LANGKAWI, 21 April 2019 – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) melalui MARDI pada hari ini dengan jayanya telah mengadakan Program Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Negeri Kedah yang telah dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Mohd Sallehhuddin Bin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Program Hari Bertemu Pelanggan ini merupakan edisi ketiga yang dianjurkan di bawah inisiatif kementerian dan dengan julung kalinya, Taman Agroteknologi MARDI Langkawi telah dipilih untuk menjadi tuan rumah. Dalam pada itu, sebanyak 11 Jabatan dan Agensi di bawah kementerian bersama-sama dengan 20 Usahawan Agropreneur Muda dan Program Kerjasama Strategik telah menyertai acara ini dengan jayanya.
“Sukacita juga saya mengingkatkan bahawa Program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyuarakan sebarang aduan, ianya turut menjadi pemangkin untuk kumpulan sasar dan warga tani menyuarakan sebarang cadangan bagi meningkatkan kualiti dan proses perkhidmatan warga MOA seterusnya meningkatkan lagi produktiviti”, ujar Dato’ Mohd Sallehhuddin Hassan.
Melalui program ini, masyarakat setempat berpeluang untuk berjumpa secara terus dengan wakil-wakil Jabatan dan Agensi dalam mengemukakan dan mencari jalan penyelesaian kepada masalah perkhidmatan yang dihadapi. Sesi perbincangan yang diadakan akan menyelesaikan isu atau setidak-tidaknya dapat mengurangkan masalah yang dihadapi oleh kumpulan sasar dan warga tani.
Dalam pada itu, Sallehhuddin turut mengumumkan bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad ingin menjadikan Langkawi sebagai pengeluar beras pulut sebagai produk signature dan akan didaftarkan sebagai Geographical Indicator di Langkawi.
“Terdapat beberapa varieti padi pulut yang boleh ditanam di Langkawi seperti Pulut Siding, Pulut Hitam 9 dan Pulut Sri Malaysia 1. Malah, MARDI mempunyai kepakaran untuk meningkatkan hasil padi pulut di pulau ini selain kita membangunkan kilang padi dan infra yang lain,” tambahnya lagi. Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Program Perhubungan Awam, MARDI