji benih serta sistem penyampaian yang canggih,” katanya.

Keperluan mengamalkan teknologi padi hibrid kerana varieti yang mengeluarkan hasil tinggi, rintang terhadap penyakit dan berkualiti. Pakej agronomi perlu diubah dengan penggunaan benih yang minimum 20 hingga 30 kilogram sehektar selain penggunaan baja paling optimum. Bagi jangka masa pendek, negara menggunakan hibrid import, sederhana dengan 50 peratus import dan tempatan manakala jangka masa panjang dengan 100 peratus tempatan.

Kelebihan padi hibrid

  • Potensi hasil tinggi antara 15 hingga 20 peratus melebihi varieti inbred.
  • Tangkai lebih banyak dan besar.
  • Lebih toleransi kepada stres seperti masalah tanah dan kekurangan air kerana sistem akar yang lebih baik.
  • Benih digunakan hanya sekali (baik untuk syarikat benih). Jika benih diguna semula, populasi tanaman tidak sekata kerana segregasi berlaku.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: