Kertas Kerja Mengenai Insurans Pertanian Dalam Proses Penambahbaikan – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) — Kerajaan kini dalam perancangan untuk memperkenalkan skim insurans pertanian untuk petani bagi tujuan melindungi mereka daripada menanggung kerugian besar sekiranya berlaku kerosakan tanaman akibat bencana alam seperti kemarau dan banjir.

Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata beliau telah pun mengemukakan kertas cadangan tersebut di mesyuarat Kabinet pada minggu lepas.

“Bagaimanapun, ia dikembalikan kerana Kabinet mahu kementerian mengkaji lebih mendalam lagi mengenainya. Kita diberi jangka masa dua minggu untuk membentangkan semula cadangan itu kepada Kabinet,” katanya kepada pemberita di Simposium Lepas Tuai Antarabangsa ke-7.

Simposium dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini pada Isnin.

Noh berkata untuk peringkat awal, skim itu mungkin akan diperkenalkan kepada penanam padi kerana untuk empat tahun kebelakangan ini kerajaan telah memberikan wang ehsan sebanyak RM103 juta kepada golongan tersebut yang telah menanggung kerugian akibat kemusnahan tanaman mereka.

 

— BERNAMA

Advertisements