
Sebagai sebuah entiti penyelidikan, menjadi tanggungjawab bagi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk menjalankan kerja-kerja menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai.
Peranan MARDI dalam hal ini amat penting, apatah lagi sebagai sebuah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kumpulan sasaran mereka jelas perlu sentiasa dibantu terutama yang mengusahakan projek pertanian dan ternakan di luar bandar.
Walau bagaimanapun, usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan MARDI memberi tumpuan kepada sektor komersial iaitu meningkatan pengeluaran sara diri (SSL) padi negara seperti yang disarankan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya hasil dapat ditingkatkan sekali gus menjamin kedaulatan makanan.
Dalam masa sama, MARDI juga menghasilkan varieti padi yang rentang terhadap masalah persekitaran seperti kekurangan air yang menyebabkannya stres.
Fokus lain juga melibatkan usaha meningkatkan daya saing buah-buahan premium seperti belimbing dan manggis, kajian bagi adaptasi teknologi perubahan iklim. Sebagai contoh, teknologi pertanian bandar yang melibatkan tanaman sayuran supaya dapat membantu menangani kos sara hidup tinggi.
Timbalan Ketua Pengarahnya, Dr. Mohamad Roff Mohd. Noor bagaimanapun berkata, tidak semua R&D tersebut perlu dikomersialkan kerana ada yang boleh terus diserahkan kepada kumpulan sasar tanpa perlu kepada proses penilaian, peningkatan skala atau pengkomersialan.
“Ada juga (inovasi) yang kita bangunkan untuk terus digunakan oleh petani contohnya seperti alat pembuka durian dan proses silaj untuk makanan ternakan,’’ ujarnya.
Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, usaha pengkomersialan yang dilaksanakan MARDI menerusi satu proses evolusi yang panjang dan mengikut kehendak semasa.
Di peringkat awal dahulu katanya, usaha menghasilkan produk melibatkan penghasilan buah buahan bersaiz besar, mempunyai ciri-ciri tahan penyakit untuk penduduk kampung. Selepas itu, usaha diteruskan dengan penghasilan tanaman berkualiti dan mengandungi vitamin.
Untuk tujuan itu, MARDI menubuhkan MARDITech sebagai sayap pengkomersialan sehinggalah pada 1996 apabila Unit Komersial ditubuhkan bagi mengurus usaha pengkomersialan supaya menjadi lebih efisien.
Katanya lagi, pada 2002 pula Unit Pembangunan Perniagaan ditubuhkan untuk tujuan yang sama sebelum diperhebatkan pada 2014 sejajar dengan usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperkenalkan Malaysia Inovasi, Pada tahun ini usaha tersebut terus diperkasakan dengan Tahun Pengkomersialan atau MSI (Malaysia Social Innovation).
Untuk tujuan itu, beberapa strategi telah digariskan iaitu dengan mewujudkan Pejabat Pengkomersialan Teknologi (TCO) terus di bawah pejabat ketua pengarah yang berperanan sebagai sekretariat bagi memantapkan kertas kerja projek ke arah bernilai komersial (grant project proposal) selain sebagai pengurus bagi menjaga hak dan mengeksploitasi produk.
TCO itu juga berperanan sebagai pusat rujukan pembangunan model peluang perniagaan bagi hasilan penyelidikan dan teknologi MARDI.
Menurut beliau lagi, penubuhan TCO merupakan usaha jangka pendek dalam proses pengkomersialan manakala untuk jangka masa panjang melibatkan penerbitan polisi R&D, harta intelek (IP) dan pengkomersialan sebagai rujukan utama, pembangunan modal insan yang kompeten dan pengurusan IP serta pengukuhan jalinan industri.
MARDI menetapkan sebanyak 14 peratus daripada teknologi yang dijana, akan dikomersialkan. Malah, pada tahun ini sahaja sebanyak 14 teknologi perlu dikomersialkan.
Bagi MARDI, usaha pengkomersialan yang dilaksanakan selama ini banyak memberi manfaat kepada kumpulan sasar antaranya meningkatkan hasil pertanian menerusi adaptasi teknologi berkaitan, memodenkan sektor pertanian, meningkatkan daya saing dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Justeru, penubuhan Pejabat Pengkomersialan Teknologi (TCO) amat penting ke arah itu kerana ia boleh berfungsi sebagai jambatan kepada aktiviti pengkomersialan teknologi dan inovasi MARDI dan sebagai pusat rujukan kepada pemegang taruh (stakeholder) atau pelabur untuk memperoleh teknologi MARDI.
Usaha pengkomersialan juga antara lain melibatkan usaha mewujudkan polisi R&D, harta intelek dan komersial sebagai panduan kepada aktiviti penyelidikan dan pemindahan dan pengkomersialan teknologi.
Mengenai kaedah pengkomersialan yang digunakan selama ini , MARDI menggunakan kaedah pelesenan, pembuat peralatan pengoperasian (OEM), jualan terus, pengedaran, bekerjasama, perkongsian keuntungan dan penyewaan. MARDI juga meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi seperti pemadanan perniagaan, Biz Talk dan lain-lain.
Walau bagaimanapun bagi usaha pemasaran, fokus adalah menjurus ke arah produk menguruskan badan, antipenuaan dan kecergasan.
Sejak 2005 MARDI telah menghasilkan 636 projek dengan 90 telah dikomersialkan sejak 2005 dan nilai pendapatan dijana menerusi pelesenan, yuran pengurusan dan yuran sebanyak teknologi RM7 juta.
Menghasilkan 40 teknologi setahun yang berpotensi untuk ditingkatkan skala, diperintiskan atau dikomersialkan bagi manfaat sektor makanan, pertanian dan industri berkaitan.
– Utusan Malaysia, 10 Oktober 2016