Disebabkan khasiat madu lebah yang sangat tinggi dan juga menjadi antara makanan sunah yang terbaik, ia menjadi pilihan masyarakat sebagai makanan tambahan untuk kesihatan.

Namun begitu, ramai yang tidak menyedari bahawa kebanyakan madu yang dijual dalam pasaran adalah madu tiruan yang boleh membahayakan kesihatan dan agak sukar untuk dibezakan dengan madu asli.Hal ini kerana madu tiruan mengandungi gula yang berlebihan dan kandungan hidroksimetilfurfural (HMF) yang tinggi.

Kesan daripada pengambilan gula dan HMF berlebihan, boleh mendatangkan impak kepada kesihatan manusia sejagat dengan pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser.

Bukan itu sahaja, dengan adanya madu tiruan dalam pasaran yang tidak terkawal disebabkan tiada penguatkuasaan, tindakan atau akta yang melindungi madu asli serta menghalang pembuatan madu tiruan, ia juga boleh merosakkan industri tersebut.

Melihatkan kesan negatif akibat penjualan madu tiruan yang berleluasa selain untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan penternak lebah dan pengguna mengenai bahaya madu tiruan, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), telah menjalankan kajian mengesan ketulenan madu.

Timbalan Pengarah Program Perekaan MARDI, Dr. Suri Roowi berkata, usaha yang dijalankan oleh agensi itu merupakan salah satu platform untuk memulihkan kembali industri madu selain membuka peluang untuk menghasilkan teknologi yang dapat mengesan ketulenan dan kualiti madu di negara ini.

“Madu yang dihasilkan daripada perut lebah adalah berasal dari sumber nektar atau air sap tumbuhan yang menjadi makanan lebah tersebut dan disimpan di dalam sarang sehingga ia matang.

“Disebabkan proses penghasilan madu asli agak lambat selain memerlukan teknik yang khusus dan modal yang besar, ramai pengusaha madu mengambil jalan mudah meningkatkan bekalan mereka dengan mencampurkan madu asli bersama sirap sukrosa dan beberapa campuran lain,” katanya ketika ditemui di Serdang baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai kaedah tradisional telah digunakan untuk membezakan madu asli dan madu tiruan misalnya dengan menggunakan semut, telur dan sudu besi.

Walau bagaimanapun, kesemua kaedah tradisional itu bukanlah penunjuk yang tepat dalam pengujian keaslian madu.

“Sehingga kini, ujian makmal sahaja yang boleh memberikan ketepatan sehingga 99 peratus apabila ketulenan sesuatu jenis madu diukur dengan kehadiran enzim dalam madu tersebut.

“Teknik yang dibangunkan ini adalah dengan mencampurkan madu herba terpilih dan dibiarkan dalam tempoh masa tertentu. Selanjutnya dianalisis menggunakan alat HPLC MS MS (high performance liquid chromatography mass spectrometry).

“Jika madu tersebut tulen, ia boleh memecahkan bahan berkhasiat tertentu dalam herba terpilih dengan membentuk struktur yang lebih kecil kerana madu tulen mengandungi enzim,” ujarnya.

Tambahnya, kehadiran bahan antioksidan seperti bahan fenolik dalam madu juga boleh dijadikan sebagai kayu pengukur ketulenan madu.

Bahan ini hadir dalam bunga dan buah yang menjadi makanan utama lebah. Jika madu ditambah dengan sumber gula lain, biasanya bahan fenolik ini akan diikat dengan gula yang ditambah dan ia akan berkurang atau tidak dapat dikesan lagi apabila diuji menggunakan HPLC MS MS tersebut.

“Selain itu, MARDI juga sedang dalam usaha untuk membangunkan kaedah biasa yang lebih mudah dan murah untuk menentukan keaslian madu.

“Secara tidak langsung, kaedah yang dibangunkan ini diharapkan dapat membantu pengusaha madu dan juga pengguna untuk membezakan madu asli dan juga tiruan,” katanya.

Katanya, sebagai langkah yang boleh diambil untuk mengatasi masalah penghasilan madu tiruan yang tidak terkawal, sebuah jabatan khas perlu diwujudkan untuk menangani isu ini.

Jabatan tersebut perlu berperanan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat akan bahaya pengambilan madu tiruan, selain bertanggungjawab mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang menghasilkan madu tiruan.

Selain itu, pihak berwajib juga perlu mewujudkan pensijilan khas atau hologram yang hanya dapat diperoleh daripada jabatan tertentu seperti MARDI sebelum meluluskan sesuatu jenama madu itu boleh dipasarkan. Dalam pada itu beliau berkata biasanya madu tulen berbau sedikit wangi dan kelat disebabkan kehadiran flavanoid dan asid fenolik.

“Biasanya madu asli tidak dikerumuni semut jika masih segar selepas dituai. Walau bagaimanaoun semut boleh datang jika bau wangi hilang tetapi cara ini belum dapat dibuktikan secara saintifik sebaliknya perlu diuji di makmal, ujarnya sambil memberitahu MARDI akan membangunkan kit mengenal pasti ketulenan madu secara lebih pantas.

Persepsi silap orang ramai mengenai ketulenan madu

  •  Madu asli dikatakan mempunyai warna, rasa dan bau tertentu.
  •  Madu yang asli tidak dihurungi semut.
  •  Madu asli tidak beku dalam peti sejuk.