KLANG, 9 Jun – Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyasarkan menanam padi Aerob di kawasan seluas 1,000 hektar di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.
Pengarah projek penanaman padi Aerob MARDI Dr Sariam Othman berkata sistem penanaman padi Aerob menggunakan jenis khusus — MRIA 1, bertujuan mengurangkan keperluan air untuk tanaman padi, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara kepada pengeluaran padi sawah yang memerlukan sistem pengairan.
“Aerob berbeza dengan padi biasa, sesuai ditanam di kawasan luar jelapang dan tanah gambut.
“Ia hanya memerlukan 90 hari untuk dituai selain boleh ditanam tiga kali setahun dengan anggaran pengeluaran empat tan hingga lima tan sehektar,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis penuaian padi Aerob di kawasan tanah gambut di MARDI Klang di sini Isnin.
Sariam yang juga Pengarah Pusat Perkhidmatan Teknikal MARDI berkata penanaman padi Aerob jenis MRIA 1, hasil penyelidikan MARDI, dijangka dapat memulihkan tanah terbiar di seluruh negara, selain mengatasi isu kekurangan air akibat perubahan cuaca yang dijangka melanda dunia.
“Penanaman Padi Aerob merupakan satu teknologi pengeluaran padi inovatif yang didapati mampu menjimatkan penggunaan air sehingga 50 peratus berbanding penggunaan air untuk tanaman padi sawah, bergantung kepada jenis tanah, taburan hujan dan pengurusan air,” katanya.
Sariam berkata MARDI memulakan penyelidikan mengenai teknologi penanaman padi Aerob pada 2004 yang meliputi semua aspek pakej teknologi pengeluaran termasuk pembangunan agronomi dan pengurusan rumpai.
Mengulas mengenai majlis hari ini, Pengarah MARDI Selangor, Dr Zainal Abidin Hassan berkata MARDI buat kali pertama memperkenalkan penanaman padi Aerob di kawasan tanah gambut seluas 3 tiga ekar (1.25 hektar) di MARDI Klang yang sedia dituai.
Katanya tujuan pengenalan padi aerob di kawasan tanah gambut itu, yang mula ditanam pada 12 Mac lepas, adalah untuk mengenal pasti potensi penanaman dan pengeluaran padi tersebut sebelum ia diperluaskan ke kawasan tanah gambut lain yang sesuai.
– BERNAMA