Usah pertikaikan produk Melayu

a

MINGGU lalu, heboh kisah tentang tindakan seorang wanita yang memuat naik satu rakaman video dalam laman sosial kerana mempertikaikan mutu produk keluaran orang Melayu yang didakwanya tidak berkualiti. Menerusi rakaman video tersebut, wanita itu turut menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat atas dakwaan ditipu selepas mendakwa krim pelangsingan badan yang dia gunakan tidak panas.

Walaupun wanita itu telah membuat permohonan maaf dan menarik semula laporan polis yang dibuat, tindakannya memperlekeh produk keluaran Melayu sedikit sebanyak telah mengundang rasa kurang senang netizen di Malaysia. Ikuti temubual wartawan Kosmo! Ahad, MOHAMMAD SHAHEMY AZMI bersama Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir di pejabatnya bagi mengupas dan mendapat gambaran lebih jelas tentang kualiti produk keluaran syarikat milik anak Melayu.

Kosmo! Ahad: Boleh Datuk huraikan secara ringkas tentang peranan Perdasama dan fungsi penubuhan persatuan tersebut dalam kalangan usahawan Melayu?

Moehamad Izat: Peranan dan matlamat Perdasama tetap sama sejak penubuhannya 17 tahun lalu iaitu untuk meningkatkan penguasaan ekonomi dalam kalangan orang Melayu. Perdasama merupakan sebuah pertubuhan yang membuka keahliannya kepada sesiapa sahaja yang layak dengan syarat mereka mestilah 100 peratus orang Melayu atau Bumiputera dan mempunyai perniagaan. Dengan cara ini, saya sebagai presiden dan pengasas Perdasama mahu lebih ramai peniaga dan pedagang Melayu bersatu di bawah satu bumbung. Selepas 17 tahun, Perdasama telah mempunyai cawangan hampir di seluruh negara yang tidak putus menganjurkan pelbagai acara sebagai pendekatan antara pedagang dengan badan kerajaan bagi membantu ekonomi orang Melayu.

Sebagai Presiden persatuan, bagaimana Datuk melihat perkembangan dan penerimaan masyarakat Malaysia terhadap produk keluaran orang Melayu?

Orang Melayu pada hari ini turut tidak mahu ketinggalan dalam menceburi bidang perniagaan dan perusahaan walaupun berdepan dengan kekangan modal yang menjadi masalah utama mereka. Apa yang saya mahukan ialah orang Melayu berilmu mencari kemajuan. Sebagai contoh seperti perniagaan Ramly Burger yang mengeluarkan produk berasaskan daging oleh pengusaha berjaya, Datuk Ramly Mokni. Perniagaan yang pada awalnya hanya di jalankan secara kecil-kecilan kini berkembang ke seluruh negara malah berjaya dieksport ke pasaran antarabangsa. Kejayaan ini dicapai atas pandangan luas Ramly dengan melihat potensi pasaran daging burger yang mendapat permintaan tinggi. Kalau hendak melihat masa depan orang Melayu, kita perlu faham sejarah yang telah berlaku.

Baru-baru ini, heboh dalam laman sosial tentang tindakan seorang wanita yang tidak berpuas hati dengan produk yang digunakan. Pengguna tersebut juga mengeluarkan kenyataan ‘I hate Malay product’ kerana beranggapan produk tempatan kononnya tidak setaraf dengan produk antarabangsa. Boleh Datuk komen tentang perkara tersebut?

Ternyata dakwaan produk orang Melayu tidak setanding dengan jenama antarabangsa salah sama sekali. Hal yang demikian kerana, saya yang juga bekas Ahli Lembaga Sains di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) selama empat penggal. MARDI mempunyai 600 saintis yang menjalankan kajian dan mencipta pelbagai produk baharu sama ada berasaskan makanan mahupun keperluan harian. MARDI juga mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang sains bagi menghasilkan pengeluaran sesuatu produk itu berkualiti dan menepati piawaian antarabangsa. Namun apa yang menyedihkan, berdasarkan pemerhatian saya, orang Melayu dilihat tidak ramai yang datang ke MARDI untuk merebut ruang yang ada. Sebagai contoh, belum ada dalam kalangan orang Melayu yang menjalankan perusahaan kebun inai yang hanya diimport dari India dan Pakistan. Bagi saya, tidak bertanggungjawab apabila seseorang itu menuduh bangsa sendiri dan tidak menyokong produk yang dihasilkan.

Kenapa wujudnya pemikiran sebegitu dalam kalangan masyarakat kita?

Saya hanya menganggap golongan yang memperlekehkan bangsa sendiri ialah individu yang tidak yakin dengan bangsanya sendiri. Mereka seolah-olah menghina dan tidak menghormati sesama manusia. Ilmu seseorang itu pelbagai. Seseorang itu akan dapat memahami sesuatu perkara berdasarkan pembelajaran. Apabila tiada keyakinan dan memandang rendah individu lain, seseorang itu hanya akan pandai menyalahkan orang lain berbanding kesalahan diri sendiri.

Apakah sebenarnya yang membezakan produk tempatan dengan antarabangsa?

Secara jujur, saya tidak nampak sebarang perbezaan daripada segi kualiti untuk membandingkan produk tempatan dengan antarabangsa. Di Malaysia, kita sudah mempunyai banyak saluran seperti penubuhan universiti-universiti awam dan swasta, selain bantuan daripada pihak kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat dan Felda. Selain itu, kerajaan turut menubuhkan Institut Penyelidikan Getah untuk menjalankan kajian menghasilkan produk getah manakala MARDI untuk kajian sains terhadap makanan. Dengan adanya institut-institut penyelidikan yang dibangunkan, kualiti dan hasil produk tempatan yang dihasilkan sebenarnya sama sahaja dengan jenama antarabangsa.

Pada pengusaha produk kosmetik sanggup melabur sejumlah modal besar untuk membayar duta mempromosikan produk mereka. Adakah ini merupakan satu langkah terbaik untuk menarik minat pengguna?

Saya tidak melihat strategi melantik duta dalam kalangan artis terkenal merupakan atau langkah yang salah untuk melariskan sesuatu produk. Pengusaha boleh memilih banyak cara untuk menjual jenama produk mereka seperti membeli iklan di televisyen, radio dan surat khabar. Ini bukanlah sesuatu isu besar dan tidak perlu diperbesarkan.

Sesetengah masyarakat mendakwa mereka sukar mempercayai produk keluaran syarikat Melayu kerana menyifatkan pengusaha Melayu tidak menitikberatkan aspek kajian dan pembangunan, terutamanya yang melibatkan produk kecantikan, kesihatan dan pelangsingan badan. Mereka lebih bergantung pada testimoni pengguna. Pandangan Datuk terhadap dakwaan tersebut?

Pendapat dan persepsi seseorang itu bergantung berdasarkan ilmu yang dimiliki. Bagi saya, bantuan MARDI yang mempunyai kekuatan seramai 600 orang saintis mengenalpasti kesahihan sesuatu produk melalui penyelidikan terbaik yang dilakukan. Melalui Perdasama, organisasi ini mengumpul pelbagai orang yang mempunyai minda yang tajam dari tahap pekerja sehingga ke ahli jawatankuasa. Dalam setiap pertemuan, kita akan adakan seminar-seminar dengan mengambil idea yang baik dan berdaya maju untuk dirumuskan.

Saranan dan nasihat Datuk kepada pengusaha Melayu yang sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan?

Nasihat saya kepada pengusaha khususnya orang Melayu yang hendak berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, pertama sekali mereka haruslah berfikiran positif. Dalam pada masa yang sama, peniaga baharu perlu ada rasa ‘was-was’ apabila melihat perniagaan orang lain lebih maju berbanding perniagaan sendiri. Rasa was-was yang saya maksudkan bukanlah perasaan hasad dengki tetapi melihat pada aspek positif dan berfikir mengapa orang lain boleh berjaya. Keduanya peniaga perlu kreatif dan memanfaatkan bakat walaupun sekecil-kecil kebolehan yang ada. Bila perniagaan baharu dijalankan stabil, cuba kembangkan perniagaan dengan usahasama ahli keluarga seperti isteri dan anak-anak. Peniaga perlu bersedia dan berani mengambil cabaran.
Sumber – Kosmo! Online (15 Mei 2016)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s