MARDI masuk sekolah

Lebih 100 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Serdang, Selangor, menyertai aktiviti pemindahan pengetahuan dan teknologi untuk memupuk generasi muda mencintai bidang pertanian.

Program julung kali diadakan itu anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang menjadikan SK Serdang sebagai sekolah anak angkat pertama.

Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron berkata, pihaknya komited melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu sebagai usaha berterusan membantu industri pertanian negara.

Beliau berkata, program bersama SK Serdang itu dirancang bagi mengeratkan hubungan di antara MARDI dan sekolah.

“SK Serdang sekolah pertama dijadikan anak angkat MARDI untuk membantu sekolah melaksanakan aktiviti pemindahan pengetahuan dan teknologi kepada murid, sekali gus memupuk generasi muda mencintai bidang pertanian.

“Pelbagai aktiviti dirancang bersama sekolah dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai titik permulaan hubungan kedua-dua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program CSR MARDI bersama SK Serdang, Selangor, baru-baru ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah MARDI Dr Mohamad Roff Mohd Noor dan Timbalan Yang Dipertua Badan Kebajikan dan Sukan MARDI Dr Rozhan Abu Dardak.

Hadir sama Guru Besar SK Serdang Rangit Singh Pritam Singh dan Naib Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Serdang Noorizai Mohd Nor.

Sharif berkata, program itu unik dan berbeza dengan yang dilaksanakan oleh badan korporat lain.

“Kami menunjukkan cara menghasilkan baja kompos, demonstrasi penanaman pertanian bandar serta pameran teknologi MARDI bagi memberi pendedahan mengenai aktiviti penyelidikan MARDI.

“Kami memulakan aktiviti dengan berkongsi maklumat pertanian, kursus dan latihan kepada guru dan murid, pemindahan teknologi mudah sekolah serta menjadikan murid miskin sebagai anak angkat kepada pegawai MARDI.

“Murid SK Serdang juga berpeluang menggunakan kemudahan dalam kampus MARDI seperti makmal dan dewan bagi menjalankan aktiviti pembelajaran,” katanya.

Menurutnya, MARDI juga membantu sekolah menyediakan landskap untuk memperindahkan suasana sekolah sesuai dengan kawasannya yang sempit.

Sementara itu, Sharif berkata, pihaknya akan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Ourfoodourfuture di Ibu Pejabat MARDI di Serdang hari ini

Beliau berkata, pada masa kini, pertanian sumber utama pengeluaran makanan dan tidak dapat dinafikan akan meneruskan peranannya pada masa hadapan.

“Kedaulatan makanan menjadi isu nasional dan Dasar Agromakanan Negara antara inisiatif kerajaan memberi penekanan kepada keselamatan dan kedaulatan makanan.

“Persidangan ini akan membincangkan dimensi baru sektor pertanian masa kini dan pasca 2020 dalam memastikan jaminan dan kedaulatan makanan negara.

“Ucaptama akan disampaikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery bin Cheek bertajuk Kedaulatan Makanan: Cabaran Menyediakan Makanan untuk Rakyat dan Memperkasakan Ekonomi Negara,” katanya.

“Peningkatan penduduk, pemodenan kehidupan dan perubahan gaya hidup menjadi cabaran kepada sektor pertanian menyediakan makanan yang mencukupi dan berkualiti.

“Kepesatan pembangunan ekonomi dan peningkatan pendapatan perkapita penduduk Malaysia menyumbang kepada pertumbuhan industri makanan. Namun begitu, negara menghadapi cabaran besar dalam memenuhi tanggungjawab menyediakan sumber makanan mencukupi untuk rakyat,” katanya.

Mereka yang berminat menyertai persidangan itu boleh melayari laman web di http://ofof.mardi.gov.my.



Sumber – Harian Metro, 8 November 2016

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s