VCO Pelbagai Guna

vco pelbagai guna
MINYAK kelapa dara , antara bahan semulajadi yang bersifat pelebat rambut

Minyak kelapa dara (VCO) bukanlah suatu produk yang asing dalam masyarakat di negara ini serta negara-negara Asia. Penggunaan pelbagai produk berasaskan kelapa telah menjadi budaya masyarakat Asia dan VCO merupakan salah satu produk daripada tananam tersebut.

Menurut Penyelidik Utama, Teknologi Enzim dan Fermentasi Makanan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (MARDI), Dr. Kamariah Long, VCO kini semakin dikenali di serata dunia kerana khasiatnya yang pelbagai.

Ujarnya, sebelum ini, khasiat VCO kurang diberi perhatian dan hanya digunakan sebagai produk sampingan dan hanya berlegar di sekitar kampung.

“Walau bagaimanapun selepas kajian demi kajian yang dijalankan, pelbagai manfaat VCO telah ditemukan.

“Bahan-bahan aktif seperti asid lemak yang lebih pendek yang dikenali sebagai MCT (Medium Chain Trigliserida) yang lebih mudah untuk diserap oleh badan,” katanya ketika ditemui di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Jelas Dr. Kamariah, rantaian asid lemak yang mudah diserap oleh penghadaman tersebut dapat ditukarkan menjadi tenaga dengan lebih pantas berbanding asid lemak lain.

“Asid lemak ini lebih mudah meresap ke dalam sel membran kerana saiznya yang lebih kecil dan tidak memerlukan pembawa protein untuk diangkut ke sel-sel badan. Kita akan mendapat tenaga yang lebih pantas jika mengambil VCO berbanding produk makanan lain,” ujarnya.

Tambahnya, hal itu kerana setelah tubuh menerima asid lemak tersebut ia akan dihadam serta merta dan dihantar ke hati seterusnya diproses untuk menjadi tenaga.

Proses penghasilan tenaga yang pantas tersebut akan meningkatkan kadar metabolisme seterusnya merangsang proses penurunan berat badan. Dalam erti kata lain kini anda mengambil minyak sebagai makanan untuk kurus!

Ia merupakan sesuatu yang agak janggal didengar kerana selama ini masyarakat dimomokkan bahawa pengambil lemak tepu merupakan punca utama peningkatkan kolestrol, pertambahan berat badan dan punca kepada obesiti.

Dr. Kamariah tidak menafikan salah faham terhadap pengambilan lemak yang betul masih lagi berlaku dan masyarakat perlu didedahkan tentang hal tersebut.

Katanya, VCO sememangnya merupakan lemak tepu namun kandungannya berbeza dengan lelemak daripada sumber seperti haiwan dan tumbuhan lainnya.

“Minyak VCO ini telah disalah erti akan kebaikannya kerana mengandungi lemak tepu yang diuar-uarkan mengandungi tahap kolestrol yang tinggi dan boleh menjejaskan kesihatan jantung. Sebenarnya menerusi penyelidikan yang kita lakukan, VCO adalah amat baik untuk jantung kerana lemaknya lebih mudah dihadam dan diproses menjadi tenaga,” katanya.

Terdapat penyelidikan lain yang menunjukkan amalan penduduk Polynesia yang mengambil VCO sebagai diet harian kurang mengalami penyakit jantung.

Pemahaman masyarakat bahawa pengambilan lemak tepu akan meningkatkan kolestrol bermula daripada kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat pada tahun 1980-an.

Bermula daripada itu, orang ramai mengambil langkah berhati-hati dalam pengambilan lemak tepu sebagai diet harian, malah sehingga kini ia seolah-olah taboo.

Di sana mereka lebih menggalakkan rakyatnya mengambil lelemak sayur lain antaranya adalah lelemak yang berasaskan kacang soya.

Walau bagaimanapun ujar Dr. Kamariah, kajian yang dijalankan pada 2011, lebih ramai rakyat negara tersebut yang obes akibat pengambilan diet yang kian tidak seimbang.

“Pengambilan karbohidrat yang terlalu banyak dan lelemak yang sedikit akhirnya menyebabkan mereka lebih gemuk. Dicatatkan bilangan mereka yang obes pada tahun 1970-an adalah sekitar 40 peratus berbanding 2011 sekitar 66 peratus,” katanya.

Antara penyebab utama adalah pengambilan minyak soya yang lebih tinggi berbanding minyak sawit dan lebih memeranjatkan masalah jantung juga meningkat.

Minyak soya dikatakan mengandungi Omega 6 yang tinggi dan lebih dikenal sebagai lelemak trans yang merupakan punca sebenar kepada masalah jantung dan obesiti.

