Dengan itu, pelbagai inisiatif dan langkah sewajarnya telah diambil bagi mengatasi masalah ini, walaupun tidak dinafikan bahawa terdapat juga beberapa faktor lain yang mempengaruhi permintaan terhadap bekalan makanan.

Apa yang pasti, kecukupan bekalan makanan dapat dijamin dengan peningkatan pengeluaran makanan, pengurangan kehilangan lepas tuai hasil pertanian dan kecekapan dalam pengedaran makanan.

Kehilangan lepas tuai bagi hasil tanaman seperti buah-buahan dan sayur-sayuran serta makanan ruji masyarakat iaitu padi merupakan antara perkara yang paling penting dalam aktiviti lepas tuai di negara ini.

Melihatkan masalah ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menerima mandat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjalankan kajian verifikasi kehilangan lepas tuai padi.

Menurut Timbalan Pengarah Program Mekanisasi Lepas Tuai dan Pemprosesan Makanan, Pusat Penyelidikan Kejuruteraan, MARDI, Dr. Azman Hamzah, kajian berkenaan bertujuan untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai untuk mengurangkan kehilangan lepas tuai padi.

“Kehilangan lepas tuai boleh ditakrifkan sebagai satu kehilangan yang berlaku akibat daripada tumpahan, kecuaian pengendalian atau pengurusan manusia, ketidakcekapan dalam setiap rantaian pengendalian operasi lepas tuai, sistem pemprosesan di kilang yang kurang efisien menyebabkan beras pecah, bau tidak menyenangkan, perubahan warna dan diserang serangga semasa simpanan.

“Pengurangan kehilangan lepas tuai produk pertanian termasuk pengeluaran padi adalah perlu untuk meningkatkan tahap sara diri (SSL) di Malaysia,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Berdasarkan rekod Dasar Agromakanan Negara (2011-2020), SSL Malaysia bagi padi pada tahun 2015 adalah 71.50 peratus, manakala selebihnya diimport. Pengeluaran padi Malaysia pada tahun 1985 adalah kira-kira 1.95 juta tan metrik dan kehilangan lepas tuai adalah kira-kira 28.50 peratus.

Oleh itu, kehilangan hasil padi dianggarkan sebanyak 557,000 tan metrik. Berdasarkan harga padi pada RM496 setiap tan metrik pada tahun 1985 kerugian adalah bersamaan dengan RM276 juta.

Dr. Azman berkata, kajian kehilangan lepas tuai padi ialah bagi rantaian penuaian di sawah, pengangkutan 
dari sawah ke pusat pengumpulan berpusat atau terus ke kilang pemprosesan, pengeringan, pengilangan dan penyimpanan.

“Kajian ini telah dijalankan di beberapa kawasan jelapang padi negara seperti di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA Ketara) di Terengganu dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Kelantan,’’ katanya lagi.

Beliau berkata, kajian bagi rantaian pengeringan, pengilangan dan penyimpanan dijalankan di kilang beras Bernas di Yan, Kedah; Besut, Terengganu dan Pasir Puteh, Kelantan,” jelasnya.

Faktor kehilangan lepas tuai

padi-3

Bagi rantaian penuaian, kehilangan lepas tuai atau padi tumpah adalah disebabkan oleh keadaan dan pelarasan jentuai yang kurang sempurna. Secara umumnya, jentuai yang berkeadaan baik dan dilaras dengan sempurna berupaya mengurangkan peratus kehilangan padi semasa dituai.

Dr. Azman Ahmad berkata, kebanyakan jentuai yang digunakan di negara ini adalah menggunakan sistem aliran tangen, manakala jentuai aliran paksi pula baharu sahaja diperkenal dan masih belum digunakan secara meluas.

Kajian kehilangan lepas tuai padi dalam rantaian penuaian adalah untuk memperoleh peratus kehilangan lepas tuai bagi kedua-dua sistem jentuai ini dan membuat perbandingan.

Sementara itu, bagi rantaian pengangkutan pula, kajian dijalankan bagi mendapatkan peratus kehilangan daripada proses pemindahan padi dari jentuai ke dalam lori di sawah sehinggalah padi dihantar ke kilang pemprosesan.

“Kehilangan berlaku dalam setiap aktiviti rantaian, iaitu semasa pemindahan padi dari jentuai ke dalam lori, pengangkutan padi ke pusat kawasan pengumpulan berpusat, pengurusan dan kawalan padi di kawasan pengumpulan berpusat dan pengangkutan padi dari kawasan pengumpulan berpusat ke kilang pemprosesan.

“Antara punca kehilangan lepas tuai padi semasa aktiviti pengangkutan adalah kerana lori yang tidak sempurna keadaannya semasa mengangkut padi,” katanya.

Rantaian seterusnya yang dikaji ialah rantaian pengeringan yang merupakan satu proses yang penting dalam pemprosesan padi sebelum menjadi beras.

“Kehilangan semasa rantaian pengeringan berlaku bermula daripada proses pengumpulan padi lembab sebelum ia dikeringkan. Antara faktor kehilangan lepas tuai dalam rantaian pengeringan adalah disebabkan oleh kelewatan dalam proses pengeringan selepas padi dituai, penggunaan mesin untuk memuatkan padi ke dalam alat pengering iaitu Inclined Bed Dryer (IBD), penggunaan suhu yang kurang sesuai semasa proses pengeringan dan padi tumpah semasa proses pemindahan padi ke dalam alat pengering dan pemindahan padi keluar dari alat pengering.

“Peratusan kehilangan lepas tuai pada peringkat pengeringan padi adalah analisis kualitatif secara kuantitatif. Kualiti padi yang telah dikeringkan dianalisis dalam bentuk peratusan daripada hasil padi kepala, beras patah dan perolehan pengilangan,” jelasnya.

Rantaian seterusnya adalah rantaian pengilangan dan penyimpanan apabila operasi pengilangan padi atau beras komersial melibatkan beberapa peringkat iaitu pembersihan padi, pengupasan, pemisahan padi atau beras perang, pemutihan, pengayakan, pengilatan, penggredan dan pembungkusan.

Operasi pengilangan padi yang baik akan dapat menghasilkan beras bermutu dan sesuai dimakan.

Katanya, hal ini adalah penting untuk mengurangkan kandungan beras patah dan mendapat perolehan beras yang tinggi.

Ini bermaksud kehilangan ini adalah secara kualitatif iaitu kilang akan menghasilkan beras patah yang tinggi. Selain itu, kurang pengetahuan teknikal dan operator kurang kemahiran berupaya menyumbang kepada perolehan beras yang rendah.

Dalam kajian itu, prestasi pengilangan komersial telah dinilai dengan hasil perolehan beras dari makmal. MARDI juga telah menilai prestasi pengilangan dengan menggunakan pengilat humidified yang dapat menghasil pulangan beras dan kepala beras yang lebih tinggi.

“Kajian seterusnya ia
lah bagi rantaian penyimpanan apabila semasa di kilang lazimnya beras disimpan secara pukal di dalam beg jumbo bagi melindungi daripada perubahan cuaca dan serangga perosak untuk jangka masa penyimpanan yang singkat atau panjang.

“Kehilangan lepas tuai semasa penyimpanan dinilai dengan peratus kepala beras, sifat fizikal beras dan juga bilangan serangga yang hidup dalam bag simpanan,” katanya.

MARDI telah menggunakan kaedah penyimpanan beg kedap udara (hermetic) untuk menilai kehilangan semasa penyimpanan dan didapati peratus kepala beras semasa penyimpanan adalah lebih tinggi berbanding kaedah penyimpanan beg jumbo kerana penyimpanan berkenaan dapat menyebabkan keadaan ketiadaan gas oksigen bagi serangga perosak untuk terus hidup.

Kesimpulan kajian ini ialah dengan pengurangan kehilangan lepas tuai padi maka bekalan beras negara berupaya untuk ditingkatkan.

Selain itu MARDI juga akan mengeluarkan satu garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap rantaian lepas tuai padi dan berharap semua pihak yang terlibat dalam industri padi negara dapat menggunakannya bagi tujuan mengurangkan kehilangan hasil.

– Gambar WAHIDAH ZAINAL

Sumber : Utusan Malaysia, 24 November 2016