CAMERON HIGHLANDS, 1 Mac – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini memperkenalkan Teknologi Pertanian Menegak bagi mengelak berlakunya hakisan tanah dan larut resap kimia.
Ketua Pengarahnya Datuk Dr Sharif Haron berkata teknologi itu sangat praktikal, berkos efektif dan sesuai digunakan di kawasan bercerun dan berbukit seperti Cameron Highlands.
“Teknologi ini dapat mengurangkan pencemaran air dan kerosakan kepada alam sekitar dan orang ramai. Kelebihan teknologi ini ialah tanaman dapat ditanam pada kepadatan tinggi dan sangat sesuai untuk pengusaha yang memiliki keluasan tanah kecil,” katanya kepada Bernama di sini.
Beliau berkata teknologi itu antara lain mengandungi Sistem Penanaman Kolumnar Bertingkat, yang sesuai untuk penanaman beberapa jenis sayur bernilai tinggi seperti salad, kailan, sawi dan pak choi. Ia juga menggunakan struktur tangga bertingkat yang direka bentuk bagi memudahkan pengendalian dan pergerakan di tanah cerun tanpa memerlukan tarahan tanah.
Sharif berkata teknologi itu berkos efektif kerana ia menggunakan bahan komposit murah dengan kos pembuatan setiap unit hanya RM27 manakala setiap struktur itu boleh memuatkan 20 pokok salad bagi setiap satu meter persegi.
Beliau berkata produk itu akan dikomersilkan secara besar-besaran dalam tempoh terdekat.
Menurutnya idea mencipta teknologi itu timbul daripada masalah hakisan tanah di Cameron Highlands akibat penarahan bukit untuk tujuan pertanian dan pembangunan.
“Hakisan tanah yang berlaku akibat kegiatan penanaman sayur-sayuran memberi kesan buruk terhadap kesihatan awam, termasuk akibat larut resap kimia pertanian ke dalam sumber bekalan air,” katanya.
Sementara itu, Sharif berkata MARDI akan menganjurkan Persidangan Hortikultur Bandar Kebangsaan 2014 di Johor Baharu dari 20 hingga 31 Mac ini.
Persidangan itu yang pertama kali diadakan di Malaysia, akan memperkenalkan teknologi pertanian ciptaan MARDI dan ia terbuka kepada mereka yang berminat dalam sektor pertanian.
– BERNAMA
good news..