Menterinya, Datuk Madius Tangau berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan ketulenan madu kelulut dan berjaya untuk dijenamakan sebagai Superfood pertama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Kata beliau, pihaknya kini sedang dalam usaha membangunkan standard madu kelulut dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang diharap akan menjadi dokumen standard yang berwibawa dan bertaraf dunia.

“Inisiatif untuk membangunkan standard berkenaan adalah disebabkan oleh pemalsuan madu kelulut yang berleluasa di pasaran yang dapat memudaratkan kesihatan rakyat,” katanya.

Selain Standards Malaysia dan MARDI, MOSTI juga akan melibatkan agensi-agensinya iaitu Institut Genom Malaysia (MGI)-Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) yang membantu dalam pengumpulan sampel madu kelulut untuk dianalisis dan NanoMalaysia bertanggungjawab untuk mendapatkan sampel dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Sharif Haron bersetuju bahawa ketulenan madu kelulut di pasaran sekarang sangat meragukan. Sharif bimbang ia bukan sahaja akan menjejaskan pengusaha lebah kelulut tetapi juga akan memberi kesan negatif kepada kesihatan pengguna.

“Adalah dikhuatiri isu ketulenan ini akan menjejaskan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menobatkan madu kelulut sebagai Superfood Malaysia yang pertama,” ujarnya.

Kata beliau, kementerian berkenaan memandang serius isu tersebut dan mengambil inisiatif untuk membangunkan standard madu kelulut yang dapat diterima pakai oleh semua pihak.

Untuk itu, MARDI katanya, telah diberi tanggungjawab oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan telah diperuntuk sebanyak RM300,000.

Katanya, standard yang dibangunkan itu mengambil kira Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985 yang mensyaratkan madu mestilah mengandungi air tidak lebih daripada 20 peratus dan kandungan gula penurun tidak kurang daripada 60 peratus.

Katanya lagi, kandungan pemakanan yang dipertimbang dalam standard tersebut adalah kandungan karbohidrat, protein, asid amino, vitamin, mineral dan bahan antioksidan.

Selain itu, penjenamaan madu kelulut akan dilakukan dengan melihat kandungan antioksidan iaitu asid fenolik bebas dalam madu.

Kandungan bahan-bahan tersebut adalah asas utama pembangunan standard bagi menjamin ketulenan dan kualiti produk yang tinggi. Asas-asas standard tersebut juga bagi memastikan agar status madu lebah kelulut sebagai Superfood Malaysia benar-benar ditepati.

MARDI telah mengambil beberapa langkah wajar seperti menyediakan cadangan, pelantikan kolaborator projek, penyediaan maklumat usahawan dan kesatuan kelulut.

Langkah yang diambil ini penting bagi melibatkan semua pihak termasuk perolehan sampel madu dari beberapa kawasan, seterusnya membuat analisis kimia mengikut Codex Alimentarius agar ia dapat diterima pada peringkat antarabangsa.

MARDI juga akan mengambil beberapa kajian dan langkah penting untuk membangunkan madu kelulut sebagai superfood termasuklah kajian peningkatan bahan khasiat, pembahagian madu mengikut kualiti antioksidan, ujian keselamatan produk, ujian jangka hayat dan ujian penerimaan produk.

Dengan adanya tersebut, pengguna dijamin memperoleh madu kelulut yang tulen dan dapat mengelak berlakunya penipuan.

Dalam masa yang sama, kementerian sangat komited untuk memastikan madu yang dihasilkan oleh penternak lebah kelulut seluruh negara benar-benar berkualiti dan memenuhi standard antarabangsa. Dengan yang demikian akan membuka lebih ruang kepada produk tersebut memasuki pasaran luar negara.

MARDI sebagai agensi yang dipertanggungjawab untuk membangunkan standard tersebut akan terus menjalin kerjasama erat dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Malaysian Genom Institut (MGI), Jabatan Standard Malaysia dan semua pihak terlibat termasuk universiti, pengusaha, pertubuhan bukan kerajaan dan pihak-pihak lain yang berkepentingan.