Bunga-bungaan semusim merupakan sejenis tanaman hiasan popular digunakan dalam landskap.
Bunga jenis itu ditanam dalam landskap bandar bertujuan untuk mendapatkan kepelbagaian warna bunga dan menambahkan lagi seri taman. Biasanya, bunga-bungaan semusim dibiak dan dibesarkan di nurseri sehingga ia berbunga, sebelum dipindahkan ke kawasan landskap. Bunga-bungaan semusim yang dipindahkan ke kawasan landskap bandar mempunyai jangka hayat yang singkat iaitu antara satu hingga satu setengah bulan selepas ditanam atau dipamer dan tanaman tersebut perlu diganti semula. Dari perspektif pengurusan landskap, amalan penanaman bunga-bungaan semusim yang dibiak di nurseri dan seterusnya dipindahkan ke kawasan landskap memerlukan penyelenggaraan yang rapi, kos bahan tanaman yang tinggi dan tidak lestari.
Oleh demikian, pendekatan lain bagi menambah baik amalan penanaman dan penyelenggaraan tanaman sedia ada dibangunkan iaitu menerusi teknologi multispesies.
Teknologi penanaman bunga-bungaan semusim secara semai terus dengan menggunakan percampuran biji benih multispesies merupakan pendekatan baharu dalam industri landskap.
Teknologi multispesies dibangunkan menerusi pendekatan penyelidikan landskap ekologi di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi penggabungan beberapa spesies tanaman yang mempunyai tempoh dan peringkat pembungaan yang berlainan seperti berbunga awal, pertengahan dan lewat dalam satu komuniti tanaman landskap.
Bunga-bungaan semusim seperti Celosia dan Gomphrena telah dikenal pasti sebagai spesies berbunga awal manakala spesies seperti Cosmos, Tagetes dan Tithonia merupakan tanaman berbunga lewat.
Menerusi kaedah penanaman secara formulasi percampuran biji benih multispesies, komuniti tanaman yang berwarna-warni, kelihatan semula jadi, dinamik dan kurang penyelenggaraan dalam landskap dihasilkan.
Penghasilan multispesies bunga-bungaan semusim dalam gabungan komuniti tanaman secara tidak langsung akan memulihara spesies tersebut dan mengelakkannya daripada pupus.
Kepelbagaian biologi ini berpotensi mewujudkan keadaan persekitaran yang sesuai untuk memikat fauna seperti rama-rama, pepatung dan serangga berguna lain.
Komuniti multispesies membekalkan lebih kepelbagaian bilangan tumbuhan setiap kawasan, iaitu melebihi 50 pokok setiap meter persegi berbanding penanaman menggunakan anak benih dari nurseri yang memuatkan hanya 10 hingga 25 pokok semeter persegi.
Komuniti bunga-bungaan multispesies yang terbentuk mempunyai tempoh pembungaan yang panjang sehingga lima bulan, menarik dan kelihatan semula jadi.
Struktur dan corak pembungaan tanaman multispesies ini pula bersifat dinamik iaitu berubah-ubah dari semasa ke semasa. Kedinamikan multispesies ini dapat meningkatkan lagi nilai estetik dan mengelakkan pengguna atau pengunjung taman berasa bosan.
Dalam masa sama, percampuran biji benih bunga-bungaan semusim terpilih membentuk komuniti baharu yang menarik dan kelihatan semula jadi di kawasan landskap.
Daloam masa yang sama proses pembentukan komuniti adalah bersifat mesra alam iaitu tanpa penggunaan polibeg, tiada infrastruktur nurseri dan kos tenaga untuk pengangkutan yang rendah berbanding dengan penanaman secara konvensional.
Selain itu, ia mengurangkan kos penyelenggaraan tanaman untuk jangka masa panjang khususnya bagi kerja-kerja penanaman semula dan pengawalan rumpai di kawasan landskap. Gabungan pelbagai spesies dalam komuniti seperti tanaman berkanopi rendah dengan tanaman sederhana tinggi menghalang pertumbuhan rumpai dan menghasilkan komuniti tanaman yang berstruktur menarik.
Kelompok dedaunnya yang padat, tumbuh melitupi permukaan bumi di dalam komuniti tanaman akan menghalang atau menyukarkan anak benih rumpai daripada tumbuh.
Percampuran pelbagai spesies bunga-bungaan yang sesuai menghasilkan tanaman yang produktif, hidup subur, kurang diserang penyakit, boleh membiak dengan sendirinya dan lebih lestari walaupun hanya menggunakan bekalan sumber pemakanan yang terhad. Kebolehan komuniti tanaman meneruskan kitaran hayatnya untuk tempoh yang panjang menjadikannya lebih lestari.
Mengenai penyemaian biji benih, ia dilakukan secara tabur terus menggunakan tangan.
Teknik itu amat sesuai untuk penanaman gabungan spesies bunga-bungaan sebagai tanaman hiasan di ruang landskap terbuka atau di dalam bekas. Menerusi teknik ini, campuran biji benih bunga-bungaan yang dipilih yang diperoleh dari pembekal biji benih bunga-bungaan atau dituai daripada pokok yang matang perlu dicampur dengan pasir halus sebagai agen pembawa sebelum ia disemai.
Tujuannya adalah untuk mendapatkan taburan biji benih yang sekata ketika menyemai. Sebagai panduan, lima bahagian pasir dicampur dengan satu bahagian biji benih dengan dua gram hingga empat gram biji benih bunga multispesies untuk memuatkan kawasan landskap taman seluas satu meter persegi.
Biji benih bunga-bungaan yang telah dicampur dengan agen pembawa tadi hendaklah disemai terus ke dalam bekas atau kawasan landskap taman dengan cara membuat taburan perlahan-lahan menghala ke arah kiri dan kanan lokasi atau bekas penyemaian. Seterusnya, lokasi yang telah ditabur dengan campuran biji benih perlu diulangi penaburan semula secara arah bersilang. Ulang taburan ini mengikut pergerakan kita di kawasan landskap yang hendak ditanam dengan multispesies bunga-bungaan. Setelah selesai menabur biji benih, permukaan semaian perlu dicakar perlahan-lahan dengan menggunakan pencakar bagi memastikan biji benih ditabur sama rata dan masuk ke dalam tanah antara 0.5 hingga satu meter.
Seterusnya, permukaan semaian perlu dipadatkan perlahan-lahan agar biji benih multi spesies bersentuhan dengan media yang seterusnya akan bercambah dan membentuk multispesies. – Utusan Malaysia, 13 Oktober 2016
Artikel lain mengenai multispesies : Blog MARDI