Majlis Perasmian CoE Ternakan MARDI Kluang dan Pelancaran Baka Baharu Kambing MARDI

71569715495_TBmenteri

KLUANG, 28 September 2019 – MARDI melakar sejarah yang baru apabila berjaya membangunkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan di MARDI Kluang serta melancarkan baka baharu kambing kacukan antara Katjang x Boer di Majlis yang berlangsung pada hari ini. Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA).

Penyelidikan ternakan telah diberi penekanan di MARDI Kluang sejak penubuhannya. Dengan kelengkapan penyelidikan yang telah ditambah baik dari semasa ke semasa ini, MARDI Kluang secara rasmi telah dinaik taraf statusnya kepada Pusat Kecemerlangan dan Inovasi (COE) Ternakan. Transformasi ini penting untuk memastikan penyelidikan dan pemindahan teknologi yang dijalankan lebih strategik, lebih holistik dan menepati kehendak industri masa kini yang berbeza dari kehendak industri hampir 50 tahun yang lalu.

Industri ternakan adalah satu industri yang amat penting untuk negara kita, bukan sahaja sebagai sumber protein untuk keperluan nutrien kita semua, malah ia juga merupakan sumber pendapatan kepada golongan penternak yang berada di seluruh Malaysia. Walaubagaimanapun, industri ternakan di negara kita masih lagi menghadapi pelbagai cabaran terutamanya dalam sektor ternakan ruminan di mana peningkatan populasi sektor ternakan ini dan kadar sara diri sejak 30 tahun lalu tidak banyak berubah. Pada tahun 2017 sahaja, kita mengimport hampir 50,000 ekor lembu dan 49,000 kambing serta biri-biri di mana kos CIF (Cost, Insurance & Freight) atau kos barangan dan penghantaran ternakan ini ke Malaysia bernilai RM156 billion. Imbangan dagangan bagi ternakan dan hasilan ternakan pada tahun 2017 adalah sebanyak 4.7 billion ringgit.

“Salah satu pendekatan yang amat diperlukan untuk menjadikan industri ternakan ini lebih kompetitif dan berdaya saing adalah dengan penghasilan aplikasi teknologi, inovasi yang ‘disruptive’ dan menjadi ‘game-changer’ untuk kepentingan industri disamping membela nasib para penternak kita. Oleh itu saya sangat mengalu-alukan peranan Stesen MARDI Kluang yang pada hari ini akan dirasmikan sebagai Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Ternakan MARDI Kluang untuk menjadi pemangkin dalam memajukan industri ternakan di negara ini.,” ujar YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub.

Menyedari keperluan itu, satu baka baharu kambing MARDI telah berjaya dihasilkan oleh penyelidik MARDI di sini. Baka yang menggabungkan kekuatan ketahanan serta prestasi baik dari segi pembiakan baka kambing Katjang tempatan dan saiz kambing Boer yang lebih besar ini akan dapat memenuhi kehendak pasaran dan seterusnya memberi pendapatan yang lumayan bagi para penternak. Kambing ini juga mempunyai beberapa kelebihan lain termasuk kadar pertumbuhan dan kebuntingan yang tinggi sehingga 93%, kurang bau hamis, umur sesuai dibiakkan adalah lebih awal, berdaya tahan terhadap penyakit dan parasit, peratusan daging potong setanding kambing Boer iaitu 52.4%, binaan badan lebih berotot dan kurang lemak

Pelancaran baka ini adalah bukti komitmen MARDI dalam memberi hasil yang terbaik bagi membangunkan sektor pertanian dan industri asas tani negara khususnya dalam bidang ternakan. Penggunaan baka tempatan yang merupakan biodiversiti berharga negara juga merupakan tindakan yang tepat untuk memastikan bekalan makanan kita di masa hadapan terus terjamin.

Majlis disempurnakan oleh YB Dato’ Haji Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA). Turut hadir, YB Tuan Haji Tosrin Bin Jarvanthi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Johor; YBhg. Dato’ Salahuddin Bin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI, dan YBhg. Dato’ Dr. Quaza Nizamuddin Bin Hassan Nizam, Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar.


Program Perhubungan Awam, MARDI

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s