Selain itu, pengambilan sirap jagung berfruktosa tinggi juga dikatakan antara punca dan produk tersebut telah diambil sebagai makanan sekian lama oleh masyarakat di sana.

Selain berpotensi menghasilkan tenaga yang cepat untuk kecergasan tubuh badan, ia juga dapat memastikan otak turut menerima tenaga yang sama dengan lebih pantas.

Keadaan tersebut dikatakan dapat mengurangkan kelemahan otak untuk menyimpan memori dalam erti kata lain membantu mencegah penyakit nyanyuk.

“Bagi golongan berusia, sel otak mereka agak lambat untuk mengambil glukos untuk dijadikan tenaga, namun VCO yang diproses oleh hati menghasilkan ketone dan bahan tersebut lebih pantas diserap oleh sel otak untuk memastikan ia sentiasa bertenaga,” katanya.

Setelah bertahun-tahun kajian dijalankan dan kebaikan VCO dikenal pasti, kini masyarakat di Eropah mula beralih kepada pengambilan produk tersebut namun lebih dikenali sebagai MCT. Antara bahan aktif yang ditemui di dalam MCT adalah asid laurik yang merupakan asid lemak dengan 12 karbon.

Asid tersebut mempunyai pelbagai kelebihan antaranya termasuklah memiliki struktur kimia yang sesuai untuk dijadikan bahan pengawet semula jadi dalam makanan yang diproses bagi mengelakkan pengoksidaan dan bau yang kurang menyenangkan.

Selain itu, asid laurik juga memiliki sifat antimikrobial yang amat berguna untuk sektor farmaseutikal.

Pun begitu, di sebalik segala kebaikan VCO, penghasilannya masih bergerak perlahan kerana bahan mentah iaitu kelapa kini semakin berkurangan.

Pengusaha tempatan yang menghasilkan produk berasaskan VCO menggunakan bahan mentah yang diimport dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina yang memiliki stok kelapa yang banyak.

“Kita kekurangan bahan mentah (kelapa) dan hal ini amat-amat mendukacitakan kerana pada saat minyak VCO kian dikenali kita tidak dapat menggunakan kesempatan ini sepenuhnya untuk menghasilkannya bagi meningkatkan ekonomi negara.

Persoalannya kini, negara-negara pengimport kelapa seperti Indonesia dan Filipina juga kini sedang rancak menghasilkan VCO untuk tujuan pengeksportan kerana harganya lebih tinggi.

Untuk memajukan industri kelapa, khususnya VCO negara, sesuatu perlu dilaksanakan antaranya adalah dengan menyediakan kawasan-kawasan khas untuk penanamannya.

Penebangan dan penukaran kawasan pertanian kelapa kepada kelapa sawit perlu dihentikan dan ditambah agar dapat mengimbangi permintaan terhadapnya.

Jelas Dr. Kamariah lagi, jika tidak untuk menghasilkan VCO sekalipun, kelapa merupakan produk pertanian yang penting kepada masyarakat negara ini dan selama mana negara perlu bergantung kepada kelapa import.

Terdapat sekurang-kurangnya sembilan jenis asid lemak (medium chain fatty acids) iaitu asid kaproik, kaprilik, kaprik, laurik, miristik, stearik, oleik dan linoleik.

Pengambilan VCO boleh membantu:

  •  Membantu menangani masalah kulit muka jerawat, berminyak, dan kering.
  • Membantu merawat luka dalaman dan luaran.
  • Membantu mengurangkan risiko penyakit jantung, hati, kencing manis, darah tinggi,buasir.
  • Membantu meningkatkan dan memperbaiki sistem pertahanan badan.
  • Membantu memudahkan penyerapan kalsium oleh tubuh dan gigi.
  • Membantu mengurangkan berat badan dengan meningkatkan kadar metabolisme tubuh.
  • Membantu meningkatkan tenaga dan daya tahan fizikal dan mental.
  • Membantu memperbaiki pencernaan dan penyerapan vitamin.
  • Membantu melindungi tubuh daripada kanser.
  • Kesuburan
  • Antivirus, menghalang dan melawan bakteria, kulat serta parasit.
  • Membantu merawat sembelit.
  • Menangani masalah penuaan (awet muda).
  • Membantu menangani masalah resdung dan tiroid.
  • Membantu mengurangkan masalah rambut seperti keguguran, kelemumur, kutu dan kulit kepala berkuping.
  • Membantu mengurangkan rasa senggugut.
  • Membantu menangani masalah batuk dan selesema.
  • Membantu mengurangkan tidur berdengkur.
  • Sesuai untuk ibu hamil.

Sumber : Utusan Malaysia, 19 Jun 2017

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s