
Pengajaran Daripada Terkuburnya Industri Tembakau Negara –
Industri tembakau yang telah diperkenalkan pada tahun 1959 memberi sumbangan yang sangat bererti kepada sebilangan besar penaman dan pengawet tembakau di negara, namun telah terkubur pada awal kurun ke-21. Selama beroperasi, industri ini telah memberi manfaat kepada sebilangan besar keluarga yang terlibat di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Namun setelah AFTA dikuat kuasa, industri ini telah terkubur dengan sendirinya kerana tidak dapat bersaing dengan harga daun import yang lebih rendah dari negara jiran. Syarahan ini cuba mengupas sumbangan industri ini kepada negara dan pengajaran yang boleh diambil daripadanya.
Industri tembakau, semasa ‘hayatnya’ merupakan satu industri yang sangat berjaya di negara ini. Faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan tersebut adalah kerana industri ini sangat berstruktur. Keseluruhan rantaian nilai industri ini dikawal selia oleh LembagaTembakau Negara (LTN), dibantu oleh MARDI untuk R&D terhadap tanaman tembakau dan disokong pula oleh syarikat besar antarabangsa yang beroperasi di Malaysia seperti Malaysian Tobacco Company, RJ Reynolds, Rothmans dan beberapa lagi syarikat tembakau. Kejayaan industri tembakau ini diperkukuhkan dengan sistem kuota yang diwajibkan kepada penanam dan pengawet. Sistem kuota ini telah berjaya mengekang limpahan pengeluaran hasil daun awet yang berlebihan. Sistem penggredan daun basah dan awet yang mengikut piawaian kebangsaan juga dapat mengelakkan ketidakstabilan harga di pasaran. Harga untuk daun awet gred premium mencapai hampir RM19.00/kg dan yang paling rendah ditawarkan harga sekitar RM2.00/kg. Daun awet yang ditawarkan untuk jualan pula telah dibeli sepenuhnya oleh syarikat-syarikat rokok yang beroperasi di negara ini.
Pengamalan konsep/struktur yang diamalkan dalam industri tembakau yang telah terkubur ini dijangka dapat membantu industri lain yang belum dibangunkan sepenuhnya seperti herba. Apabila struktur seperti dalam industri tembakau dipraktikkan kepada industri herba, industri herba negara dijangka akan lebih berjaya dan boleh mengelakkan limpahan bahan mentah seperti serai, mas cotek, stevia dan lain-lain yang pernah dialami suatu masa dahulu.
Impak besar kejayaan industri tembakau negara yang berstruktur dengan agihan kuota, sistem penggredan serta sokongan daripada syarikat peneraju apabila diamalkan untuk industri lain termasuk herba, dijangka boleh memacu kejayaan ke tahap yang lebih tinggi.
Bagi mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan dengan ini, semua dijemput hadir ke Majlis Syarahan Perdana MARDI, bersama En. Wan Zaki Wan Mamat di Ibu Pejabat MARDI pada 27 Februari 2018 (Selasa, 2.30 petang). Muat turun borsur syarahan di sini: https://goo.gl/ZbMC5A