Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia

‘Kasut’ istimewa di Taman Agroteknologi Mardi di Cameron Highlands.
Oleh Sakini Mohd Said

AGROTEKNOLOGICAMERON HIGHLANDS (Bernama) — Jalannya begitu sempit dan berbengkang-bengkok. Manakala selekohnya pula agak tajam dan sekiranya terbabas mahupun terlalai sedikit pun boleh berisiko kemalangan atau menjunam ke gaung.

Benarlah kata orang, laluan ke pusat pelancongan terkenal tanah tinggi Cameron Highlands yang terletak di Pahang ini melalui jalan lama Tapah, agak menggerunkan.

Bagi mereka yang menempuh perjalanan sukar itu, kepenatan sudah pasti hilang begitu sahaja sebaik menjejaki Taman Agroteknologi MARDI yang terletak berdekatan pekan Tanah Rata.

Tidak seperti taman-taman biasa, taman di bawah pengendalian MARDI yang berada di ketinggian 1,400 meter dari paras laut dengan suhu antara 14 hingga 24 darjah Celcius ini menjanjikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Ini kerana, konsepnya berteraskan agro-pelancongan yang menghimpunkan pelbagai koleksi buah, herba dan bunga beriklim empat musim yang semestinya akan membuatkan sesiapa sahaja terpesona dan teruja.

Dalam masa sama, pelawat berpeluang mempelajari pelbagai aktiviti, teknik dan teknologi yang dibangunkan oleh institusi ini melalui penyelidikannya untuk tanaman tanah tinggi.


CARI KASUT

Menariknya, taman yang terletak dalam kawasan Stesen MARDI ini adalah sebahagian daripada landskap di situ yang menampilkan konsep ala Inggeris, sesuai bagi mereka yang mendambakan percutian sejuk dan damai.

Dari pintu gerbang lagi, pengunjung disajikan dengan beberapa bangunan bercirikan Inggeris antaranya menara jam yang turut menunjukkan suhu persekitaran yang dingin.

Warna hitam putih di bangunan, menara jam peninggalan penjajah dan bangunan utama berbentuk tudor menjadikan stesen Mardi itu lokasi paling popular untuk dikunjungi dan bergambar.

“Setiap kali datang ke sini pelawat tidak melepaskan peluang mencari ‘kasut’. Malangnya, kasut itu hanyalah untuk wanita sahaja,” seloroh Pegawai Penyelidik Mardi Wan Mahfuzah Wan Ibrahim kepada Bernama.

Bagaimanapun, ‘kasut’ yang diperkatakan oleh Wan Mahfuzah ini adalah sejenis bunga yang dikenali sebagai ‘lady shoes’.

Turut dikenali sebagai ‘Clock Vine’, bunga yang berasal dari sebuah daerah di India Selatan ini adalah sejenis tanaman memanjat dan mempunyai bunga berjuntai berwarna merah gelap dan kuning.

Selain keunikan bunga itu, terdapat sejenis bunga berwarna biru yang turut berjuntai di kawasan sama dengan ada yang mungkin menyangka Mardi menempatkan bunga plastik.

Walhal, bunga berwarna biru persis yang kelihatan tidak asli itu adalah ‘Jade Vine’ yang berasal dari hutan Filipina dan adalah bunga paling cantik di tropika yang dihasilkan oleh pokok menjalar.

TAMAN BUNGA

Pengurus stesen, Wahid Said berkata pelbagai koleksi bunga yang disusun cantik mengikut kategorinya menjadi antara tumpuan pelawat Taman Agroteknologi.

Keindahan pemandangan di situ ditingkatkan lagi dengan sentuhan istimewa menerusi landskap taman-taman kecil seperti Taman Inggeris, Taman Herba, Taman Orkid Liar dan Taman Ros.

Contohnya, Taman Inggeris yang menghimpunkan pelbagai jenis tanaman dan bunga-bungaan seperti blue lily, impatiens, medinella dan begonia yang menggamit pengunjung di pintu masuk taman agroteknologi itu lagi.

Tidak meminggirkan bunga yang menjadi kesukaan wanita, bunga ros, kata Wahid terdapat puluhan jenis bunga itu ditanam dalam bentuk perhiasan taman yang dilengkapi dengan air pancutan, sekali gus menyejukkan mata memandang.

“Kami juga mempunyai konsep baru landskap masa kini, Taman Edibel. Istimewanya, sayuran memanjat seperti labu yang panjang dibiarkan bergantungan di pergola menarik perhatian ramai disebabkan saiznya yang besar,” kata Wahid.

Taman ini juga mempunyai ladang strawberi yang diusahakan oleh usahawan luar dengan kepakaran MARDI”Anggur, buah epal, raspberi dan jaboticaba turut ditanam di sini.

“Berbuah hanya pada bulan tertentu iaitu Mei-Jun dan November hingga Disember,” katanya.

Justeru, tidak menghairankanlah apabila taman ini sentiasa menjadi tumpuan dan antara tempat wajib dikunjungi terutama pada musim cuti persekolahan dan cuti umum.

TIDAK TERJEJAS

Tidak perlu susah mencari penginapan kerana di sini turut menawarkan kemudahan itu. Paling menjadi rebutan adalah rumah Inggeris berkembar dua tingkat yang dibina sekitar 1930-an.

“Rumah ini tidak banyak. Hanya dua sahaja dan disewa dengan kadar berpatutan. Malahan, untuk tahun ini sahaja telah penuh ditempah sehingga akhir tahun ini.

“Tetapi, kami juga ada menawarkan penginapan apartment bagi memenuhi keperluan pengunjung. Untuk tahun ini, kami sudah terima seramai 186,000 pengunjung (yang melawat taman sahaja) sehingga bulan Oktober,” katanya.

Mengenai banjir kilat yang berlaku di Lembah Bertam, Ringlet, Wahid berkata kawasan itu adalah jauh dari Taman Agroteknologi ini.

“Jangan risau, kerana perjalanan ke Taman Agroteknologi MARDI ini adalah selamat kerana kawasan yang berlaku itu adalah di pedalaman,” jelasnya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: