Port Dickson, 10 Jun 2015 – Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Tani telah menganjurkan Konvensyen Azam Tani 2015 bermula semalam bertempat di Prima Land Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan. Program 1AZAM: Projek AZAM Tani adalah salah satu daripada tujuh (7) inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (National Key Result Area – NKRA) Mempertingkatkan Taraf Kehidupan Rakyat Berpendapatan Rendah yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Projek ini telah dilaksanakan bermula pada tahun 2010 oleh Bahagian Industri Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan juga Wilayah Persekutuan Labuan. Objektif Projek Azam Tani ini ialah membantu meningkatkan pendapatan golongan sasar e kasih dengan pemberian bantuan projek ekonomi di dalam sektor tanaman, perikanan, ternakan, pemprosesan hasil tani, perniagaan hasil tani dan perkhidmatan pertanian, mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing golongan sasar di dalam bidang pertanian melalui kursus pembangunan modal insan, jatidiri, pengurusan kewangan keluarga dan latihan teknikal yang diberikan oleh jabatan dan agensi pelaksana MOA dan membantu mengeluarkan peserta dari belenggu kemiskinan selaras dengan hasrat kerajaan menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.