Oleh Sakini Mohd Said
CAMERON HIGHLANDS – Menunya mudah, hanya minuman teh yang dihidang bersama skon (makanan ala-ala kek dan roti diperbuat daripada susu dan tepung gandum yang dijadikan menu petang ala Inggeris) bersalut jem strawberi, namun sudah cukup membangkitkan selera.
Ditambah pula, dengan keharuman aroma teh hasil daripada benih berkualiti tinggi yang sememangnya menjanjikan kelainan rasa dan keunikan tersendiri khususnya bagi peminat minuman itu. Selain rasa yang menyegarkan, menikmati teh di puncak pusat pelancongan tanah tinggi yang terletak di Pahang ini sambil dikelilingi pemandangan hijau dan keindahan flora, sudah pasti memberi kedamaian kepada sesiapa sahaja. Apatah lagi, iklimnya yang dingin dengan suhu nyaman sepanjang tahun antara 14 hingga 24 darjah celcius berdasarkan kepada kedudukannya yang berada 1,400 dari paras laut.
Maka, tidak menghairankanlah apabila ramai mengakui kenikmatan teh di tanah tinggi ini bukan sahaja luar biasa rasanya dan memberi pengalaman berbeza. Malah, begitu berperisa dan ini yang dirasai oleh sekumpulan media yang membuat liputan di Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) baru-baru ini.