Peratusan keluasan tanah organik kepada keseluruhan guna tanah pertanian di Malaysia adalah 0.01 peratus.

Angka itu rendah berbanding negara seperti Filipina (0.68 peratus), Vietnam (0.35 peratus), Thailand (0.16 peratus) dan Indonesia (0.16 peratus).

Antara isu yang melambatkan perkembangan tersebut ialah kaedah pelaksanaan yang tidak mematuhi piawaian, komitmen petani yang rendah, tidak konsisten kerana kurangnya sokongan daripada pihak tertentu, masalah pemasaran, pengeluaran dan varieti organik yang sedikit.

Jika diperhatikan situasi semasa dalam subbidang pertanian organik pada tahun lalu, negara ini hanya memiliki 1,557 hektar keluasan tanah yang ditanam buah-buahan, sayur-sayuran, padi dan sebagainya

Sementara anggaran import makanan organik adalah RM600 juta yang terdapat di 200 outlet tidak termasuk pasar raya besar.

Berdasarkan potensi yang cerah dalam pasaran serta peningkatan pemahaman orang ramai terhadap produk organik mendorong Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan penyelidikan terhadap produk pertanian tersebut di Ladang Organik Bersepadunya yang terletak di Serdang.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Sumber Strategiknya, Dr. Mohd. Norowi Hamid, ladang seluas tujuh hektar itu ditanam 20 jenis tanaman termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan seperti betik, anggur, nanas, mangga, nangka, pisang, tebu, bendi, salad, kubis, cili, jagung, terung dan sawi.

Malah haiwan peliharaan seperti ayam dan kambing yang diternak melalui kaedah organik juga.

Ladang tersebut yang mula beroperasi sejak 2006 itu seratus peratus bebas bahan kimia serta merupakan pengurusan aktiviti pertanian secara lestari kerana sisa bahan buangan akan dikitar semula untuk dijadikan kompos dan proses penternakan serangga.

Menurutnya, konsep pengurusan seperti itu mengutamakan faktor pertimbangan alam sekitar serta memberi fokus kepada faktor keperluan ekonomi seperti pengurangan kos dalam sesuatu aktiviti yang dijalankan.

Pengurusan sisa pertanian yang berkesan boleh menyumbang kepada cara yang penting untuk membantu mengekalkan persekitaran yang sihat dan bersih bagi ladang serta berpotensi mengurangkan keperluan untuk baja komersial.

Antara bahan buangan yang terhasil daripada operasi ladang termasuklah sisa tanaman pertanian, sisa pembersihan kawasan dan najis haiwan.

Sumber ini sekiranya diproses dan diguna semula secara optimum, boleh membantu mengurangkan pergantungan kepada sumber baja luar di samping menjadi bahan utama untuk menyuburkan tanah.

“Melalui kaedah tersebut, kita mampu mengekalkan kesuburan tanah dalam jangka masa yang panjang bahkan memiliki kelebihan dalam faktor kesihatan manusia.

“Kaedah yang ada sekarang dan kebanyakan digunapakai oleh petani akan merosakkan kesuburan tanah kerana membunuh mikrob tanah.

“Bukan itu sahaja, kaedah pertanian organik ini secara tidak langsung akan menambahkan bilangan biodiversiti,” katanya yang ditemui di MARDI baru-baru ini.

Di ladang itu juga turut dibina kolam tadahan hujan dan tangki air sebagai alternatif kepada musim kemarau.

“Ini bermakna MARDI bersedia menghasilkan produk organik yang berkualiti tinggi bagi memenuhi permintaan pasaran,” jelasnya.

Tambahnya, buat masa ini, pihaknya sedang menunggu untuk mendapatkan sijil organik sebelum memasarkan produk di pasaran iaitu Skim Organik Malaysia oleh Jabatan Pertanian dan dijangka menerima sijil itu dalam masa terdekat ini.

Ladang yang memiliki tujuh bahagian iaitu rumah kompos, rumah kalis hujan, kawasan terbuka, kawasan lindungan hujan, kawasan ternakan, plot tanaman rumput dan rumah ladang itu berpotensi dibangunkan secara pakej lengkap kerana memiliki penyelidikan dalam setiap aspek berkaitan organik.