Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

Oleh: Badrulhadza Amzah – Pusat Penyelidikan Tanaman dan Sains Tanah
Dr. Rosliza Jajuli – Pusat Penyelidikan Agrobiodiversiti dan Persekitaran

petak-kejuruteraan-ekologi

Amalan kejuruteraan ekologi merupakan satu alternatif yang boleh diguna pakai dalam menguruskan serangga perosak secara mesra alam di kawasan pertanian seperti di sawah padi. Konsep kejuruteraan ekologi ini mula diperkenalkan oleh Profesor Geof Gurr, seorang pakar ekologi serangga semasa Persidangan Antarabangsa Serangga Perosak Benah Perang di IRRI, Los Banos, Filipina pada tahun 2008. Konsep ini melibatkan amalan kultur seperti pengurusan vegetasi secara manipulasi habitat yang berfungsi menggalakkan aktiviti kawalan serangga perosak secara biologi. Menerusi amalan ini, aktiviti spesies musuh semula jadi dapat ditingkatkan dengan menyediakan sumber seperti makanan alternatif apabila tiada mangsa atau perumah. Penanaman spesies tumbuhan berbunga yang kaya nektar misalnya turut berfungsi sebagai tempat berlindung dan membiak untuk pelbagai spesies musuh semula jadi yang terdiri daripada serangga pemangsa dan parasitoid.

Amalan ini sudah lama diperkenalkan di negara-negara ASEAN seperti Myanmar, Vietnam, Thailand dan Indonesia selain negara seperti China. Amalan ini terbukti dapat meningkatkan kepelbagaian artropod di kawasan sawah padi terutamanya spesies musuh semula jadi yang secara tidak langsung menyumbang dalam mengurangkan kadar serangan serangga perosak seperti benah perang, ulat gulung daun dan ulat pengorek batang. Di samping itu, kadar penggunaan racun serangga kimia juga menurun dan kelestarian ekosistem sawah padi dapat dipelihara dan dipulihara.

Amalan kejuruteraan ekologi masih baru di Malaysia. Usaha untuk memperkenalkannya telah dimulakan oleh IADA Barat Laut Selangor di kawasan sawah sekitar Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Pihak IADA telah mempelawa MARDI pada tahun 2016 untuk bekerjasama dalam melaksanakan projek ini untuk bantuan teknikal dan kepakaran saintifik. Kajian telah dimulakan pada Musim Luar 2016 di kawasan seluas dua hektar. Dalam kajian ini, perbandingan populasi artropod di antara plot kejuruteraan ekologi dan plot amalan biasa petani yang melaksanakan semburan racun serangga dibuat.

indeks artropod-01

Plot kejuruteraan ekologi telah ditanam dengan beberapa spesies tumbuhan Turnera atau nama tempatannya bunga pukul delapan di sekeliling batas petak tersebut. Antara spesies yang ditanam ialah Turnera subulata (bunga berwarna putih) dan Turnera trioniflora (bunga berwarna kuning). Pensampelan serangga dibuat menerusi beberapa kaedah seperti pengecaman visual, penggunaan jaring sapuan, perangkap lekat dan perangkap bekas. Hasil pemerhatian menunjukkan plot kejuruteraan ekologi boleh menampung lebih banyak artropod berdasarkan bilangan dan kepelbagaian spesies serta pengiraan indeks berbanding dengan plot amalan biasa petani. Penanaman pokok bunga Turnera mampu menyediakan habitat alternatif kepada spesies musuh semula jadi untuk membiak dan secara tidak langsung dapat mengawal serangga perosak yang ada di persekitaran sawah. Pengurusan perosak menerusi kaedah kejuruteraan ekologi ini mempunyai potensi besar untuk diamalkan oleh pesawah di Malaysia. Kajian menyeluruh perlu dijalankan pada masa hadapan untuk mengukuhkan bukti dan meyakinkan pesawah padi bahawa kaedah ini mampu mengurangkan masalah serangan perosak dan bermanfaat untuk kelestarian alam sekitar serta kesihatan manusia.


AGROMEDIA Khas PADI 2017
Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: