Ramai dalam kalangan usahawan yang menarik diri dalam bidang pemprosesan makanan adalah kerana tidak memiliki modal untuk membuka kilang pemprosesan.

Menyedari keadaan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengambil inisiatif membina sebuah makmal pemprosesan (test bed) untuk membantu usahwan IKS mengeluarkan produk mereka.

Dengan hanya mengenakan bayaran yang begitu berpatutan, kini usahawan IKS tidak perlu rungsing memikirkan modal yang besar untuk membina peralatan memproses produk mereka.

Antara sistem Test Bed MARDI yang popular ialah di Stesen MARDI Cameron Highlands yang memproses pelbagai produk berasaskan hasil pertanian di tanah tinggi tersebut.

Menurut Pembantu Penyelidik, Stesen MARDI Cameron Highlands, Pahang, Mohd. Haniff Mohd. Ibrahim sistem tersebut merupakan salah satu daripada bentuk khidmat sokongan yang dianjurkan di bawah Program Pembangunan Usahawan MARDI.

Jelasnya, sistem tersebut merupakan makmal teknologi pemprosesan makanan yang dilengkapi mesin dan peralatan moden untuk memudahkan pengeluaran berskala kecil produk makanan terpilih.

“Di stesen ini terdapat beberapa produk yang dihasilkan oleh usahawan IKS menerusi sistem test bed yang ada antaranya adalah jem, hiasan kek (topping), minuman, gula-gula strawberi dan sos.

“Penggunaan kemudahan test bed di sini mengikut penggiliran di antara usahawan-usahawan IKS dan biasanya bermusim seperti apabila tiba musim cuti sekolah dan perayaan kerana pada ketika itu bilangan pengunjung bertambah,” katanya.

Di stesen tersebut, selain menawarkan penggunaan peralatan dengan kadar sewaan paling rendah, usahawan juga akan diberi khidmat bimbingan teknikal dan latihan hands on dalam pengeluaran produk makanan menggunakan teknologi terkini.

Kini MARDI memiliki sembilan buat test bed berteknologi keseluruhannya yang dibangunkan di stesen-stesen penyelidikan dan pembangunan institut tersebut di seluruh negara.

Idea pembangunan test bed tersebut timbul berikutan usahawan IKS yang mengeluarkan produk makanan perlu menguasai penggunaan teknologi terkini untuk berkembang dan berdaya saing.

Usahawan perlu diberi peluang untuk mempelajari dan mencuba serta menyakinkan diri sebelum membuat keputusan kerana pelaburan terhadap penggunaan teknologi baharu adalah amat tinggi.

Oleh yang demikian, Sistem Test Bed Teknologi MARDI menawarkan kemudahan pemprosesan, kepakaran dan analisis kualiti yang diperlukan untuk memula dan menguruskan proses inovasi teknologi dan perniagaan.

Gambar SHIDDIEIQIIN ZON (UTUSAN)


Perlu memohon

Bakal usahawan yang berminat menggunakan kemudahan Test Bed MARDI perlu terlebih dahulu memohon dan pemilihan akan ditentukan menerusi sesi ‘runding cara’ bersama Program Pembangunan Usahawan MARDI.

Setelah itu, usahawan yang terpilih akan dikenakan bayaran yuran bagi menampung kos operasi penggunaan perkhidmatan tersebut seperti bil elektrik dan air.

Bagaimanapun, setiap usahawan hanya akan menggunakan perkhidmatan tersebut dalam jangkamasa yang pendek sahaja mengikut keperluan dan tujuan yang ditentukan.

Sebagai contoh, penempatan usahawan untuk membangunkan produk baharu sos buah-buahan dan ujian penerimaan pasaran terhadap produk tersebut akan mengambil masa lebih kurang satu bulan sahaja.

Menurut Pengurus Stesen MARDI Cameron Highlands, Abu Zarim Ujang, pelaksanaan sistem itu juga berpandukan kepada Manual Prosedur Operasi Standard Umum dan manual yang dibangunkan secara khusus untuk setiap test bed.

“Antara tujuan sistem tersebut dibangunkan adalah untuk membantu usahawan bimbingan MARDI dan bakal usahawan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam menggunakan sistem dan teknologi terkini,’’ujar beliau.

Seterusnya kata beliau adalah merangsang proses inovasi teknologi dalam kalangan usahawan IKS yang ingin berkembang dan berdaya saing di pasaran.

Dalam pada itu, usaha tersebut dapat menggalakkan penglibatan usahawan IKS dalam pengeluaran produk yang diberi keutamaan di bawah 13 kumpulan produk makanan bagi meningkatkan nilai tambah hasil pertanian negara.

Sistem itu juga sebagai kemudahan asas menyokong program latihan MARDI dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain merupakan kemudahan untuk pegawai penyelidik institut tersebut menguji teknologi baharu yang dibangunkan untuk tujuan peningkatan skala.

Terakhir, sistem itu juga adalah sebagai show-case untuk mempromosi sistem pengeluaran produk terkini MARDI kepada pelawat dari seluruh negara.

Untuk maklumat lanjut berkenaan Sistem test Bed Teknologi MARDI Cameron Highlands, boleh menghubungi institut tersebut di talian 03-8943 7255.