Pada Januari 2017, MARDI telah memperkenalkan satu inisiatif untuk kelestarian lebah yang dikenali sebagai MY Bee Savior™. Pada asalnya, usaha menyelamatkan lebah yang bersarang di kawasan kediaman daripada dimusnahkan telah dimulakan pada tahun 2015 oleh komuniti dalam talian di Facebook yang disebut sebagai “Penyelamat Lebah”. Pencetus komuniti ini yang merupakan Saintis MARDI telah membentangkan poster statistik pencapaian mereka di Persidangan Agrobiodiversiti Kebangsaan 2016 pada Oktober 2016 di Kuala Terengganu. Ketua Pengarah MARDI tertarik dengan usaha komuniti ini lalu mencadangkan ia diinstitusikan secara rasmi di bawah MARDI.
Objektif utama MY Bee Savior™ ialah menyelaras operasi memindah sarang lebah dari kediaman awam, membangun prosedur operasi standard untuk memindah sarang lebah dari kediaman awam, mengadakan kempen kesedaran berkaitan kelestarian lebah madu tempatan, mengendali kursus kemahiran memindah sarang lebah dan menyelaras penyelidikan dan pembangunan berkaitan lebah.
Berbekalkan visi menerajui program kelestarian lebah madu di Malaysia dan misi melestarikan lebah untuk kelestarian sektor agromakanan, MY Bee Savior™ mensasarkan pelbagai output utama antaranya Prosedur Operasi Standard Memindah Lebah, perkhidmatan memindah lebah di kawasan kediaman awam, kit memindah lebah, jalinan kerjasama pelbagai pihak serta beberapa siri kursus dan kempen kesedaran awam.
Sejarah menyaksikan kepupusan lebah kampung spesies Apis cerana di Malaysia bermula sekitar tahun 1996 disebabkan serangan hamama Varroa destructoryang melumpuhkan industri pengeluaran madu yang sedang berkembang ketika itu (Mohd Mansor Ismail, 2008). Sekitar tahun 2010, populasi spesies ini mula kelihatan meningkat semula. Manakala tinjauan statistik jumlah koloni lebah tualang spesies Apis dorsata di sekitar Tasik Pedu, Kedah pada tahun 2007 mendapati hanya sekitar 30 hingga 50% koloni lebah yang tinggal berbanding 10 tahun sebelumnya. Statistik tuaian madu spesies sama di tempat yang sama mendapati antara 10 ke 12 karung 18 liter madu dapat dituai pada tahun 2007, berbanding 10 tahun sebelumnya madu dapat dituai antara 25 ke 30 karung (Makhdzir Mardan, 2007).
Di seluruh dunia terutamanya di sekitar Amerika dan Eropah, fenomena Colony Collapse Disorder(CCD) sejak 2006 menyaksikan berjuta-juta lebah madu hilang meninggalkan kotak sarangnya mencetuskan kebimbangan global terhadap jaminan keselamatan makanan selain ekosistem alam yang mana lebah berperanan besar dalam ekosistem hasil pendebungaan yang dilakukan oleh lebah. Oleh sebab-sebab inilah, inisiatif MY Bee Savior™ wajar disokong dan diusahakan bersama oleh pelbagai pihak.
Semoga usaha membantu melestarikan lebah berjaya dilaksana dan objektif MY Bee Savior™ dapat dicapai agar kelestarian agrobiodiversiti dapat diteruskan seterusnya keselamatan makanan turut terjamin.
Untuk maklumat lanjut: MY Bee Savior – Penyelamat Lebah Malaysia