Sintok, 29 Julai – YB Dato’ Salahuddin Ayub, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini telah merasmikan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi Buah-buahan Tropika serta turut melancarkan klon baharu rambutan MARDI iaitu klon AG-28 (Mutiara Wangi) dan GB-44 (Mutiara Merah).
Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Buah-buahan Tropika
Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi atau lebih dikenali sebagai Centre of Excellence (COE) Buah-buahan Tropika ini dibangunkan dengan berkonsepkan “zero waste”. Ia menggunakan pendekatan organik bagi urus tadbir ladang yang lestari serta mampu menghasilkan varieti baru buah-buahan, pengeluaran bahan tanaman berkualiti, pengurusan perosak dan penyakit yang mampu menghasilkan produk hiliran yang berkualiti dan bermutu tinggi bersesuaian dengan piawaian nasional dan antarabangsa.
COE Buah-buahan Tropika ini akan menjadi tempat rujukan dan tarikan agro-pelancongan di peringkat glokal mahupun global.
Fokus utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) di COE Buah-buahan Tropika ini adalah berkaitan dengan penyelidikan buah-buahan tropika utama seperti durian, manggis, meta, rambutan, betik, nanas, belimbing, ciku dan pisang selain buah-buahan yang lain. Aktiviti R&D yang difokuskan ini meliputi pembangunan varieti buah-buahan tropika untuk hasil tinggi dan berkualiti, menyediakan teknologi, kaedah dan ‘SOP’ pengeluaran tanaman yang sistematik, ekonomi dan lestari.
Aktiviti penyelidikan meliputi pelbagai bidang iaitu pembiakbakaan, agronomi, pengurusan perosak dan penyakit, pengendalian lepas tuai, mekanisasi dan pengeluaran biji benih serta anak pokok berkualiti, selain menjadi pusat rujukkan bagi agensi setempat dan dari seluruh Malaysia berkaitan teknologi buah-buahan.
Menurut YB Dato’ Salahuddin, bagi menghadapi cabaran dalam industri berasaskan buah-buahan tropika, halatuju penyelidikan mesti memfokuskan kepada pembangunan teknologi pengeluaran buah-buahan hibrid berhasil tinggi, rintang penyakit, pembangunan pakej pengurusan perosak dan penyakit secara sistematik serta mesra alam bagi mengawal merebaknya perosak dan penyakit. Selain itu, penghasilan mestilah cekap dan kos efektif dengan memaksimumkan penggunaan input bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil buah-buahan premium bagi pasaran tempatan dan global.
Klon Baharu Rambutan MARDI; AG-28 (Mutiara Wangi) dan GB-44 (Mutiara Merah)
Pada majlis ini juga, YB Dato’ Salahuddin turut melancarkan klon baharu rambutan MARDI iaitu klon AG-28 dan GB-44. Kelebihan kedua-dua varieti ini adalah saiz pokok yang rendang dan dapat menghasilkan buah lebih awal daripada klon-klon rambutan popular yang lain. Tambahan pula, ia mempunyai isi yang tebal dan manis serta lekang selain mempunyai aroma yang ketara terutama pada buah klon GB-44.
Menurut YB Dato’ Salahuddin, dengan adanya dua klon baharu ni, ia sememangnya berpotensi untuk bersaing dengan klon-klon yang sedia. Ini pastinya akan dapat merangsang pertumbuhan industri dan melonjakkan harga pasaran buah rambutan. Petani akan menanam rambutan secara besar-besaran. Dalam aspek pembangunan industri, penghasilan produk akhir seperti buah-buahan dalam tin dijangka akan terus meningkat.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Dato’ Sallehuddin Hassan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ; YB Azman Narsrudin, Pengerusi jawatankuasa Pertanian dan Asas Tani, Pengangkutan dan Pembangunan Insan Negeri Kedah; dan YBhg Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Noor, Ketua Pengarah MARDI.
Malumat lajut mengenai COE dan Klon Rambutan Baharu, muat turun brosur :
Brosur Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi (COE) Buah-buahan Tropika – https://goo.gl/dSkrYs
Brosur Klon Baharu Rambutan MARDI; AG-28 (Mutiara Wangi) dan GB-44 (Mutiara Merah) – https://goo.gl/FHp2Rm
Program Perhubungan Awam,
Pusat Komunikasi Korporat dan Kualiti
Ibu Pejabat MARDI, Serdang